Tuesday, December 11, 2007

Rahman nafi akan gugur, dakwa Siasah cuba lagakan Umno

KUALA LUMPUR, 11 Dis: Anggota Parlimen Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar yakin beliau akan terus menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang walaupun akhbar Siasah melapurkan nama beliau akan digugurkan.

"Akhbar Siasah cuba melaga-laga kami dalam Umno. Kami tidak berpecah sebenarnya, Umno tetap bersatu," katanya yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia kepada wartawan Siasah ketika dihubungi.

Siasah dalam edisi terbarunya melaporkan tiga pemimpin kanan Umno Terengganu bakal digugurkan dalam pilihan raya umum akan datang.

Akhbar New Straits Times dalam laporannya pada 28 November juga melaporkan, 40 peratus wakil rakyatnya termasuk beberapa orang Exco akan digugurkan dari menjadi calon.

Siasah melaporkan, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu yang juga anggota Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Exco kerajaan negeri, Datuk Ahmad Said juga akan digugurkan.

Ahmad Said ketika dihubungi enggan mengulas manakala Tengku Putera sedia berjumpa dengan wartawan Siasah.

Laporan penuh dalam Siasah Ahad ini.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...