Friday, October 21, 2011

Pemuda PAS tegaskan sokong Himpun

Dewan Pemuda PAS Pusat terus menunjukkan sokongan kepada Perhimpunan Sejuta Umat yang dijadual esok di Shah Alam, Selangor, walaupun PAS secara rasmi tidak menyertai perhimpunan itu dengan alasan tidak mempolitikkan gerakan itu.

Timbalan Ketua Pemuda Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam dua tulisan di blog beliau menegaskan lagi sokongan untuk Himpun, yang dipercayai menggambarkan sentimen sejumlah besar ahli sayap parti itu.

Nik Abduh menerbitkan dua tulisan berkenaan Himpun selama dua hari berturut-turut pada Rabu dan Khamis, yang dilihat sebagai isyarat kepada Pemuda PAS dan membalas arahan halangan yang dikeluarkan oleh PAS Selangor.

Sebelum itu, Ketua Pemuda Nasrudin Hassan turut menyatakan sokongan melalui kenyataan pada Isnin, 17 Oktober.

Arahan menghalang ahli menyertai Himpun oleh PAS Selangor dikritik sebagai tidak perlu dan berlebihan oleh ramai ahli, selepas PAS pusat hanya menyatakan pendirian tidak menyertai tetapi tidak menyatakan halangan kepada ahli.

Rabu lalu, Nik Abduh dalam tulisan Mengapa PAS Menyokong Himpun? menjelaskan Pemuda PAS menyokong Himpun "dengan tujuan menunjukkan keprihatinan bersama terhadap usaha menyelamatkan dan memperkasakan akidah umat Islam daripada diganggu gugat oleh musuh-musuh Islam yang berusaha merosakkan akidah umat."

"Justeru PAS memandang tinggi usaha seluruh umat Islam untuk berhimpun memahamkan umat dan mendesak kerajaan agar segera melakukan sesuatu yang lebih tegas melalui undang-undang yang diaktakan demi mencegah pencabulan ke atas maruah dan ruh umat Islam," tegasnya dalam pandangan yang selari dengan pendirian Himpun.

Pemuda PAS ialah salah sebuah kumpulan yang tersenarai sebagai penyokong Himpun, dengan ahlinya terlibat aktif dalam kumpulan yang menjadi penganjur bersama.

Himpun dikritik banyak pihak sebagai membawa pendekatan yang salah, termasuk oleh pemimpin PAS sendiri Dr Mujahid Yusof, yang menyatakan dialog antara agama sebagai pilihan yang lebih baik.

Mujahid juga dilapor melahirkan kebimbangan Himpun akan dieksploit oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda jahat - yang dipercayai merujuk kepada Umno dan penyokongnya - dan berpotensi mencetuskan ketegangan antara agama.

Pengerusi bersama Himpun, Dr Yusri Mohamad dilapor kesal dengan kenyataan beberapa pemimpin politik Melayu yang didakwa kurang sensitif, termasuk mendakwa perhimpunan itu bukan wadah terbaik menangani isu seperti murtad.

Yusri dilapor berkata pemimpin politik Muslim sewajarnya menyokong Himpun walaupun enggan menyertai secara langsung.

Himpun juga berpendirian mengelakkan perhimpunan itu dipolitikkan tetapi mengalu-alukan penyertaan semua pihak beragama Islam.

Himpun juga memberi jaminan tidak akan membenarkan sebarang provokasi seperti dalam bentuk tulisan di sepanduk dibawa oleh peserta himpunan.

Perhimpunan seperti ini pernah diadakan pada Julai 2006 di Masjid Wilayah Jalan Duta dengan memberi tumpuan kepada isu murtad Lina Joy dan implikasi perundangannya dan tuntutan Majlis Antara Agama.

Perhimpunan itu juga digerakkan oleh Pertubuhan Pembela Islam dan Teras dan turut disertai wakil-wakil PAS.

Perhimpunan kali ini yang diadakan menyusul kes gereja Metodis yang dipercayai berusaha memurtadkan umat Muslim dibimbangi PAS bakal mendatangkan implikasi politik yang negatif terhadap kerajaan negeri Selangor yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Kes tersebut menjadi kes terbaharu yang meletakkan PAS dalam kedudukan defensif dan dieksploit oleh Umno untuk mengukuhkan kempen negatif terhadap PAS, terutama di Selangor yang sebelum ini dikuasai Umno.

2 comments:

Anonymous said...

Dokongan oleh pemuda pas atas hasrat perhimpunan itu sangat dialu alukan. I i menunjukkan masih ada ukhuwah antara kita umat islam,mwalau bbeza fahaman politik. Tambahan lagi, pas adalah parti politik dan juga landasan untuk berdakwah dan mempertahankan akidah umat islam dari pihak lainyang tidak bertanggung jawab.

Anonymous said...

Nasib baik tak sampai 1 juta.Kalau tidak UMNO dan medianya UTUSAN akan 'berkenduri' sakan selama sebulan meraikan kejayaan mereka.Kalau mereka ikhlas dalam isu murtad ini kenapa raja-raja sebagai ketua agama serta alim-ulamak, mufti-mufti serta semua pemimpin Islam di jemput.Janganlah jemputan di buat atas nama PARTI POLITIK...mcm ada udang sebalik batu...Jangan fikir perpaduang tapi hati munafik juga!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...