Friday, October 31, 2008

Bukan kerana Cina atau wanita, kata Hassan Ali

SHAH ALAM, 31 Okt: PAS menegaskan tindakan mereka tidak menyokong perlantikan Madam Low Siew Moi bukan kerana dia Cina atau wanita tetapi kerana berpendapat tokoh dari luar perlu dilantik ke jawatan itu untuk memberi satu 'darah' baru kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali berkata, dia bersedia menyokong perlantikan sesiapa sahaja termasuk Cina dan wanita asalkan calon itu benar-benar profesional.

"Saya bersedia untuk menyokong perlantikan pengurus besar PKNS yang baru kalaupun dia bukan Melayu dan bukan lelaki jika dia betul-betul profesional dan bakal membawa masa depan yang baik kepada PKNS," kata Hassan Ali.

Pandangan ini, kata beliau, ekoran banyak cerita yang beliau dengar tentang Madam Low di samping cerita tentang bekas Pengurus Besar yang akan bersara, Datuk Harun Salim.

Bagi timbalan beliau, Khalid Samad pula, darah baru diperlukan oleh PKNS selepas menghadapi pelbagai cerita negatif.

"Jika kita kata pengurusan PKNS tidak bagus, saya beranggapan Madam Low juga tidak bagus kerana dia adalah salah seorang pengurus kanan badan itu bukan kerana dia bukan Melayu.

"Sesiapa yang memimpin PKNS pun tidak ada masalah asalkan dia memahami dasar dan tujuan PKNS serta dapat mematuhi Lembaga Pengarah PKNS yang dipengerusikan oleh MB.

"Kita juga tidak mahu melantik Melayu tetapi selepas itu dia tidak perform dan menyusahkan Pakatan," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad.

PAS dan PKR bersetuju untuk mencari pengganti kepada Madam Low Siew Moi untuk dilantik sebagai Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kerana perlantikan Low hanyalah untuk sementara sahaja sebelum mendapat calon baru dari luar.

Sebelum ini, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, perlantikan Madam Low adalah untuk sementara sahaja.

"Dia yang terbaik dan sesuai untuk menolong peralihan kuasa agar berjalan dengan teratur," kata jurucakap dari pejabat MB Selangor menjelaskan perlantikan itu.

Baru-baru ini, Menteri Besar Selangor mengumumkan perlantikan Madam Low sebagai pemangku Pengurus Besar PKNS bagi menggantikan Datuk Harun Salim yang akan bersara mulai 1 November ini.

Low dipilih oleh MB Selangor itu walaupun, ada dua lagi Timbalan Pengurus Besar iaitu Md. Nasir Md. Arshad (Pentadbiran dan Pembangunan) dan Abdul Ghani Hashim (Teknikal).
Low adalah Timbalan Pengurus Besar Korporat dan Akaun untuk PKNS. Beliau telah bekerja dengan bahagian akaun PKNS sejak 35 tahun yang lalu.

Selepas sampai umur bersara pada tahun 2006, dia telah tiga kali dilantik ke jawatan kontrak iaitu pada tahun 2006, 2007 dan 2008.

Berbanding dengan calon-calon yang lain, Low dianggap oleh MB Selangor sebagai "pihak yang bersedia menjadi pemimpin sementara."

Sebuah akhbar milik Umno Rabu lalu menyerang Khalid habis-habisan dengan isu ini. Ketua Pemuda Umno Selangor, Abdul Shukur Idris dilaporkan meminta Sultan Selangor campur tangan dengan isu ini kerana Khalid didakwa tidak membela kepentingan orang Melayu.
Persatuan Pegawai Kanan PKNS juga menghantar memo bantahan kepada Khalid.

Hassan Ali dalam kenyataannya kepada Siasah berkata, PAS tidak bersetuju perlantikan itu "bukan kerana Madam Low Cina atau wanita sebagaimana didakwa MCA tetapi dari segi kewibawaannya dua lagi timbalan pengurus besar yang ada lebih diterima oleh 800 pekerja PKNS dan menjadi kebiasaannya timbalan pengurus besar pentadbiran yang dinaikkan pangkat."

Kerjasama penuh dengan PKR dan DAP, kata Mustafa

KUALA TERENGGANU, 31 Okt: Para pemuda PAS di seluruh Terengganu diminta menerima hakikat PAS adalah sebuah parti politik dan dakwah yang perlu bekerjasama dengan semua pihak bagi mencapai matlamat perjuangannya.

Oleh itu, seluruh jentera PAS perlu bekerjasama dengan parti-parti lain bagi membolehkan PAS bersama-sama mentadbir negara.

Demikian ingatan Datuk Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Terengganu ketika bercakap kepada lebih 1,000 peserta Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) di pantai Cendering Sabtu lepas.

Himpit adalah progam tahunan yang dianjurkan oleh Pemuda PAS Terengganu untuk ahli-ahlinya di seluruh negeri itu.

Mustafa menganggap, Pemuda PAS adalah kilang memproses dan membentuk kepimpinan PAS di masa depan.

Salah satu dari bengkelnya adalah melalui program Himpit yang dianjurkan setiap tahun ini.
"Sebab itu, Umno sebagai parti yang terbesar dalam Barisan Nasional pun tidak boleh memerintah sendiri tanpa kerjasama dengan parti-parti lain dalam BN.

"Kerana itulah, kita perlu bekerjasama sebaik mungkin dengan PKR dan DAP yang menjadi rakan kita sekarang dalam Pakatan Rakyat," katanya ketika memberikan ucapan penutup di majlis yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu.

Grand design sekat Najib?

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Satu demi satu kontroversi yang menimpa bakal perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Apakah ia berlaku tanpa dirancang atau sememangnya ada perancangan besar (grand design) di belakang semua perkara ini.
Inilah yang hangat dibincangkan di kalangan penyokong timbalan presiden Umno itu.

"Kalau hendak dikatakan ia perkara biasa dalam tempoh peralihan kuasa kerana dia pun tidak boleh mengawal sepenuhnya lagi, apakah selepas menjadi PM segala kontroversi ini akan hilang?" soal seorang penganalisa politik yang mengkaji perkara ini.

Beliau mengkaji trend memburuk-burukkan nama baik Najib yang sedang merebak sekarang ini.

"Mula-mula (Datuk Seri) Anwar membawa isu Altantuya. Selepas itu, Bank International Indonesia (BII). Pembangkang juga bantah isu pinjaman RM5 bilion wang KWSP. Kini Pak Lah batalkan projek pembelian Eurocopter, Mahathir pula kritik cadangan memansuhkan pendekatan DEB. Semua kontroversi ini menghala kepada Najib. Saya rasa ini semua ada perancangan," kata beliau kepada Siasah.

Beliau berpendapat, semacam ada satu usaha untuk memburuk-burukkan nama Najib supaya dia tidak sempat menjadi PM Mac tahun depan.

Namun, siapakah yang berkepentingan?

Pertama, adalah pembangkang. Sememangnya pembangkang risau dengan pendekatan yang bakal diambil Najib dalam menghadapi kebangkitan mereka sebagaimana pendekatan Abdullah ketika mula-mula mengambil alih tapuk kepimpinan negara sebelum ini.

"Jika Najib sempat naik, ramai yang berpendapat habislah peluang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri. Oleh itu, pembangkang perlu sekat Najib. Jadi, mereka kena pastikan Najib tidak jadi PM," katanya.

Pihak kedua yang ada kepentingan adalah 'budak-budak Abdullah'.
Mereka ini terdiri dari para pemimpin Umno yang bimbang apabila Najib dan Muhyidin naik, mereka akan tersingkir dari kedudukan mereka sekarang.

"Mereka telah gagal memujuk Pak Lah agar lawan Najib. Pak Lah tak mau Umno pecah. Sekarang mereka berusaha untuk memastikan Najib tidak sempat jadi PM pula," kata sumber itu.

Bagi beliau, jika adanya grand design ini, ia adalah kerjasama antara budak-budak Pak Lah dengan pembangkang untuk menyekat Najib.

Tuesday, October 21, 2008

Tanah runtuh di Akademi Pengajian Islam UM

Oleh: Afandy Awang

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Hujan lebat di sekitar Lembah Kelang semalam menyebabkan berlakunya tanah runtuh di bahagian belakang bangunan pentadbiran Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Keruntuhan ini menyebabkan dinding perpustakaan pecah dan tanah masuk menenggelamkan sebahagian besar rak-rak buku.

Menurut salah seorang pekerja yang ditemui, antara punca berlakunya tanah runtuh ini adalah disebabkan kedudukan bangunan Block C itu terlalu hampir dengan bukit.

Jarak yang memisahkan hanya sekadar lebih kurang 2 meter sahaja. Ini cukup membahayakan kerana bukit yang di tarah ini akan runtuh pada bila-bila masa dan mendatangkan kemeberhayaan kepada mahasiswa APIUM sendiri.

Setakat ini, bangunan C ditutup buat sementara waktu sementara bangunan B juga masih dalam keadaan berjaga-jaga kerana dkhuatiri peristiwa runtuhnya Highland Towers akan berulang kembali di sini.

Pemimpin PAS dan PKR sertai majlis Raya DAP

SERTAI MAJLIS RAYA DAP...Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyertai majlis sambutan Hari Raya Aidil Fitri yang dianjurkan DAP Ahad lepas. Turut serta di majlis itu adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Majlis yang diadakan di Kajang itu turut disertai oleh beberapa pemimpin PAS yang lain termasuk Datuk Husam Musa, Naib Presiden PAS. Antara pemimpin DAP yang hadir adalah penasihatnya, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung Lim Guan Eng.

200 ahli Umno sertai PAS di Masai

MASAI (JOHOR), 21 Okt: Tidak puashati dengan layanan dan sikap diskriminasi Umno yang berkuasa lebih 50 tahun, kira-kira 200 daripada 500 ahli Umno termasuk lapan ahli jawatankuasa cawangan Umno Kampung Baru Plentong Tengah, Masai telah mengisytiharkan keluar daripada parti itu dan menyertai PAS 19 Okotober lalu.

Mantan Ketua Pemuda Cawangan Umno kampung tersebut, Mohd Daud Mohd Isa telah menyerahkan borang keahlian kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada satu pertemuan yang diadakan di kampung tersebut. Tindakan tersebut tercetus, ekoran insiden perobohan rumah penduduk pada 16 Oktober lalu yang tidak mendapat simpati daripada Umno.

Sementara itu, Ketua Cawangan Umno yang sama, Sahari Mohd Sham telah menyerahkan memorandum kepada Presiden PAS untuk membawa isu perobohan rumah tersebut ke parlimen.

Markas Tarbiyah PAS akan berfungsi semula

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Mulai November ini, Pusat Tarbiyah PAS Taman Melewar akan dihidupkan sepenuhnya dengan kuliah-kuliah dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan merasmikannya pada 3 November ini.

Kuliah yang akan diadakan selepas solat Maghrib itu akan diadakan hampir setiap malam di Dewan Besar Datuk Fadzil Noor bermula tarikh tersebut.

Menurut jadual kuliah yang diedarkan oleh Lajnah Tarbiyah PAS, sepanjang November ini, sebanyak 20 kuliah akan diadakan di situ.

Ia membabitkan para guru dari PAS dan juga pengkuliah profesional dari luar.

Pada 3 November ini, bekas pensyarah Universiti Malaya yang kini adalah Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfudz Muhamad akan memberikan kuliah mengenai Qanun Jenayah Syariah.
Turut terlibat memberikan kuliah sepanjang bulan November adalah hampir 20 orang lagi guru yang memberikan kuliah untuk pelbagai topik dari aqidah sehinggalah muamalat.

Sejak berpindah ke pejabat baru di Jalan Raja Laut, bekas pejabat agung PAS itu dilihat sepi dan kosong dari aktiviti.

Ekoran itu, pelbagai kritikan dibuat terhadap PAS kerana membiarkan kemudahan yang sudah sedia ada dalam PAS itu.

Ekoran itu, Lajnah Tarbiyah PAS dikatakan diberi amanah untuk menghidupkannya dengan kelas-kelas pengajian secara yang sistematik.

Di samping itu, Siasah difahamkan, tanah milik PAS itu akan dibangunkan dengan bangunan-bangunan selepas ini di samping mengekalkan fungsinya sebagai markas tarbiyah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...