Perhimpunan Bersih ketiga akan berlangsung esok, Sabtu 28 April, 2012, tidak sampai setahun selepas Bersih 2.0 diadakan di ibu negara pada Julai tahun lalu.
Ini menjadikan isu pilihan raya dan keazaman untuk mengambil alih pemerintahan pusat menjadi agenda terbesar dan paling berprofil tinggi gabungan Pakatan Rakyat, jauh mengatasi program-program lain.
Dua isu menjelaskan strategi PR dalam menggerakkan Bersih dengan agresif, dan tindakan segera mengedakan perhimpunan ketiga tidak lama selepas Julai 2011 dan selepas banyak tuntutan Bersih 2.0 dilaksanakan.
Fokus pada Bersih ini menunjukkan keagresifan PR dalam usaha untuk menjejaskan imej kerajaan Umno dan Barisan Nasional dalam usahanya mahu menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Walaupun Bersih ditegaskan sebagai inisiatif pertubuhan bukan kerajaan, penggerak dan pihak yang mempunyai kepentingan terbesar tetap parti-parti PR.
Perhimpunan Bersih boleh dijangka akan diadakan walau apa pun tindakan dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan pemerintah, kerana demonstrasi Bersih setakat ini menjadi salah satu senjata utama PR dalam memperlihatkan sokongan massa padanya dan untuk melakukan diskredit terhadap BN dan juga SPR.
PR pada mulanya menumpukan pada isu penggunaan dakwat kekal tetapi kemudian meningkatkan lagi tuntutan dan pada masa sama terus mempersoalkan integriti proses pilihan raya walaupun selepas penggunaan dakwat kekal diterima.
Dalam hal ini, tumpuan agak berlebihan PR pada dakwat berbanding integriti senarai pemilih dan isu lain seperti penambahan pengundi seperti di Selangor mungkin telah sedikit menjejaskan kempen PR dari sudut itu.
Tumpuan PR pada demonstrasi Bersih yang mudah menarik perhatian dan meletakkan kerajaan BN dalam defensif itu memperlihatkan strategi itu kini menjadi pilihan dalam usaha menjejaskan imej Najib dan BN dan juga mencetuskan kegelisahan dalaman Umno dan BN, malah juga birokrasi negara.
Tumpuan pada Bersih ini antaranya disebabkan perhimpunan ini sejak kali pertama diadakan pada 2007 sentiasa menjadi tumpuan dunia, dan ini membantu meningkatkan imej positif gabungan PR dan selari dengan naratif dominan perjuangan menentang kerajaan yang melaksanakan pilihan raya kotor demi mengekalkan kuasa.
Sokongan antarabangsa, terutama dari negara-negara Barat yang mampu memberikan bantuan dalam pelbagai bentuk ialah sesuatu yang diperlukan PR dalam menghadapi BN.
Dalam era kebangkitan rakyat menentang pemerintahan autoritarian, Bersih dengan mudah memenuhi naratif rakyat menentang pemerintah zalim.
Protes mahasiswa yang juga diadakan di Dataran Merdeka juga menyumbang kepada kempen menjejaskan pemerintah BN, kerana paling utama menunjukkan penentangan yang semakin terbuka dan berleluasa terhadap pemerintah, walaupun isu yang diperjuangkan dan disepakati tidak pernah diperincikan dan disampaikan dengan jelas.
Mesej yang disampaikan oleh protes mahasiswa itu ialah penentangan terhadap pemerintah, membawa mesej pemerintah semakin tidak popular. Bersih 3.0 yang menjelaskan lagi gambaran besar yang mahu dibina itu.
Protes yang diadakan secara global juga akan meningkatkan lagi tumpuan pada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, yang masih belum reda daripada kejutan dan kesan berpanjangan protes Bersih kedua 10 bulan lalu.
Minggu-minggu selepas protes Bersih akan membawa masalah mengurus kerosakan kepada Najib dan parti pemerintah, dan pembangkang boleh mengharapkan kesan ini dapat membantu dalam menuju ke pilihan raya umum akan datang.
PR mempunyai keperluan untuk terus memainkan isu proses pilihan raya yang kotor dalam usaha meletakkan dirinya sebagai pihak yang memiliki kekurangan besar (disadvantage).
Di seluruh dunia, dari Ukraine ke Asia Tengah hingga ke Malaysia, isu integriti proses pilihan raya mudah untuk meletakkan kerajaan memerintah dalam keadaan defensif, terutama selepas tinjauan demi tinjauan berjaya membentuk persepsi yang pembangkang bakal menang, atau sekurang-kurangnya menerima peningkatan sokongan.
Sekiranya pembangkang tidak mencapai keputusan seperti yang didapati melalui tinjauan, persepsi yang akan dimainkan ialah berlakunya penipuan dalam proses pilihan raya, dan permainan imej memburukkan kerajaan memerintah akan lebih mudah dilakukan, seperti disaksikan di Ukraine pada 2005.
Pemilihan Dataran Merdeka sebagai tempat perhimpunan menjelaskan keperluan mendapat tumpuan ramai termasuk media dan warga tempatan.
Kedudukan Dataran Merdeka di tengah-tengah kawasan yang antara paling sibuk di Kuala Lumpur berupaya memberi kesan yang dikehendaki, iaitu mencetuskan suasana protes yang akan menepati kehendak bentuk laporan media dalam dan luar negara, yang secara keseluruhannya memihak kepada Bersih.
Selain itu, ada pemerhati yang mengatakan tempat lain seperti Stadium Bukit Jalil boleh menampakkan jumlah kehadiran yang tidak sebesar yang digembar-gemburkan sekiranya kehadiran kurang daripada kapasiti stadium, berbanding kawasan Dataran Merdeka yang di tengah-tengah kesesakan Kuala Lumpur.
Pada masa sama, Bersih 3.0 juga memerlukan konfrontasi dengan pihak berkuasa untuk menampakkan halangan yang dihadapi, yang boleh memperlihatkan kebimbangan pemerintah terhadap program kumpulan ini.
Isu-isu sekitar Bersih ketiga, yang berkaitan rapat dengan usaha parti-parti PR untuk mendapatkan momentum menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 juga semakin dinilai dengan kritikal oleh sesetengah pemerhati.
Selepas usaha dilaksanakan untuk membaik pulih proses pilihan raya, kesungguhan untuk mengulangi protes Bersih juga kelihatan sebagai acara untuk memperlihatkan sokongan yang masih kuat, dan juga mungkin untuk mengalihkan tumpuan daripada masalah dihadapi PR, terutama PKR, dan sebagai serangan balas kepada jentera media BN yang semakin agresif.
Kesan selepas Bersih 3.0 - yang ketiga diadakan dan paling hampir dengan Pilihan Raya Umum ke-13 - nanti akan memberi gambaran lebih jelas sebanyak mana kelebihan diperolehi oleh gabungan PR dalam kempennya menuju Pilihan Raya Umum ke-13.
2 comments:
yang pastinya PR semakin jauh di hati rakyat Malaysia!
setengah dari perlakuan PR menggambarkan betapa gagasan PR itu sebenarnya dalam kejahilan yang melampau!
berbahagialah warga Malaysia yang waras..!
Jahil atau tidak itu adalah persepsi masing2. Yang pasti dan boleh diterima oleh majoriti rakyat adalah BN sedia menipu secara besar2an dan terangan untuk kekalkan kuasa. Memberi kerakyatan semata2 untuk tambah penyokong adalah satu penderhakaan terhadap bangsa dan negara. Hasil dari penipuan juga adalah haram disisi agama. Buka minda kita dan renungkan sejenak tanpa memihak kpd sesiapapun, pasti anda akan nampak dgn jelas buruknya dan zalimnya letak di mana. Jujur pada diri anda dalm penilaian. Ingat, jujur, jujur, jujur.
Post a Comment