Monday, April 30, 2012

Bersih 3.0: Beberapa perspektif terpilih di media

Kesan limpahan daripada protes Bersih ketiga Sabtu lalu masih dirasakan oleh kedua-dua pihak penggerak Bersih dan pemerintah Barisan Nasional.

Berbanding dua Bersih sebelum ini, Bersih 3.0 kelihatan lebih seimbang dari segi kesan untung ruginya kepada kedua-dua pihak.

Selain liputan media Barat yang rata-rata negatif kepada pentadbiran Najib, liputan dan komentar dalam negara lebih pelbagai dan turut memperlihatkan pandangan kritikal terhadap Pakatan Rakyat dan petubuhan bukan kerajaan Bersih.

Berikut beberapa tulisan terpilih di media dari pelbagai perspektif berhubung isu-isu sekitar Bersih 3.0:

Catatan Sejarah 28 April - Hishamuddin Rais, Malaysiakini, 26 April, 2012:

"Budaya melawan telah mengampuh seluruh negara. Budaya menentang kezaliman menjadi cool dan trendy. Budaya memperlekeh United Malays National Organisation telah menjadi fesyen untuk yang tua dan muda. Yang tinggal bersama United Malays National Organisation hanya yang 'poyo' dan kaki bodek."

Bersih 3.0 is Jumping the Gun - Kapil Sethi, The Malaysian Insider, 13 April, 2012:

"Now that most of their demands have been met for Bersih to insist that unless they are met within a timeframe of their choosing or they will take to the streets immediately smacks of a political vendetta."

Hasut Media Asing Burukkan Malaysia - Pak Selamat, Malaysian Digest, 26 April, 2012:

"Khabarnya, kali ini, pemimpin-pemimpin Bersih 3.0 akan memastikan keadaan menjadi benar-benar genting. Malah mereka bersedia mengorbankan peserta iaitu penyokong mereka sendiri dalam demonstrasi ini demi mencapai matlamat untuk menghuru-harakan negara kerana pilihan raya semakin hampir. Mereka mengharapkan momentum kemarahan rakyat akan terus meningkat selepas itu sehingga pilihanraya menjadi benar-benar panas."

Let's Tell the Main Story of Bersih 3.0 - Kee Thuan Chye, Malaysian Digest, 29 April, 2012:

"Let us not cloud the issue. The people have spoken. Will those in authority choose to listen or merely harp on the ugly incidents?" 

Did Bersih Walked Into the BN's Trap? - Syed Jaymal Zahiid, Free Malaysia Today, 28 April, 2012:

"Today’s untoward incident gave them just that – the political ammunition to invalidate Bersih’s demands and strengthen accusations that it never had intentions to improve the election system." 

Libertarian Cergas Ko-opt Penyertaan Melayu - A Kadir Jasin, The Scribe A Kadir Jasin, 28 April, 2012:

"Saya yakin kedudukan istimewa A Samad Said sebagai sasterawan Melayu yang terkenal dan perwatakan beliau yang lemah lembut telah berjaya dimanfaatkan oleh golongan libertarian untuk menarik penyertaan Melayu ikutan."

Sunday, April 29, 2012

Pasca-Bersih 3.0: Siapa paling dapat manfaat, PR atau BN?

Laporan dan komentar di media tempatan dan antarabangsa mengenai protes Bersih 3.0 di Kuala Lumpur semalam menunjukkan kumpulan itu dan parti-parti Pakatan Rakyat yang menggerakkannya mendapat manfaat politik segera.

Ada yang melihat pemerintah akan melewatkan lagi Pilihan Raya Umum ke-13 sehingga kesan negatif hasil laporan dan persaingan maklumat di media berhubung Bersih 3.0 dapat dikawal atau diatasi dengan isu lain.

Seperti dijelaskan SiasahDaily dalam tulisan sebelum ini, isu imej pentadbiran Najib di peringkat antarabangsa bakal menjadi satu bahagian penting dalam peristiwa yang mempunyai kaitan terus dengan Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. 

Media-media asing seperti dijangka segera mengambil sudut yang mudah dan mudah dibaca ini, antaranya akhbar New York Times, Washington Post dan Wall Street Journal.

Sudut dan naratif mudah yang dikemukakan itu ialah bentuk gambaran besar pertembungan kerajaan yang autoritarian dengan pembangkang atau rakyat yang ditindas yang mudah difahami pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil pejuang demokrasi dan hak asasi dan kerajaan di Barat.

Satu komentar di Global Post yang ditulis sebelum perhimpunan pula meletakkan tajuk Malaysia's Arab Spring?, analisis yang melihat dengan mudah perkembangan di Malaysia ini dengan kebangkitan di dunia Arab sejak lebih setahun lalu.

Laporan itu memetik Bridget Welsh, akademik pengkaji politik Malaysia di Universiti Pengurusan Singapura sebagai berkata pemerintah menghalang penggunaan Dataran Merdeka sebagai tempatb perhimpunan disebabkan "persamaannya dengan Medan Tahrir di Mesir."

Pemimpin-pemimpin PR, terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim telah banyak kali dalam ucapannya mengaitkan protes berleluasa di dunia Arab untuk membina sentimen yang sama di Malaysia, melalui senjata utama perhimpunan Bersih, dengan tujuan yang dibaca sebagai untuk meningkatkan sentimen penentangan terhadap pemerintah Umno dan Barisan Nasional.

Rujukan terhadap perubahan rejim dan revolusi juga timbul dalam kalangan aktivis pembangkang, walaupun  secara rasmi pakatan pembangkang menolak perubahan kerajaan melalui proses selain pilihan raya (kecuali dalam kes 16 September, 2008).

Seorang aktivis PR, Amin Iskandar menulis dalam Twitter: "Regime change will happen soon in Malaysia. Not through election. Mark my words!"

Ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim membakar semangat demonstran supaya "memerdekakan Dataran Merdeka," juga telah dilihat sebagai satu pencetus huru hara dalam demonstrasi yang telah berlangsung tanpa sebarang insiden serius sejak malam sebelum 28 hari bulan.

Tindakan Anwar itu telah mencetuskan dakwaan usaha beliau mencetuskan protes yang lebih ganas dan membuka untuk hal-hal lain yang membuka kepada pelbagai kemungkinan berlaku, dakwaan yang menurut sesetengah bekas individu dalam lingkungan dalaman Anwar sebagai bukan semata-mata sesuatu yang diperbesarkan musuh politik pemimpin itu.

Hal ini diburukkan lagi dengan dakwaan bahawa Anwar dan kepimpinan Bersih 3.0, di bawah Datuk Ambiga Sreneevasan kelihatan berbeza dalam menguruskan demonstrasi itu semalam.

Dan dalam satu isu berkaitan, DAP, sebuah parti komponen PR memperlihatkan perbezaan pendapat dalam sokongan terhadap Bersih 3.0.

SiasahDaily juga melaporkan sejak semalam bagaimana maklumat penamatan demonstrasi yang tidak sampai kepada demonstran di tempat-tempat berbeza telah membuka ruang kepada insiden tidak diingini berlaku,

Insiden yang lebih buruk mampu mencetuskan suasana yang lebih merugikan kepada Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dan keseluruhan pemerintah serta pasukan keselamatan.

Isu berkaitan pemulihan proses pilihan raya kini menjadi kurang kritikal berbanding persepsi dan momentum yang telah dicetuskan hasil protes besar-besaran semalam.

Perang maklumat selepas demonstrasi semakin menunjukkan bagaimana protes Bersih 3.0 menjadi senjata kempen yang diharapkan oleh PR untuk diraih pulangannya dalam Pilihan Raya Umum ke-13. 

Sejarah sejak 2007 menunjukkan PR hanya mengadakan perhimpunan Bersih ketika merasakan pilihan raya semakin hampir.

Pemulihan proses pilihan raya tidak menjadi isu besar sejak kemenangan besar parti-parti pembangkang pada Mac 2008. Bersih kedua dan debat panas reformasi pilihan raya kembali pada tahun lalu, ketika pilihan raya umum mula dirasakan semakin hampir.

Walau bagaimanapun, perang maklumat antara kedua-dua pihak belum menunjukkan mana-mana pihak mempunyai kelebihan yang jelas.

James Chin, profesor sains politik di Universiti Monash seperti dipetik Wall Street Journal berkata beliau menyaksikan ramai demonstran mencari konfrontasi dengan pihak berkuasa, dan ini boleh memberi kelebihan kepada Najib.

Najib kini terpaksa melakukan kawalan kerosakan (damage control), tetapi kesan negatif di luar dan dalam negara boleh dikatakan berbeza.

Fokus media asing pada isu demokrasi - dengan para demonstran dalam semua laporan disifatkan sebagai menuntut reformasi proses pilihan raya - menghasilkan hanya satu bentuk pembingkaian (framing) dan penerimaan audiens terbabit, tetapi di Malaysia yang rakyatnya memerhati dengan lebih dekat, mungkin kesannya tidak sepenuhnya positif.

Isu kaitan Ambiga dengan perjuangan menuntut hak oleh golongan gay masih menjadi isu dimainkan oleh Umno dan kumpulan yang beraliansi dengannya untuk membina dan mengubah persepsi orang Melayu. Satu tulisan oleh seorang wartawan senior memberikan satu pandangan yang agak jelas dalam isu ini.

Di peringkat global, imej Najib boleh dikatakan telah terjejas, tetapi permainan politik dalaman.yang melibatkan isu agama, politik Melayu, gay dan juga kaitan dengan keamanan dan keselamatan negara masih menjadi sebahagian permainan media yang boleh mengubah.



Saturday, April 28, 2012

Selepas 3 petang, ketenangan Bersih 3.0 berakhir

Pengerusi Bersih 3.0, Datuk Ambiga Sreenevasan dilaporkan tadi mengatakan perhimpunan kali ini berjaya dan menggesa peserta bersurai, selepas perhimpunan yang bertebaran di sekitar Masjid Jamek, Pasar Seni, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kawasan berdekatan berlangsung tanpa tindakan keras polis.

Walau bagaimanapun, keadaan tanpa kekecohan itu berakhir sekitar jam 3 petang apabila polis mula melepaskan tembakan gas pemedih mata pada sekumpulan peserta di Dataran Merdeka, dan di Jalan Raja Laut.

Perhimpunan yang dijadual hanya selama dua jam kini bakal berlangsung lebih lama, dan menyaksikan tangkapan dan pelbagai insiden lain.

Tindakan ini bakal meningkatkan perhatian dan tekanan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, yang dilihat berusaha menangani Bersih ketiga ini tanpa insiden yang boleh memalukan pemerintah.

Sesetengah pihak menjangka polis tidak akan melakukan tindakan keras untuk memelihara imej baik pemerintah dalam perhimpunan yang mendapat perhatian dunia ini, di samping untuk melemahkan momentum yang mahu dibina pihak Pakatan Rakyat.

Media antarabangsa telah mula melaporkan tembakan gas pemedih mata oleh pihak polis, memulakan kitaran laporan negatif berhubung pemerintah Barisan Nasional yang bakal memberi manfaat kepada Pakatan Rakyat.

Perhimpunan kali ini, seperti dijangka turut menerima liputan media asing termasuk New York Times, perhatian yang dikehendaki dan diperlukan pembangkang untuk membina imej dan sokongan di peringkat antarabangsa.

Tembakan gas pemedih mata di Dataran Merdeka dilaporkan dilakukan oleh pihak polis selepas sekumpulan peserta berkeras mahu memasuki dataran tersebut untuk menunjukkan penentangan terhadap larangan polis, sesuatu yang berpotensi meningkatkan lagi ketegangan.

Ketegangan dan kekecohan akibat tembakan gas pemedih mata itu bakal melanjutkan lagi perhimpunan kali ini, yang kelihatan menyamai dan mungkin melebihi perhimpunan sebelum ini.

Perhimpunan kali ini dilihat berlaku tanpa kawalan berpusat, dengan setiap kumpulan berbeza terpisah daripada kumpulan lain, terutama kumpulan utama sekitar Masjid Jamek.

Dilaporkan ahli jawatankuasa hadir ke Sogo - salah satu lokasi peserta berhimpun - menggesa peserta untuk bersurai, lebih sejam selepas ucapan Ambiga sekitar Masjid Jamek.

Perhimpunan kali ini bermula lebih awal iaitu pada malam menjelang 28 hari bulan selepas peserta yang menjangka sekatan akan dibuat untuk menghalang kemasukan ke pusat bandar mula berkumpul di sekitar Dataran Merdeka dan hotel sekitar ibu kota.

Friday, April 27, 2012

Kenapa Bersih 3.0 pilih Dataran Merdeka?

Perhimpunan Bersih ketiga akan berlangsung esok, Sabtu 28 April, 2012, tidak sampai setahun selepas Bersih 2.0 diadakan di ibu negara pada Julai tahun lalu.

Ini menjadikan isu pilihan raya dan keazaman untuk mengambil alih pemerintahan pusat menjadi agenda terbesar dan paling berprofil tinggi gabungan Pakatan Rakyat, jauh mengatasi program-program lain.

Dua isu menjelaskan strategi PR dalam menggerakkan Bersih dengan agresif, dan tindakan segera mengedakan perhimpunan ketiga tidak lama selepas Julai 2011 dan selepas banyak tuntutan Bersih 2.0 dilaksanakan.

Fokus pada Bersih ini menunjukkan keagresifan PR dalam usaha untuk menjejaskan imej kerajaan Umno dan Barisan Nasional dalam usahanya mahu menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Walaupun Bersih ditegaskan sebagai inisiatif pertubuhan bukan kerajaan, penggerak dan pihak yang mempunyai kepentingan terbesar tetap parti-parti PR.

Perhimpunan Bersih boleh dijangka akan diadakan walau apa pun tindakan dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan pemerintah, kerana demonstrasi Bersih setakat ini menjadi salah satu senjata utama PR dalam memperlihatkan sokongan massa padanya dan untuk melakukan diskredit terhadap BN dan juga SPR.
 
PR pada mulanya menumpukan pada isu penggunaan dakwat kekal tetapi kemudian meningkatkan lagi tuntutan dan pada masa sama terus mempersoalkan integriti proses pilihan raya walaupun selepas penggunaan dakwat kekal diterima.

Dalam hal ini, tumpuan agak berlebihan PR pada dakwat berbanding integriti senarai pemilih dan isu lain seperti penambahan pengundi seperti di Selangor mungkin telah sedikit menjejaskan kempen PR dari sudut itu.

Tumpuan PR pada demonstrasi Bersih yang mudah menarik perhatian dan meletakkan kerajaan BN dalam defensif itu memperlihatkan strategi itu kini menjadi pilihan dalam usaha menjejaskan imej Najib dan BN dan juga mencetuskan kegelisahan dalaman Umno dan BN, malah juga birokrasi negara.

Tumpuan pada Bersih ini antaranya disebabkan perhimpunan ini sejak kali pertama diadakan pada 2007 sentiasa menjadi tumpuan dunia, dan ini membantu meningkatkan imej positif gabungan PR dan selari dengan naratif dominan perjuangan menentang kerajaan yang melaksanakan pilihan raya kotor demi mengekalkan kuasa.

Sokongan antarabangsa, terutama dari negara-negara Barat yang mampu memberikan bantuan dalam pelbagai bentuk ialah sesuatu yang diperlukan PR dalam menghadapi BN.

Dalam era kebangkitan rakyat menentang pemerintahan autoritarian, Bersih dengan mudah memenuhi naratif rakyat menentang pemerintah zalim.

Protes mahasiswa yang juga diadakan di Dataran Merdeka juga menyumbang kepada kempen menjejaskan pemerintah BN, kerana paling utama menunjukkan penentangan yang semakin terbuka dan berleluasa terhadap pemerintah, walaupun isu yang diperjuangkan dan disepakati tidak pernah diperincikan dan disampaikan dengan jelas.

Mesej yang disampaikan oleh protes mahasiswa itu ialah penentangan terhadap pemerintah, membawa mesej pemerintah semakin tidak popular. Bersih 3.0 yang menjelaskan lagi gambaran besar yang mahu dibina itu.

Protes yang diadakan secara global juga akan meningkatkan lagi tumpuan pada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, yang masih belum reda daripada kejutan dan kesan berpanjangan protes Bersih kedua 10 bulan lalu.

Minggu-minggu selepas protes Bersih akan membawa masalah mengurus kerosakan kepada Najib dan parti pemerintah, dan pembangkang boleh mengharapkan kesan ini dapat membantu dalam menuju ke pilihan raya umum akan datang.

PR mempunyai keperluan untuk terus memainkan isu proses pilihan raya yang kotor dalam usaha meletakkan dirinya sebagai pihak yang memiliki kekurangan besar (disadvantage).

Di seluruh dunia, dari Ukraine ke Asia Tengah hingga ke Malaysia, isu integriti proses pilihan raya mudah untuk meletakkan kerajaan memerintah dalam keadaan defensif, terutama selepas tinjauan demi tinjauan berjaya membentuk persepsi yang pembangkang bakal menang, atau sekurang-kurangnya menerima peningkatan sokongan.

Sekiranya pembangkang tidak mencapai keputusan seperti yang didapati melalui tinjauan, persepsi yang akan dimainkan ialah berlakunya penipuan dalam proses pilihan raya, dan permainan imej memburukkan kerajaan memerintah akan lebih mudah dilakukan, seperti disaksikan di Ukraine pada 2005.

Pemilihan Dataran Merdeka sebagai tempat perhimpunan menjelaskan keperluan mendapat tumpuan ramai termasuk media dan warga tempatan.

Kedudukan Dataran Merdeka di tengah-tengah kawasan yang antara paling sibuk di Kuala Lumpur berupaya memberi kesan yang dikehendaki, iaitu mencetuskan suasana protes yang akan menepati kehendak bentuk laporan media dalam dan luar negara, yang secara keseluruhannya memihak kepada Bersih.

Selain itu, ada pemerhati yang mengatakan tempat lain seperti Stadium Bukit Jalil boleh menampakkan jumlah kehadiran yang tidak sebesar yang digembar-gemburkan sekiranya kehadiran kurang daripada kapasiti stadium, berbanding kawasan Dataran Merdeka yang di tengah-tengah kesesakan Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Bersih 3.0 juga memerlukan konfrontasi dengan pihak berkuasa untuk menampakkan halangan yang dihadapi, yang boleh memperlihatkan kebimbangan pemerintah terhadap program kumpulan ini.

Isu-isu sekitar Bersih ketiga, yang berkaitan rapat dengan usaha parti-parti PR untuk mendapatkan momentum menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 juga semakin dinilai dengan kritikal oleh sesetengah pemerhati

Selepas usaha dilaksanakan untuk membaik pulih proses pilihan raya, kesungguhan untuk mengulangi protes Bersih juga kelihatan sebagai acara untuk memperlihatkan sokongan yang masih kuat, dan juga mungkin untuk mengalihkan tumpuan daripada masalah dihadapi PR, terutama PKR, dan sebagai serangan balas kepada jentera media BN yang semakin agresif.

Kesan selepas Bersih 3.0 - yang ketiga diadakan dan paling hampir dengan Pilihan Raya Umum ke-13 - nanti akan memberi gambaran lebih jelas sebanyak mana kelebihan diperolehi oleh gabungan PR dalam kempennya menuju Pilihan Raya Umum ke-13.

Tuesday, April 24, 2012

Selebriti dan perang moral parti politik

Dakwaan skandal Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Shafie Apdal dengan selebriti Zahida Rafik menjadi berita hangat merentasi ruang liputan politik dan hiburan di media negara ini.

Kebelakangan ini, ruang berita politik turut dipenuhi liputan melibatkan penggiat budaya popular yang semakin ditarik dan mendekati ruang politik.

Perkembangan ini semakin menjadi kebiasaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang memerlukan parti-parti politik membina imej dan persepsi untuk tujuan menarik sokongan.

Pertemuan politik dengan budaya popular ini telah memunculkan satu persaingan yang melibatkan kelebihan moral, dengan kelompok parti-parti Pakatan Rakyat mendakwa memiliki kelebihan moral (moral high ground) dalam isu ini.

Sisi ini semakin dijadikan modal utama dalam meningkatkan kempen negatif terhadap parti pemerintah Umno, yang dilihat kurang disertai selebriti bertudung atau selebriti yang telah "insaf."

Dengan barisan selebriti seperti Bob Lokman, Sham Kamikaze, Catriona Ross, Aisyah dan sebagainya yang sering membawa mesej keinsafan dalam ucapan-ucapan mereka, PAS, parti PR yang banyak menerima sokongan selebriti berjaya mengukuhkan lagi sisi kelebihan moralnya.

Sama ada benar atau tidak, satu bentuk hujah yang mudah dikemukakan oleh ahli dan penyokong PAS dalam isu ini ialah artis yang menyertai Umno lebih rendah moral.

Selain populariti yang membentuk imej mesra dan kelebihan populis, PAS - dan juga PR - juga mendahului dalam persaingan dalam menampakkan kelebihan moral dalam kalangan selebriti yang menyertai parti tersebut.

Umno kelihatan dapat menyaingi dari sudut populariti ekoran kaitan selebriti popular seperti Lisa Surihani, Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik dengan parti itu, tetapi kelebihan dalam persaingan moral kelihatan dimiliki PAS.

Dakwaan skandal Shafie dengan Zahida yang telah pun mendatangkan kesan negatifnya walaupun tidak dibuktikan, ekoran penyebarannya di blog dan jaringan sosial di internet.

Perkembangan ini menambahkan lagi ruang persaingan moral yang sering lebih bersifat superfisial dalam ruang sosial dan politik di Malaysia.

Monday, April 23, 2012

Turki, PAS dan pasca-Islamisme

Semasa kebangkitan rakyat rancak berlangsung di Mesir, "model Turki" mula rancak diperkatakan di media, terutamanya media Barat.

Model Turki dirujuk sebagai model demokrasi dan sekularisme seperti yang dilaksanakan di bawah pentadbiran AKP, Parti Keadilan dan Pembangunan.

Sekiranya diperhatikan daripada liputan media Barat sejak setahun lalu, haluan yang disebut "pasca-Islamis" ini dikemukakan sebagai satu pilihan atau jawapan kepada negara-negara Arab yang mula memasuki fasa baharu itu, yang pada masa itu ditanggapi dengan agak mudah sebagai dunia Arab meninggal politik yang tidak demokratik dan memasuki fasa demokrasi liberal.

Pilihan itu dari satu sudut kelihatan seperti dipaksakan ke atas kumpulan Islamis yang dilihat bakal menjadi kuasa baharu dalam politik negara Tunisia dan Mesir, dua negara yang mempunyai gerakan Islam yang berpotensi untuk menjadi pemain penting politik, seperti yang dapat dilihat pada hari ini.

Sama ada secara jelas atau tersirat, Tunisia dan Mesir digesa supaya mengikuti model Turki, dengan gerakan Islam yang menyertai politik dan berkuasa dalam pentadbiran negara mengambil landasan pasca-Islamis.


Lebih setahun selepas kebangkitan yang banyak ditanggapi secara simplistik itu, jalan menuju "model Turki" nampaknya sangat mencabar, kerana banyak sebab, termasuk demokrasi (pilihan rakyat) dengan isu dasar luar seperti hubungan baik dengan Israel yang mudah untuk menjadi bertentangan.

Satu tulisan pengkaji dari kumpulan pemikir pro-Israel di Amerika Syarikat menyifatkan prospek kemunculan "AKP-AKP Arab" yang semakin sukar, selain di Tunisia yang pemimpin pernah secara terbuka mengatakan mahu mengikuti model Turki.

Tunisia dilihat sebagai mengikuti haluan pasca-Islamis yang Turki menjadi contoh unggulnya pada masa ini, tetapi Mesir mula menampakkan bagaimana fasa dan perubahan yang berlaku dinilai dengan berbeza oleh pihak yang memerhatikan perkembangan di dunia Arab hari ini.

Banyak pihak di Barat mengharapkan dasar luar yang tidak memusuhi Israel daripada negara-negara Arab yang mula menjadi lebih demokratik itu, tetapi hal itu cenderung untuk bertentangan dengan pilihan ramai rakyat di negara tersebut. 

Perkembangan yang disifatkan oleh pembawa tesis pasca-Islamisme sebagai kejayaan gagasan itu, atau bukti "kegagalan Islam politik" mungkin terlalu awal untuk dinilai seperti itu.

Pandangan-pandangan dari Barat tentang perubahan, tuntutan demokrasi dan sebagainya kini semakin jelas kelihatan seperti semata-mata pandangan simplistik Barat terhadap dunia lain, dan tentang apa yang dimahukan oleh rakyat negara-negara terbabit.

Jelas dapat diperhatikan dalam perkembangan di dunia Arab bagaimana sebahagian besar Barat melihat apa yang mahu mereka lihat, dan hanya menurut bahasa demokrasi dan hak asasi yang lebih mudah difahami mereka.

Lebih setahun selepas apa yang disifatkan sebagai "Arab Spring" bermula, perubahan yang dibayangkan pada masa itu masih satu kerja yang belum selesai, berbeza dengan diharapkan sejurus selepas jatuhnya diktator di Tunisia dan Mesir.

Satu yang menjadi persoalan ialah kenapa model Turki dengan segera dikemukakan sebagai pilihan. Ini memperlihatkan kepentingan Barat untuk menghalakan perubahan itu ke arah yang dapat mereka terima, dan bukan arah lain, misalnya seperti yang pernah berlaku di Palestin dan Algeria.

Di Malaysia, semakin banyak kumpulan melihat pasca-Islamisme sebagai pilihan yang perlu diambil - walaupun mungkin tidak mahu dikaitkan dengan istilah itu - atau sekurang-kurangnya melihat gagasan itu sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh gerakan Islam untuk mengelak daripada menjadi tidak relevan dalam era perubahan hari ini.

Walau bagaimanapun, seperti disebut oleh Asef Bayat sendiri, sesebuah kumpulan politik Islam boleh sahaja menerima beberapa bahagian wacana pasca-Islamisme dan mengekalkan wacana sedia ada yang lain.

Banyak pihak yang menerima pasca-Islamisme kelihatan menerimanya sebagai satu perubahan dan fasa baharu yang jelas bezanya dengan fasa Islamisme, dengan pandangan yang agak hitam-putih, dan melihat pasca-Islamisme sebagai perlu diterima segera untuk bergerak dalam politik baharu masa kini.

Di bawah AKP yang sering dilihat dengan sangat positif itu, isu asas demokrasi liberal seperti kebebasan media masih menjadi satu masalah kepada pemerintahnya. Satu kes utama ialah pemenjaraan wartawan, yang meletakkan Turki jauh daripada standard diterima negara-negara maju demokrasi liberal.  

Perbincangan rancak wacana pasca-Islamisme ini memerlihatkan kecergasan kumpulan yang memerhati dan juga yang mahu perubahan pada gerakan Islam ke arah yang berbeza daripada yang diperhatikan hari ini.

Apapun kritikan terhadap ide pasca-Islamisme, kritikan terhadap kemerosotan tarikan, tenaga, simbol dan sumber keabsahan Islamisme mempunyai merit tersendiri, yang mungkin membenarkan model Turki dilihat sebagai wajar diteladani.

Gerakan Islam, yang melihat gagasan itu sebagai bertentangan dengan kepentingan gerakan Islam dan umat wajar mengemukakan wacana baharu yang lebih dapat menanggapi dan menangani dunia politik baharu masa kini.

Thursday, April 19, 2012

PAS, Umno bersaing bantu Bob Kuman

Kedua-dua parti politik utama Melayu, PAS dan Umno kini kelihatan bersaing dalam menawarkan bantuan kepada artis Bob Kuman.

Media PAS melaporkan lawatan dan pemberian bantuan oleh presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dan pada masa sama, pemuda Umno turut memberi bantuan kepada selebriti berkenaan.

Perkembangan ini menegaskan lagi perhatian terhadap golongan seni dan kaitannya dengan politik kepartian di negara ini, yang meningkat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan datang.

Kedua-dua PAS dan Umno sejak kebelakangan ini bersaing untuk mendapatkan nilai positif daripada hubungan dan kaitan dengan budaya popular, yang paling mudah diperhatikan ialah kaitan penggiat budaya popular dengan parti masing-masing.

Laporan pemberian bantuan itu mampu untuk menimbulkan dan menambahkan lagi kesan imej positif untuk parti yang terlibat.

Harakahdaily misalnya menerbitkan berita yang menumpuan pada aspek emosi pertemuan Bob dengan presiden PAS, dan memuatkan petikan kata-kata Bob, "Rupa Tok Guru macam arwah ayah saya."

Berita mengenai penderitaan Bob Kuman mendapat perhatian sejak beberapa hari lalu melalui laporan di blog dan media lain.

Wednesday, April 18, 2012

PRU 13, Umno terus bimbang sabotaj ahli

Satu kebimbangan utama Umno yang memimpin Barisan Nasional dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti ialah sabotaj ahli-ahli yang tidak berpuas hati.

Pemimpin-pemimpin Umno sejak sekurang-kurangnya setahun lalu telah berkali-kali mengingatkan ahli agar tidak mensabotaj calon parti dalam pilihan raya akan datang, yang kritikal kepada penerusan kedudukan Umno dan BN sebagai parti pemerintah.

Terbaharu, dilaporkan dalam Utusan Malaysia hari ini, ahli lembaga disiplin Umno, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas memberi amaran kepada ahli Umno di 60 kawasan agar tidak mensabotaj calon yang dipilih.

Menurut Megat Najmuddin, 60 kawasan terbabit ialah kawasan yang Umno tewas atau menang tipis dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-12, rasa tidak puas hati yang berleluasa dalam kalangan ahli Umno dilihat sebagai menjadi salah satu punca sabotaj terhadap calon-calon pilihan parti, termasuk di Selangor yang menyaksikan Umno tewas dan kehilangan kepimpinan kerajaan negeri.

Tempoh menuju pilihan raya kini menampakkan lagi kebimbangan pemimpin parti pemerintah itu terhadap sabotaj.

Satu kenyataan paling jelas pemimpin tertinggi parti itu, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak diberikan pada Oktober tahun lalu, ketika mengulas mengenai rancangan memilih calon-calon boleh menang di Konvensyen Barisan Nasional 2011.

''Saya ingatkan sekali lagi jangan sabotaj calon kita. Beri mereka sokongan yang padu. Kerja bersungguh-sungguh, buat aku janji di dalam hati masing-masing bagi memastikan parti kita menang pada pilihan raya umum akan datang," katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Umno kini merancang untuk meletakkan calon-calon muka baharu dan lebih bersih dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, satu perubahan yang dijangka berdepan tentangan kepimpinan yang telah lama menguasai parti di peringkat bahagian dan akar umbi.

Kebimbangan ini turut disuarakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang telah beberapa kali melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kualiti ahli dan politik cantas-mencantas dalam Umno.

Hujung Mac lalu, Mahathir mencadangkan calon-calon berkelayakan dan bersih dari luar parti sebagai wakil BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Hujah beliau menampakkan kebimbangan terhadap calon yang terpalit rasuah dan imej yang buruk yang dibimbangi tidak akan diterima pengundi.

''Apa salahnya ambil orang luar yang ada bakat yang tidak tercemar dengan rasuah dan sebagainya seperti doktor atau guru-guru sekolah, ia sepatutnya dialu-alukan.

''Dulu guru-guru menjadi barisan hadapan Umno, tetapi sekarang ini terlalu ramai ahli perniagaan yang hendak menjadi calon kerana atas kepentingan diri," tegas Mahathir.

Isu sabotaj kini menjadi isu besar yang menghantui Umno di bawah pimpinan Najib dalam menghadapi pilihan raya akan datang, ketika kawasan selamat untuk parti itu kini semakin berkurangan.

Antara yang paling dibimbangi ialah Selangor, negeri yang mempunyai kepentingan besar kepada Umno dan BN yang ingin dirampas kembali daripada gabungan Pakatan Rakyat.

Pemilihan calon yang tidak disenangi pemimpin-pemimpin tertentu dijangka bakal mencetuskan sabotaj daripada kalangan ahli, terutama golongan lama yang berasa dipinggirkan.

Friday, April 6, 2012

Najib beli ahli Kongres AS puji Malaysia?

Media tempatan termasuk Utusan Malaysia melaporkan pujian Ahli Kongres AS Eni Faleomagaeva terhadap demokrasi di Malaysia yang disifatkan sebagai "lancar."

Berita ini dimuatkan di muka depan akhbar dikuasai Umno itu, dan turut dimuatkan gambar ahli kongres dari Parti Demokratik itu dengan Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, duta khas Malaysia ke Amerika Syarikat.

Pujian terhadap Malaysia bukan kes pertama yang di luar kebiasaan ahli kongres itu, yang sejak tercetus kebangkitan di Bahrain menjadi rakan baik kepada negara monarki Teluk Parsi itu.

Menurut laporan penyiasatan ProPublica, Faleomagaeva mula membina hubungan baik dengan Bahrain sejak tercetus kebangkitan, dibayar untuk melawat Bahrain sebanyak dua kali tahun lalu.

ProPublica melaporkan Faleomagaeva secara tiba-tiba menjadi pembela Bahrain di Kongres AS, mengulangi bulat-bulat versi pemerintah Bahrain yang menyifatkan peserta protes dengan negatif.

Laman itu melaporkan kenyataan berhubung Bahrain itu sebagai luar biasa bagi seorang ahli kongres yang sebelum itu tidak pernah mengulas isu Asia Barat, hal yang kelihatan sama dengan ulasannya berhubung politik Malaysia.

Isu Bahrain menemukan Faleomagaeva dengan Najib, yang kedua-duanya ada mengambil pendirian menyokong pemerintah Bahrain dalam menangani protes rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak pada Mac 2011 pernah membuat kenyataan menyokong pemerintah Bahrain dan Arab Saudi ketika tercetus kebangkitan rakyat di negara ahli Majlis Kerjasama Teluk, GCC, itu.

Dalam kenyataan itu Najib menyatakan sokongan tindakan Saudi dan GCC menghantar tentera ke Bahrain untuk mematahkan protes.

Najib sejak menjawat jawatan perdana menteri membina hubungan rapat dengan Arab Saudi dan negara-negara kaya GCC.

Lawatan ahli kongres itu ke Malaysia dan kenyataannya itu menimbulkan banyak persoalan, terutama disebabkan kredibiliti berhubung isu demokrasi di Bahrain dan sejarah beliau yang lebih tertumpu pada isu-isu tempatan konstituensi beliau di Samoa Amerika.

Tuesday, April 3, 2012

Cerita sebalik kempen jangan tukar pemandu

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak semalam mengingatkan rakyat supaya tidak menukar pemandu dalam perjalanan, merujuk kepada kepimpinan beliau.

Najib mengingatkan bahawa pakatan pembangkang hanya menabur janji sedangkan tugas sebenar dilakukan oleh pentadbiran beliau dan pemerintah BN.

Slogan jangan menukar pemandu di tengah perjalanan ini ialah satu variasi slogan Presiden Amerika Syarikat Abraham Lincoln dalam kempen pilihan raya presiden AS pada 1864; "Don't change horses in midstream."

Slogan ini menekankan kepentingan pengalaman dan keperluan mengekalkan penjawat sedia ada untuk meneruskan program mereka.

Lincoln pada masa itu berkempen untuk pemilihan semula, iaitu untuk penggal seterusnya dan menang dalam pilihan raya tersebut.

Satu yang menarik tentang slogan ini ialah adaptasi dan variasinya oleh presiden-presiden lain sepanjang sejarah, yang semuanya untuk kempen pemilihan semula.

Franklin D Roosevelt dan George W Bush kemudian mengadaptasi slogan Lincoln itu untuk kempen pemilihan semula masing-masing, dan juga menang dalam pilihan raya presiden masing-masing.

Najib mungkin mengambil variasi slogan yang sama - yang pembawanya memenangi pilihan raya untuk penggal seterusnya - kerana merasakan slogan ini sebagai slogan yang menjadikannya winnable.

Najib mengemukakan saranan jangan menukar pemandu itu semasa program transformasinya dikemukakan sebagai mencapai kejayaan melebihi jangkaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...