Thursday, October 18, 2012

Chua Soi Lek timbul isu hudud untuk hadapi PRU 13

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek terus membangkitkan isu hudud dengan memperbesarkan apa yang didakwa ancamannya kepada ekonomi negara, mendakwa 1.2 juta rakyat bakal kehilangan pekerjaan jika undang-undang itu dilaksanakan.

Kenyataan terbaharu Chua itu tidak banyak perbezaan dengan kenyataannya sebelum ini berhubung hudud, termasuk mengatakan pelabur asing akan meninggalkan Malaysia sekiranya hudud dijalankan.

Kenyataan Chua kali ini, dengan memetik sumber teks pesanan ringkas melalui telefon, menampakkan isu hudud sengaja ditimbulkan lagi untuk meneruskan kehangatan debat isu ini dalam politik negara.

Dari sudut strategi, menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, isu hudud yang menjadi satu isu yang boleh menentukan undi kaum Cina perlu dimainkan lagi untuk kepentingan MCA.

Kejayaan pertama Chua ialah isu ini telah hangat menjadi perhatian di media, dan dijangka akan turut menjadi perhatian khusus media berbahasa Cina, kerana debat ini melibatkan parti-parti mewakili kepentingan Cina.

Perhatian pengundi Cina terhadap isu ini, mengikut kepentingan MCA, perlu diteruskan dan dijadikan isu yang menjadi faktor pengundian mereka.

Dakwaan yang disebut - yang hanya dipetik daripada SMS - akan segera berakhir, tetapi kehangatan debat hudud dalam media akan berterusan.

Pengundi Cina menjadi sasaran debat terkini ini, yang dijelaskan melalui fokus kepada ekonomi yang menjadi tumpuan utama MCA dalam mengulas isu hudud.

MCA turut mengundang reaksi daripada DAP, yang bakal terus diserang kerana mempunyai hubungan dengan PAS yang dikaitkan dengan hudud, walaupun hal ini bukan lagi menjadi keutamaan parti Islam itu.

DAP, sebagai tindakan untuk menenangkan dan meyakinkan konstituensinya biasanya akan memgeluarkan kenyataan tegas menolak hudud untuk membuktikan yang parti itu tidak dipengaruhi PAS dan menolak sepenuhnya hudud, seperti juga MCA.

Hal yang sama telah berlaku dalam bentuk yang hampir sama semasa DAP bersama PAS dalam gabungan Barisan Alternatif. Strategi yang sama digunakan lagi oleh MCA kali ini.

DAP, walaupun kelihatan semakin bijak menangani sentimen Melayu - seperti dilakukan di Pulau Pinang - masih terikat dengan komitmen ideologinya yang mengutamakan pemisahan agama Islam dengan politik di negara ini.

Seperti diperhatikan malah sejak tertubuhnya Pakatan Rakyat, DAP terpaksa memberi respons yang tegas dalam isu hudud, demi menjaga sentimen pengundinya dan pegangan sekular dan tidak mesra dengan Islam yang menunjangi parti dikuasai Cina itu.


Wednesday, October 10, 2012

Faktor ekonomi jadi penentu PRU 13

Mesyuarat tahunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa di Tokyo, Jepun telah menunjukkan tanda-tanda ekonomi global yang semakin tidak memberangsangkan pada tahun-tahun mendatang.

Menurut Bank Dunia, pertumbuhan Asia akan menjadi lebih perlahan, sebahagiannya disebabkan ekonomi China yang semakin perlahan, walaupun rantau ini disebut-sebut sebelum ini sebagai agak terlindung daripada situasi di Eropah dan Amerika Syarikat.

IMF pula menjangkakan pemulihan ekonomi yang semakin lemah, disebabkan dasar-dasar kerajaan yang gagal memulihkan keyakinan.

Menurut laporan, IMF menurunkan unjuran pertumbuhan 2012 daripada 3.4 peratus Julai lalu kepada 3.3 peratus. Pertumbuhan ekonomi dunia tahun depan pula diturunkan kepada 3.6 peratus, berbanding 3.9 tiga bulan lalu.

Menurut badan itu lagi, pertumbuhan yang semakin perlahan pada tahun ini dan tahun hadapan bakal disertai peningkatan risiko. 

Malaysia, sebagai pengeksport komoditi dijangka berdepan cabaran penurunan harga, walaupun dijangka dapat mengurangkan beban subsidi ekoran penurunan harga minyak.

Senario diramalkan Bank Dunia dan IMF ini mungkin menjadi salah satu faktor pemerintah Barisan Nasional tidak akan melewat-lewatkan lagi Pilihan Raya Umum ke-13, lebih-lebih lagi selepas beberapa bulan memasuki 2013, untuk mengelak kesan negatif hasil reaksi rakyat dan pembangkang ekoran ekonomi yang merudum.

Walau bagaimanapun, tempoh beberapa bulan akan datang dijangka tidak memberi kesan yang kuat terhadap pemerintah ekoran gula-gula belanjawan yang mula diagihkan, termasuk bonus kepada kaki tangan awam dan pemberian lain.

Keadaan ekonomi ini paling utama dijangka menghangatkan lagi suasana politik pada penggal akan datang selepas Pilihan Raya Umum ke-13, memberi tekanan tambahan kepada kerajaan yang bakal memerintah, sama ada di peringkat pusat mahu pun negeri, ditambah lagi dengan cabaran pelaksanaan belanjawan 2013 yang melibatkan perbelanjaan besar.

Cabaran sosio-ekonomi juga bakal dihadapi dalam suasana peningkatan harga makanan yang pantas pada masa ini, perkembangan yang menambahkan lagi kehangatan suasana politik, termasuk di negara membangun seperti Malaysia yang peratusan pendapatan dibelanjakan untuk makanan semakin meningkat.

Thursday, October 4, 2012

Menjelang PRU 13, LGBT kembali jadi perhatian

Ketika Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir, dan menjelang genap setahun kontroversi LGBT berhubung Seksualiti Merdeka dan konsert Elton John tahun lalu, debat isu LGBT kembali panas.

Isu orientasi seksual LGBT kembali menjadi berita besar ekoran pendedahan garis panduan mengenali LGBT untuk ibu bapa yang dilapor disokong Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sekumpulan aktivis gay sebagai reaksi menganjurkan hari leher-v di sekitar menara Petronas di KLCC pada 1 Oktober lalu, yang turut menjadi acara publisiti kempen kesedaran kumpulan tersebut.

Sebelum itu, sebuah restoran mesra gay, Fierce Curry House memberikan nasi beriyani percuma kepada 15 lelaki pertama yang muncul dengan baju leher-v, juga sebagai reaksi kepada laporan garis panduan itu. (Fierce ialah satu istilah yang pernah popular dalam kalangan gay di Amerika Syarikat dan juga seluruh dunia, untuk menyifatkan "cool" atau hebat.)

Debat isu LGBT kini semakin terbuka dan menyaksikan pertembungan ide yang keras antara kedua-dua kumpulan konservatif dan liberal di negara ini, dan bakal menjadi isu besar dalam politik negara, yang selama ini dikuasai konservatif.

Kelompok LGBT dijangka bakal menunjukkan kuasa undi dengan memberikan sokongan politik yang kuat kepada kumpulan yang liberal dan lebih toleran terhadap orientasi seksual mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Isu orientasi seks yang diterima sebagai hak asasi menurut tafsiran hak asasi manusia liberal Barat dinilai dengan sangat kritikal oleh Muslim dan penganut agama utama dunia, yang menolaknya sebagai sesuatu yang menyeleweng.

Walau bagaimanapun, layanan buruk terhadap golongan ini pula dinilai sebagai bertentangan dengan hak asasi melibatkan penghormatan terhadap manusia.

Akademik yang banyak mengkaji masyarakat minoriti, Dr Mohd Faizal Musa yang lebih dikenali dengan nama penanya Faisal Tehrani dalam satu tulisan baru-baru ini menjelaskan: "Bersabit dengan LGBT di Malaysia, maruah manusia (human dignity) pengamalnya harus dilindungi. Mereka tidak wajar diaib dan didiskriminasi.

"Pun, sebagai ingatan semula hak-hak LGBT di Malaysia bagaimanapun sangat bergantung kepada nilai-nilai moral (moral values); ketenteraman awam (public order); dan hak-hak manusia lain (rights of others). Sebagai anggota masyarakat pengamal LGBT dijangka akur dengan formula di atas.

"Untuk generasi muda di Malaysia pula, yang harus didedahkan kepada mereka adalah apa itu perbezaan dan bagaimana menanganinya dengan betul. Bukan mengajar mereka melakukan pelabelan dan stigma."


Belanjawan populis akibat politik sengit

Belanjawan 2013 yang dibentangkan minggu lalu menepati jangkaan banyak pihak apabila muncul sebagai bajet yang amat populis, meneruskan dan meningkatkan pemberian tunai dan bonus untuk kakitangan perkhidmatan awam.

Hakikat bahawa belanjawan kali ini merupakan satu persediaan menghadapi pilihan raya akan datang telah jelas dan banyak diulas.

Apa yang agak mengejutkan ialah tawaran yang kelihatan tidak berdasarkan perkiraan jangka panjang seperti rebat untuk belia membeli telefon pintar - melalui pembekal terpilih - yang kini lebih banyak berfungsi sebagai aksesori semasa.

Fokus pemerintah pada kali ini, iaitu belia dan kakitangan kerajaan amat jelas, sebagai usaha menarik dan menjamin undi yang selesa daripada golongan ini.

Apa yang turut mengejutkan ialah kekurangan reaksi tegas dan konstruktif terhadap belanjawan populis yang memerlukan belanja besar untuk dilaksanakan daripada pihak bertanggungjawab.

Ekonomi negara dan pembangunan jangka panjang kini terabai akibat persaingan politik sengit sehingga pentadbiran Najib menghasilkan belanjawan populis yang kurang berhemah.

Populisme berlebihan dalam pentadbiran negara tidak menyumbang kepada dasar dan tindakan yang berhemah, yang lebih diperlukan dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, ditambah dengan prospek krisis makanan dan kekurangan sumber.

Di negara jiran, Thailand, hal yang sama telah berlaku dan wajar menjadi pengajaran, apabila populisme yang ekstrem mengancam ekonomi negara.

Lebih empat tahun selepas pilihan raya umum pada Mac, 2008, persaingan politik yang sengit antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dan konsultasi bipartisan yang amat kurang kini menampakkan kesan negatifnya.

Kepentingan ramai dan jangka panjang semakin terjejas akibat persaingan BN-PR yang amat sengit dan lebih kelihatan berlandaskan kepentingan politik kelompok.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...