Saturday, December 3, 2011

Game changer, PRU 13 dan masa depan Umno

Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak telah memberikan isyarat paling jelas untuk parti utama pemerintah pusat itu bersedia hadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Ucapan Najib dalam perhimpunan agung Umno itu mengandungi banyak peringatan dan dorongan, yang berkait rapat dengan penerusan hidup Umno selepas menghadapi pilihan raya umum nanti.

Selepas Mac 2008, Umno menjadi parti yang paling banyak berada dalam keadaan defensif ekoran serangan agresif dan konsisten pakatan pembangkang, walaupun masih menjadi parti pemerintah.

Ideologi dan segala pegangan serta amalan Umno dikecam hebat sebagai perkara yang paling rosak dan buruk. Umno disinonimkan dengan korupsi, rasisme dan segala elemen jahat.

Menjelang 16 September, 2008, Umno kelihatan tergugat dan cemas berdepan ancaman pembangkang mengambil alih pemerintahan negara.

Ucapan dasar Najib sebagai presiden Umno menampakkan kesedaran terhadap ancaman-ancaman dihadapi Umno sejak 2008, yang berterusan hingga Umno kelihatan tidak sempat mencari ruang bernafas.

Peringatan bersedia menghadapi elemen yang mencetus perubahan dramatik permainan politik (game changer) yang diucapkan Najib mendedahkan kebimbangan parti pemerintah itu terhadap realiti semasa seperti bahasa baharu politik dan peranan media sosial yang semakin berpengaruh.

Setakat ini Umno nampaknya masih mampu menangani serangan media internet (walaupun dengan belanja yang besar) dan usaha Najib memulihkan imej dirinya dan parti kelihatan menampakkan hasil positif.

Walau bagaimanapun, pemulihan itu hanya satu aspek daripada banyak hal yang menyentuh pengundi, dan menjadi faktor diambil kira dalam memberikan undi.

Perubahan melibatkan penyebaran maklumat dan sentimen terhadap pemerintah sememangnya menjadi faktor yang mengubah permainan politik negara.

Pembangkang dan segala elemen penentang establishment di negara ini berjaya membawa dan menyebarkan bahasa baharu yang menjejaskan Umno dengan teruk, ketika Umno sebahagian besarnya masih bercakap dalam bahasa lama dan kurang sedar dengan realiti pasaran bebas ide.

Ucapan Najib menampakkan kesedaran itu, dan peringatan yang diberikan (yang bukan pertama kali ditujukan kepada "orang Umno") menampakkan kesungguhan.

Tetapi kedudukan Umno yang lama di tampuk kuasa telah membina satu budaya dan pandangan yang menyumbang kepada berleluasanya sentimen negatif terhadap parti itu, dan memerlukan masa yang panjang untuk diuruskan.

Najib ada mengingatkan ahli supaya tidak bersikap sombong dan angkuh. Malangnya, wacana sebagai pihak yang mempunyai kuasa sejak merdeka menjadikan sifat itu sebagai sesuatu yang kuat dalam Umno.

Budaya berwacana, menangani pelbagai isu dengan rasional masih sukar diterima oleh Umno, terutama di peringkat bawah yang lebih banyak berdepan dengan rakyat biasa.

Dua contoh mudah ialah isu seperti melibatkan projek ternakan lembu yang dikaitkan dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan tindakan beberapa orang selebriti menyertai atau menunjukkan sokongan kepada pembangkang.

Reaksi dominan dalam Umno ialah membalas kritikan terhadap pengkritik dengan emosi dan bermain sentimen tanpa menjawab persoalan sebenar, dalam kes Shahrizat. Yang kedua, kecaman dan tuduhan tidak mengenang budi kepada selebriti yang menyokong pembangkang.

Seperti diperhatikan dalam wacana dominan blog-blog Umno, selebriti yang menyokong pembangkang dikait dengan isu seperti "tidak mengenang budi" dan sebagainya, yang berdiri di atas pegangan sokongan kepada pembangkang ialah pengkhianatan.

Kedua-dua kes ini menunjukkan kelemahan besar Umno yang gagal menjawab secara rasional, tersusun dan bertanggungjawab, dan andaian bahawa segala diperolehi rakyat selama ini (termasuk selebriti terbabit) ialah jasa Umno (yang menimbulkan dakwaan tidak mengenang budi itu).

Bahasa yang diucapkan ini ialah bahasa lama, berdasarkan pemikiran lama yang tidak mesra dengan kritikan dan pertanggungjawaban. Bahasa ini tidak mempersoalkan pemisahan kuasa antara Umno, kerajaan yang memerintah dan negara.

Perubahan dalam wacana politik ini masih kurang disedari Umno yang selama ini bersaing dalam medan permainan yang berat sebelah, dengan Umno memiliki segalanya termasuk monopoli terhadap "kebenaran."

Permainan hari ini sudah berubah dan perang pemikiran semakin menyebelahi pembangkang dan segala kuasa liberal yang bersedia memerangi Umno dan segala pegangannya.

Perubahan ini mungkin satu game changer yang paling sukar ditangani Umno, dan semakin menjadi faktor yang menjadikan masa depan Umno dibayangi persoalan.

3 comments:

Anonymous said...

Tahniah kepasa Siasah daily kerana post yang tidak berat sebelah seperti mana2 blog politik lain..

Takdeselibriti di PAS said...

Memang tepat analisa mengenai Bob apa tu yang masuk PAS.

Sepatutnya bukan dikatakan tidak mengenang budi tetapi lebih tepat lagi orang yang dah tak laku masuk PAS.

Semua penyanyi yang dilupakan dan takde tawaran menyanyi atau dah tua masuk PAS.

Sebabnya PAS itu parti orang Melayu yang gagal dan kecewa.

Tidak hairan ada Melayu yang akan beralih ke PAS bila dah gagal.

Mainstream Melayu adalah Siti, Era, Lisa Surihani, Ann Hadi, dan yang cantik lah.

Yang dah tua tu akan beralih ke PAS sebab mungkin fikir nak mati jadi PAS ni untuk parti mereka yang nak mati agaknya hehe

murad said...

Salam BRO....
Alhamdulillah, ramai artis dh msk PAS demi membuktikan perjuangan sebenar figure Islam berbanding UMNO dan sekutu BN yg nyata lagi jelas menolak Islam dr segi hukum dan perundangan.
Mereka msk PAS bkn sbb dh x laku @ tua @ gagal tetapi telah mendpt hidayah Allah. Mereka yg membuka aurat, berpegangan antara laki + perempuan, minum arak, lupa akhirat adakah ini yg dikatakan berjaya (tidak gagal). Memamng buta mata saudara jika pendapat saudara mengatakan demikian.
Kami golongan pendidik (pensyarah,guru,mahasiswa) ramai yg telah 100% menyokong PAS. Adakah kami juga digolongkan dlm golongan org yg gagal!
Tepuk dada tanya Iman....
Moga Allah beri hidayah pd saudara...AMIN.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...