Oleh MUHAMMAD FAISAL ASHAARI
Isu pegang anjing yang heboh sehari dua ini bukan sekadar
dibincangkan dari sudut hukum atau dari sudut fiqh, tetapi lebih dari
itu ia perlu dibincangkan dari sudut pemikiran moden yang berkembang
dalam kalangan generasi baru.
Dari sudut fiqh, ada mazhab yang ketat
dalam isu pegang anjing dan pula mazhab yang memberikan ruang dan
kelonggaran seperti mazhab Hanafi.
Ia sepatutnya tidak menjadi masalah
yang besar kerana wujud kelonggaran dari sudut agama.
Masalahnya ialah
ia bercanggah dengan adat dan tradisi orang Melayu di negara ini yang
berasa canggung dengan anjing. Ia dikukuhkan lagi dengan mazhab fiqh
orang Melayu yang berasaskan kepada mazhab Syafie yang kurang mesra
dengan anjing.
Dari sudut pemikiran,
mengetengahkan isu pegang anjing merupakan suatu jenis pemikiran yang
dinamakan sebagai pascamodenisme iaitu pemikiran yang sentiasa
mengkritik apa yang telah mapan atau yang sudah biasa diamalkan dalam
masyarakat atau melakukan sesuatu menyanggah kebiasaan masyarakat. Ia
menjadi trend semasa kepada generasi masa kini yang dipercayai atas
alasan itu adalah hak mereka.
Banyak aktiviti kehidupan generasi masa
kini yang cuba menyalahi amalan kebiasaan pada masa lalu yang dianggap
sebagai inovasi. Malah, menyanggahi amalan kebiasaan dalam sesetengah
keadaan sangat digalakkan atas nama inovasi. Memang tidak semua
sanggahan terhadap tradisi itu haram melainkan sekiranya menyanggah
perkara yang diwajibkan dalam agama.
Sikap
suka menyanggahi amalan tradisi termasuk agama adalah sifat utama kepada
liberalisme dan pluralisme yang cuba membebaskan diri dari sebarang
ikatan autoriti. Sifat agama yang mengikat tidak membenarkan penganutnya
membebaskan diri dan melakukan amalan ikut hawa nafsu.
Namun, bagi
seorang pluralis dan liberalis, tradisi dan agama telah mengongkong
kehidupan mereka. Maka, menyanggahi tradisi termasuk agama adalah suatu
keperluan. Mereka mengkritik biarpun perkara yang sudah tetap di dalam
agama. Fenomena inilah yang disebut sebagai pascamodenisme.
Isu
pegang anjing merupakan suatu usaha yang halus yang boleh dikaitkan
dengan usaha untuk meruntuhkan pegangan umat Islam terhadap tradisi,
termasuklah agama. Setakat ini, pegang anjing bukanlah suatu isu penting
yang perlu diangkat sebagai bahan perbincangan oleh umat Islam.
Banyak
lagi isu yang perlu diberikan perhatian oleh orang Islam seperti isu
akidah, isu arak dan sebagainya. Tetapi ia diangkat sebagai isu yang
penting dipercayai mempunyai agenda yang tertentu dan sebahagian dari
kempen besar contestation dalam “politik baharu” yang ingin dibawa masuk
ke dalam negara ini. Kali ini mungkin pegang anjing, mungkin akan datang
lain pula isunya.
Saidina Ali berkata: "Kata-kata yang betul, tetapi digunakan untuk tujuan yang salah."
Dr Muhammad Faisal Ashaari ialah akademik pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia.
1 comment:
air lior anjing adalah najis mughalazah ... untuk mencucinya perlu disirtu ( 7 kali siraman dengan siraman pertama dengan air tanah)... jika terkena air liornya sama ada direct dari jilatan atau yang ada pada bulunya, wuduk yang ada terbatal dan jika solat, solat jadi tidak sah ... dan selagi mana tidak disirtu tubuh badan yang terkena air liornya, selagi itu solat menjadi tidak sah .....!!!
Post a Comment