Thursday, March 13, 2008

Kit Siang: Tanniah, anda matang kerana sedia memohon maaf

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Langkah Pengerusi DAP, Lim Kit Siang memohon maaf selepas mempertikaikan perlantikan Adun Sungai Panjang, Mohamad Nizar Jamaludin, 51, sebagai Menteri Besar Perak diterima dengan linangan air mata kegembiraan oleh penyokong PAS, PKR bahkan juga DAP.

Mereka menyifatkan langkah ini sebagai melambangkan kedewasaan dan kematangan beliau untuk menerima kesilapan dan pengajaran secara langsung dari rakyat.

Lim Kit Siang menerima kritikan paling hebat, mungkin terhebat dalam sejarahnya sebagai ahli politik, bahkan dari pembaca blognya sendiri selepas beliau membuat kenyataan tidak puas hati dengan pemilihan Mohamad Nizar sebagai MB Perak.

Beliau juga telah mengarahkan kesemua wakil rakyat DAP memboikot majlis mengangkat sumpah MB Perak.

Pada hari berikutnya, 13 Mac, kira-kira jam 11 pagi, beliau membuat kenyataan memohon maaf dan memohon ampun dari Sultan Perak ekoran kenyataannya itu.
Laporan penuh dalam Siasah Ahad ini.

Nizar: Jurutera yang boleh berbahasa Inggeris, Cina dan Tamil

Ramai yang tertanya-tanya bagaimana wakil rakyat Pasir Panjang dari PAS, Ir Mohamad Nizar Jamaludin, 51, dipilih sebagai Menteri Besar Perak padahal DAP mempunyai lebih ramai Adun (18) dan PKR juga mempunyai lebih dari PAS iaitu tujuh, manakala PAS hanya ada enam sahaja.

Dia sebenarnya bukan dipilih kerana PAS tetapi faktor utamanya adalah kerana dia paling layak di kalangan sembilan wakil rakyat Melayu dan beragama Islam yang ada di kalangan Adun DAP, PKR dan PAS yang membentuk kerajaan bersama itu.

PKR hanya ada tiga Melayu manakala PAS ada enam. DAP tidak mempunyai seorangpun Adun berbangsa Melayu dan beragama Islam. Menjadi syarat kepada MB Perak (sebagaimana termaktub dalam undang-undang tubuhnya) adalah Melayu dan beragama Islam. Hanya Sultan Perak boleh mengubah syarat ini.

Rakyat Perak bukan sahaja bakal memperolehi seorang Menteri Besar yang boleh memberikan khutbah Jumaat bahkan juga seorang jurutera yang boleh bercakap empat bahasa, Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris.

Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, 51, dilahirkan pada 17 Mac 1957 di Kampung Air Hitam Labu, Kampar Perak. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Kampar, kemudiaannya meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Anglo Chinese, Kampar.

Selepas itu menyambung pelajaranya di Sekolah Menengah Teknik, Persiaran Brash, Ipoh. Pada tahun 1972 beliau mengambil Advance Level (A Level) di Norwich City College Of Arts & Technology Norwich, Norfolk, England.

Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Aston di Brimingham, United Kingdom.

Sekembalinya ke tanahair, beliau bekerja di beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Kerja Raya bahagian bengkel dan kuari, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA - Daya Urus), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Beliau berpengalaman luas dalam menjalankan beberapa projek besar negara. Antaranya Projek Dayabumi fasa 2 & 3 pada tahun 1983, projek Pusat Islam (BAHES, Jabatan Perdana Menteri (1984), projek Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu (1985), pengurusan bangunan-bangunan kerajaan dan swasta termasuk KOMTAR, Bangunan Persekutuan Gunasama, pusat membeli belah dan pengurusan semua lif di hospital Kerajaan Negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis sehingga kini.

Sebelum dilantik menjadi Menteri Besar beliau merupakan Pengarah Urusan di beberapa firma swasta. Di luar negara pula beliau banyak menjalankan beberapa projek di beberapa buah negara, antara di Birmingham, United Kingdom, Zug Switzerland, Miano Italy, Bangkok Thailand, Sdyney dan Goldcoast Australia, Doha Qatar dan Tehran, Iran.

Dalam bidang politik pula, beliau berkecimpung dengan PAS dengan memegang Ahli Jawatankuasa PAS kawasan Kampar (1999 - 2001). Beliau menjawat jawatan Yang Dipertua PAS kawasn Kampar (2001 hingga kini). Di peringkat PAS Negeri Perak, beliau memegang jawatan Bendahari PAS Negeri (2001- 2006), Setiausaha PAS Negeri (sebelum menjadi Menteri Besar Perak).

Walaupun beliau seorang yang berpendidikan tinggi tetapi beliau amat aktif dengan kegiatan masyarakat. Antaranya beliau memberikan kuliah dan majlis ilmu di masjid-masjid dan surau-surau, ceramah motivasi pelajar dan institusi pengajian tinggi, menyampaikan khubah jumaat, bantuan kepada fakir miskin, mewakili PAS dalam program program kaum bukan Islam serta terlibat secara langsung dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Beliau mempunyai lapan orang cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Fatimah Taat. Anaknya pertama merupakan lulusan BA Syariah Universiti Mut'ah, Jordan. Anak kedua pula lulusan hafiz al-Quran di Universiti Mut'ah Jordan. Anak yang ketiga juga lulusan hafiz al-Quran dari Universisiti Damsyik, Syria dan Universiti Lebanon. Manakala anak yang ke empat hingga ke lapan sedang belajar di beberapa pelbagai institusi pendidikan dalam negeri.

Menurut Setiausaha Kerja PAS Perak, Khalilul Abdul Rahman, Nizar merupakan seorang yang pemurah dan mudah bergaul dengan masyarakat dan mengambil berat masalah kakitangan di bawahnya. "Jika ada kakitangannya yang menghadapi masalah, beliau akan cepat menyekesaikan masalah temasuk masalah kewangan," jelas Khalilul.

"Sebagai ketua pejabat, beliau seorang yang peramah dengan orang ramai termasuk orang bawahannya dan beliau bersedia mendengar pandangan orang lain," ujar beliau.

Memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat menjadi agenda perjuangannya, kerana itu beliau bergiat cergas di dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO). Umpamanya Gabongan Pengguna Air Perak (GPAP).

Keistimewaan beliau, walaupun lulusan dari luar negeri beliau mampu mengajar (buka kitab) di masjid-masjid dan suara-surau.malah beliau sendiri mampu mengelenggarakan ibadah kurban termasuk penyembelihan bintang kurban.

Haji Nizar juga selain boleh berbahasa Inggeris juga boleh berbahasa Cina dan Tamil. Inilah Menteri Besar yang dikehendaki oleh rakyat, mampu mentadbir, berwibawa dan mempunyai pengetahuan agama dan boleh membaca khutbah jumaat.
Perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang memilih Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak memang tepat, oleh itu semua pihak perlu akur dengan keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak.

Angkat sumpah MB Perak batal lagi kerana salah faham

Terkini jam 4:50 petang

KUALA KANGSAR, 13 Mac: Majlis angkat sumpah Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri Perak yang baru terpaksa batal lagi hari ini apabila anggota Dewan Undangan Negeri dari PKR pula tidak berpuashati hasil dari salah faham.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang ketika dihubungi Siasah mengesahkan perkara ini dan majlis yang sepatutnya berlangsung jam 4 petang ini (13 Mac) terpaksa ditangguhkan.

PKR salah faham apabila menyangka mereka tidak mendapat sebarang kerusi dalam kerajaan Perak, padahal persetujuan yang dicapai adalah DAP akan mendapat 6 kerusi, PKR 3 dan PAS satu di samping MB.

Taburan ini adalah berdasarkan bilangan Adun masing-masing dalam kerajaan bersama itu iaitu DAP mempunyai 18 anggota, PKR 7 dan PAS 6.

"Persetujuan ini dicapai semalam antara DAP dan PAS selepas mereka dipanggil oleh Raja Muda Perak, namun tidak dipanggil PKR kerana ketika itu PKR tidak terlibat membantah," kata Ahmad Awang.

Hari ini, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali membuat kenyataan tidak akan terlibat dalam pembentukan kerajaan negeri Perak itu.

Pagi tadi, rombongan tujuh Adun PKR di Perak menemui Penasihat Undang-undang dan seterusnya mengadap Raja Muda Perak menyatakan bantahan mereka.

Ketika dihubungi Siasah, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua memaklumkan bantahan itu dibuat kerana PKR seolah-olah tidak ada sebarang kerusi dalam kerajaan Perak yang baru itu.

Namun beliau mengaku taburan 6:3:1 dalam Exco yang baru beliau ketahui itu adalah taburan yang sangat sesuai dan boleh diterima.

Wednesday, March 12, 2008

PAS umumkan 4 perkara penting

KUALA LUMPUR, 12 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan empat perkara penting yang menjadi isu sekarang dalam sidang medianya selepas mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat hari ini.

Perkara itu adalah:

1) Beliau sendiri telah menandatangani surat bagi pihak PAS kepada Sultan Selangor menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

2) PAS hanya berunding dengan PKR dalam isu Exco Kedah dan telah memberikan tiga kerusi untuk PKR tentukan wakilnya dalam kerajaan negeri. Terserah kepada PKR untuk memilih exconya dan PAS telah menyatakan kesediaannya jika salah satunya adalah dari DAP.

3) PAS tidak menolak sepenuhnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana dasar itu ada juga kebaikannya. Bagaimanapun, PAS bersetuju dengan dasar-dasar baik yang dikemukakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan ianya telah dilaksanakan di Terengganu dan Kelantan termasuk dasar mengisytiharkan harta, tender terbuka dan sebagainya.

4) Buat masa sekarang, beliau tidak ada masa dan minat untuk berunding dengan Umno sehinggalah kesemua kerajaan negeri BA selamat ditubuhkan. Selepas itu, PAS bersedia untuk berunding dengan Umno untuk kepentingan negara.

Turut serta bersama beliau dalam sidang media itu adalah Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar dan Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar.

Tuesday, March 11, 2008

Lima negeri BA bergabung bentuk koridor ekonomi baru

KUALA LUMPUR, 11 Mac: PAS mencadangkan agar lima buah negeri yang dikuasai Barisan Alternatif (BA) sekarang bergabung membentuk koridor ekonomi di negara ini.

Cadangan ini dibuat oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut dekat sini Selasa lepas.

Negeri-negeri itu adalah Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak.

“Kalau perlu kita boleh buat rel keretapi laju atau lebuhraya antara Pulau Pinang dan Kelantan merentasi Kedah dan Perak,” kata Husam.

Ketika ditanya media, apakah ia boleh dilaksanakan, Husam berkata, ia boleh dilakukan dengan kerjasama para pelabur dan lima kerajaan negeri yang terlibat.

“Kita kena explore segala peluang yang ada untuk kepentingan rakyat,” kata Husam.

Menurutnya, menguasai lima negeri tersebut bukan perkara kecil.

“Kita kena bayangkan apa yang berlaku dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara. Lima negeri akan mendesak pengerusi agar membuat reform dalam pembangunan kewangan.

“Begitu juga dalam mesyuarat Majlis Raja-raja. Lima sultan dan MB dari negeri-negeri ini akan terlibat secara langsung dalam mesyuarat itu. Bolehlah kita bayangkan apa yang berlaku?” kata Husam.

Oleh itu, katanya, apabila lima negeri bergabung, kelima-limanya bakal menghasilkan persaingan dengan negeri-negeri di bawah BN dan kesatuan di kalangan negeri-negeri BA ini.

Berkenalan dengan bakal MB Selangor

KUALA LUMPUR, 11 Mac: Bendahari PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim yang bakal dilantik sebagai Menteri Besar Selangor adalah tokoh hebat dalam dunia korporat dan pengurusan.
Beliau dijangka bakal membawa Selangor ke arah negeri maju untuk semua rakyat jelata.

Beliau pernah bertanding dalam pilihan raya kecil Ijok, Selangor pada 28 April 2007. Tetapi cubaan pertama beliau, tewas kepada calon muda MIC Barisan Nasional iaitu Cikgu K. Parthiban.
Dalam pilihan raya ini, Khalid menang di Dun Ijok dan Parlimen Bandar Tun Razak dengan majoriti yang membanggakan.

Khalid adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Permodalan Nasional Berhad (1979-1994) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Kumpulan Guthrie Berhad (1995-2003).

Biodata

Abdul Khalid lahir pada 1946 di Kampung Jalan Raja Abdulah, Jeram, Kuala Selangor. Khalid Ibrahim belajar di Sekolah Melayu Jeram pada 1956 dan menduduki Special Malay Class. Seterusnya belajar di Sekolah Inggeris Kampung Kuantan.

Khalid Ibrahim mendapat ijazah BA.Hons dalam jurusan Ekonomi dari Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Queensland, Australia pada 1975.

Kerjaya

Khalid Ibrahim pernah bekerja sebagai guru, pensyarah, pegawai kredit , pegawai kewangan korporat dan memegang pelbagai jawatan tinggi dalam Permodalan Nasional Berhad (PNB). Beliau pernah menghadiri kursus USA International Visitors Program pada 1983 dan Eisenhower Exchange Fellowship Program pada 1989.
Beliau juga ahli majlis eksekutif Unit Investment Fund dan ahli Financial Engineering Advisory Forum di Islamic Development Bank, Jeddah. Beliau juga ahli APEC Business Advisory Council (ABAC).

Anugerah

Pada 15 Disember 1998, beliau dianugerah sebagai CEO Malaysia Terbaik 1997 dari majalah Business Times anjuran Business Times Sdn. Bhd. dan the American Express Corporate Services. Khalid Ibrahim juga menerima Anugerah International Alumnus dari Universiti Queensland 2001.
Pada 10 Julai 2003 menerima anugerah “AAAB Captain of Industry Award 2002” (First Asian Academy of Applied Business”) dari Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu. Seterusnya menjadi pensyarah pelawat di Oxford Centre of Islamic Studies, Universiti Oxford .

Atas jasa beliau, Guthrie Berhad telah membina Lebuh raya Guthrie dari Kuala Selangor ke Sungai Buluh bersambung dengan Lebuh raya Utara Selatan. Pusat latihan penyelenggaraan jentera industri dengan kerjasama UMW Berhad telah dibina di Kuala Selangor.
Program Rakan Jaya Diri diadakan di Kuala Selangor bagi melatih pelajar yang tercicir dari persekolahan dan seterusnya bekerja dengan Guthrie Berhad.

PAS komited bersama Barisan Altenatif

KUALA LUMPUR, 11 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan partinya kekal komited bersama Barisan Alternatif dan parti sahabat yang lain.

Kenyataan ini keluar ketika pelbagai pihak menyebarkan khabar angin, BN sedang memujuk PAS untuk menyertai BN kononnya untuk kepentingan orang Melayu.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

Parti Islam Se Malaysia (PAS) ingin mengulangi dan menegaskan komitmen kerjasama parti ini dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan Barisan Alternatif dan dengan rakan-rakan politik yang lain.

PAS akan bersama-sama menyertai kerajaan campuran negeri-negeri dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dan bersedia melantik dan dilantik sebagai anggota EXCO kerajaan negeri-negeri yang diterajui oleh ketiga-tiga parti itu.

Persefahaman bersama antara ketiga-tiga parti sedang disusun dan akan menjadi realiti melalui pembentukkan kerajaan-kerajaan negeri yang akan diumumkan dalam waktu terdekat ini oleh kerajaan-kerajaan negeri termasuklah Kedah yang telah pun mengumumkannya terlebih dahulu.

PAS ingin meyakinkan rakyat jelata bahawa wakil-wakilnya akan bekerja dan memikul amanah yang telah diberikan rakyat itu dengan sebaik-baiknya.

PAS AKAN TERUS BERJUANG BERSAMA BERSIH DALAM MENUNTUT PILIHAN RAYA YANG BERSIH DAN ADIL

Pilihan Raya Umum yang ke 12 baru sahaja selesai. Walaupun ianya merupakan salah satu pilihan raya yang terbaik buat PAS namun PAS merasakan yang pengurusannya tetap pincang dan berat sebelah.

Pembatalan penggunaan dakwat disaat-saat akhir, pengundian pos dan lain-lain isu operasi yang dilaksanakan SPR terus menerus membuktikan ketidak-telusan proses pilihanraya kita.

PAS akan bersama-sama Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil untuk melaksanakan post mortem Pilihan Raya Umum ke 12 ini dan akan memaparkan dapatan siasatan dalam masa yang terdekat bagi maklumat umum.

TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PARA PENGUNDI
DAN PETUGAS PAS


PAS ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih semua para pengundi, rakyat Malaysia yang telah mengundi dan memberikan sokongan kepada calon-calon PAS di seluruh negara. Ini termasuklah para pengundi bukan Melayu/Islam yang telah buat pertama kalinya secara terbuka memberikan sokongan kepada calon-calon PAS yang bertanding.

PAS berjanji akan memberikan khidmat terbaik kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan agama atau bangsa. Wakil-wakil rakyat PAS akan mengambil peluang atas amanah yang diberikan oleh rakyat ini untuk menunjukkan kebaikan dan keadilan Islam kepada semua.

Tidak lupa PAS juga ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih khasnya kepada semua para petugas dan pekerja parti yang telah mengorbankan masa, harta-benda dan titik-peluh bagi menghadapi pilihan raya kali ini, walaupun dalam suasana pilihan raya yang sangat pincang dan tempang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...