Monday, May 13, 2013

Peristiwa 13 Mei: Patut dilupakan atau dikaji?


Oleh RUSTAM A SANI

Dr Kua Kia Soong sebagai penulis buku May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots 1969 (Suaram: Kuala Lumpur, 2007) sungguh beruntung. Beberapa hari sebelum diterbitkan, dan beberapa hari setelah diterbitkan, bukunya masih meluas diperkatakan – dari posting di laman-laman blog hinggalah kepada kenyataan oleh timbalan perdana menteri.

Para pegawai dari Kementerian Keselamatan Dalam Negeri sudah mulai bertindak merampas beberapa naskah buku itu dari sebuah toko buku yang ternama di Kuala Lumpur. Meskipun ada kata-kata yang bermaksud mengancam daripada timbalan menteri tentang kemungkinan buku itu diharamkan, namun sehingga waktu rencana ini ditulis pengharaman itu tampaknya masih belum terjadi.

Bahawa rakyat Malaysia begitu berminat terhadap kandungan buku ini tidaklah terlalu menghairankan saya. Peristiwa rusuhan kaum yang telah tercetus di beberapa kawasan Kuala Lumpur-Petaling Jaya dan beberapa bandar besar di Semenanjung Malaysia 38 tahun lalu itu memanglah merupakan peristiwa hitam yang penting dalam sejarah semasa negara ini.

Namun peristiwa itu tetap merupakan peristiwa yang penuh rahsia dan sukar ditafsirkan secara saksama implikasi dan pengertiannya terhadap realiti sosial dan politik negara itu.

Sehingga kini pun masih terlalu banyak yang tidak kita ketahui tentang peristiwa itu – sebahagiannya kerana banyak fakta yang sengaja dirahsiakan daripada kita untuk memberikan kredibiliti kepada penceritaan "rasmi" tentangnya, dan sebahagiannya kerana pentafsirannya yang diputarbelitkan pihak-pihak tertentu demi kepentingan politik mereka sendiri.

Buku terbaru Kua ini menarik minat umum kerana penceritaan dan analisisnya didasarkan pada dokumen-dokumen yang sudah tidak dilindungi dan dirahsiakan lagi di Pejabat Rekod Awam di London.

Sejak dua tiga hari sebelum buku itu dilancarkan, Malaysiakini telah menyiarkan banyak bahan promosi tentang buku ini (termasuk wawancara dengan Kua). Pada 13 Mei lalu (sempena "perayaan" peristiwa itu dan Hari Ibu) pelancaran buku tersebut telah berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di Kuala Lumpur.

Turut terlibat dalam forum pelancaran dan pembicaraan buku itu ialah beberapa penulis dan ahli akademik seperti Dr Syed Husin Ali, Dr S Nagarajan dan Beth Yaph – selain pembicaraan oleh Kua sendiri.
Saya sendiri sejak semula telah membuat telahan bahawa buku tersebut akan merupakan buku yang penting lagi menarik – dan akan menimbulkan perbincangan yang mendalam dan meluas di kalangan masyarakat.  Bagi saya, Peristiwa 13 Mei itu merupakan peristiwa yang penting, meskipun getir, untuk difahami kerana implikasinya yang mendalam terhadap ciri-ciri suasana sosial dan politik di negara kita hingga kini.

Secara kebetulan, tahun lalu (9 September 2007) saya telah memasang sebuah "posting" di laman blog saya dalam bahasa Inggeris yang berjudul: Are We Heading Towards Another May 13? Rencana itu mulanya ditawarkan kepada Malaysiakini yang enggan menyiarkannya – tetapi kemudiannya disiarkan oleh Aliran Monthly (September 2007).

Kegusaran yang telah mendorong saya menulis rencana itu ialah tanggapan saya bahawa ciri-ciri serta keriuhan wacana dan percaturan yang seringkali terjadi sekitar waktu itu amat kuat mengingatkan saya akan persamaannya yang mengerikan dengan suasana sekitar waktu tercetusnya peristiwa rusuhan kaum pada Mei 1969.

Percaturan politik yang saya maksudkan itu ialah peristiwa saling kecam mengecam – dan saling menuntut permohonan maaf – antara para pemimpin pemuda Umno (seperti Khairy Jamaluddin dan Hishamuddin Hussein yang menghunus keris) dan para pemimpin parti-parti Cina seperti MCA dan Gerakan, isu-isu yang bersifat keagamaan, isu peratusan habuan untuk pelbagai kaum sebagai kesan DEB, dan sebagainya.

Oleh itu saya berasa khuatir bahawa percaturan politik yang demikian itu akan membawa kepada kesan politik dan sosial yang sama seperti yang telah terjadi pada tahun 1969 itu.

Setelah membeli, dan membaca buku Kua itu secara sambil lalu, pada majlis pelancaran itu, memang saya akui bahawa buku tersebut merupakan suatu sumbangan penting terhadap kefahaman kita tentang sejarah sosial dan politik terkini negara ini. Namun demikian, saya tidaklah begitu yakin bahawa penerapan bahan-bahan "declassified" itu dengan sendirinya akan menaikkkan taraf maupun nilai analisis buku tersebut.

Seperti yang dinyatakan oleh Syed Husin dalam forum pelancaran buku itu, laporan para diplomat Inggeris dan para diplomat Komanwel (Australia dan New Zealand, misalnya) maupun laporan para wartawan Barat tidak semestinya lebih tepat, lebih peka malah lebih telus daripada pemerhatian orang tempatan atau penganalisis tempatan.

Bagi saya, kesimpulan paling menarik yang dikemukakan Kua dalam buku yang memanfaatkan bahan-bahan tersebut ialah bahawa peristiwa 13 Mei itu merupakan hasil daripada sebuah coup d'etat yang berhasil yang telah dilancarkan oleh beberapa pemimpin Umno lainnya dan sekumpulan para kapitalis tunjangan negara (state capitalists) terhadap Tunku Abdul Rahman yang mereka anggap terlalu berlembut dengan kaum Cina.

Selain itu, kelompok itu juga menjadi gempar oleh kedudukan mereka yang terasa goyah oleh keputusan pilihan raya umum tahun 1969 yang baru sahaja berakhir, dengan keputusan yang begitu menggalakkan bagi pihak pembangkang.

Oleh kerana golongan ini turut menguasai jentera negara, maka beberapa alat negara seperti polis dan tentera tidaklah dapat dianggap sebagai unsur-unsur yang berkecuali dalam peristiwa itu. Para "hoodlums" (samseng) Melayu dari luar juga telah diangkut ke Kuala Lumpur untuk terlibat dalam peristiwa itu.

Saya memang senantiasa menyokong seruan agar Peristiwa 13 Mei itu dikaji dengan mendalam dan terperinci – dengan mengutip sebarang bahan bukti yang mungkin dan sebarang bahan dokumen yang mungkin. Namun, kajian yang demikian itu mestilah mantap dari segi pemikiran analitisnya dan mantap perspektif intelektualnya – bukan sekadar untuk menuduh sesuatu pihak sebagai bertanggungjawab.

Bagi saya, sekarang pun – sewaktu buku Kua ini sedang mendapat perhatian dan perbincangan yang mendalam – terlalu banyak nada perbincangan yang tidak sihat yang dapat saya kesan. Dan nada perbincangan seperti itu – yang berlangsung dalam suasana dan iklim politik Malaysia yang amat perkauman (racist) sifatnya ini – tidaklah akan membawa kita kepada kefahaman yang bermanfaat.

Malah saya khuatir perbincangan yang bernada demikian itu – seperti yang telah saya nyatakan dalam posting di laman blog saya tahun lalu itu – lebih banyak kemungkinannya mencetuskan lagi peristiwa getir yang sama juga seperti Peristiwa 13 Mei itu.

Pada asasnya saya dapat melihat dua perspektif yang terbit daripada perbincangan yang telah dicetuskan oleh buku Kua ini.

Di satu pihak terdapat golongan racist Melayu. Mereka ini tetap melihat Peristiwa 13 Mei itu sebagai sesuatu yang wajar dicetuskan oleh orang Melayu – demi mempertahankan kedudukan dan hak mereka sebagai kaum peribumi.

Jika ada para ahli politik Melayu yang sebenarnya mengambil kesempatan daripada suasana keruh tahun 1969 itu, maka mereka itu harus dianggap sebagai wira dan penyelamat Melayu. Oleh itu, perbuatan jahat mereka itu tidak harus diungkit-ungkit dan diperkatakan lagi – malah harus disanjung atau sekurang-kurangnya dilupakan begitu sahaja.

Di hujung yang lain pula terdapat pandangan golongan racist bukan Melayu yang menganggap Peristiwa 13 Mei itu sesungguhnya sebagai suatu pertanda jelas tentang sifat perkauman dan sikap menindas di kalangan orang Melayu (atau satu kelompok pemimpin mereka yang bersifat fascist).

Bagi sudut pandangan ini, Peristiwa 13 Mei itu harus terus menerus dikaji dan diperkatakan – sehingga hakikat sebenarnya (yakni sikap perkauman orang Melayu itu) disedari dan dikecam – dan sikap "tidak perkauman" orang bukan Melayu, serta keperluan mereka membela diri dan menyelamatkan budaya mereka, diberikan pengikhtirafan yang sewajarnya.

Pandangan saya sendiri cenderung untuk menolak kedua-dua perspektif ini. Bagi saya sikap perkauman dalam politik Malaysia bukanlah monopoli orang Melayu atau parti pemerintah sahaja. Sikap itu, hingga ke hari ini, merupakan ciri asasi kehidupan sosial dan politik yang dominan di kalangan semua pihak dan kelompok di negara ini.

Penerusan sikap ini, bagi saya, merupakan bukti kegagalan kolektif kita semua untuk melakukan penyimpangan daripada struktur sosial yang telah diwariskan oleh situasi kolonial dalam proses pembinaan bangsa kita selepas kemerdekaan. Penerusan sikap perkauman yang masih wujud hingga kini merupakan pertanda tentang kegagalan cendekia kita semua.

Bagi saya, Peristiwa 13 Mei itu sekadar merupakan satu bukti tentang kegagalan tersebut. Yang bersikap racist sekitar peristiwa tersebut, sehingga mencetuskan rusuhan, bukanah sekadar Melayu dan bukan juga sekadar bukan Melayu – tetapi semuanya.

Jerit pekik para hoodlum Melayu di depan kediaman Harun Idris di Princess Road memanglah bersikap perkauman, tetapi demikianlah juga perarakan kelompok bukan Melayu di Chow Kit Road dan di Imbi Road. Di kedua-dua pihak memang terdapat para "pemimpin" jahat yang senantiasa menunggu peluang untuk memanfaatkan situasi yang genting seperti itu.

Sehingga kini realiti sosial dan politik kita masih terus berkeadaan demikian, masih belum berubah – semata-mata kerana kedangkalan cendekia kita semua. Sehingga kini juga para pemimpin yang demikian memang terdapat di semua pihak, bersiap sedia untuk memanfaatkan sebarang suasana genting yang bakal dicetuskan oleh kecetekan cedekia kita bersama itu.

Realiti inilah yang sepatunya merisaukan kita, mencemaskan kita, bukan sekadar bercakap kosong berulang-kali tentang Peristiwa 13 Mei yang sama – meskipun dengan menggunakan bukti-bukti baru dari sumber-sumber baru tetapi dengan terus menggunakan pemikiran dan kefahaman kita yang terus menerus cetek dan dangkal.

 Artikel di atas ditulis oleh Allahyarham Rustam A Sani, dan diterbitkan pertama kali dalam akhbar Siasah bilangan 48 pada 2007.

1 comment:

Anonymous said...

Asalamualaikum,
Sejarah Darurat dan 13 Mei perlu menjadi subjek wajib pelajar sejarah di malaysia.
Sayangnya ramai profesor san Sejarah enggan menyediakan kursus khas Malaya-malaysia zaman darurat. Sejarah Tunku Abdul rahman juga tiada dalam syllabus sejarah peringkat undergraduate di Malaysia.
Satu lagi kursus wajib ialah Konfrantasi Malaysia Indonesia.
Sayang ramai di Jabatan Sejarah IPTA cuba cover sejarah malaysia dalam jangkamasa terlalu lama contoh semenjak Perjanjian Pangkor hingga Malaya merdeka.
Sedangkan sejarah Darurat adlaah kursus khusus. Sejarah Konfrantasi juga subjek khusus sarjana muda Sejarah Malaysia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...