Wednesday, February 20, 2008

Rahman Bakar tersingkir, ramalan Siasah tepat

KUALA TERENGGANU, 20 Feb: Sebagaimana di laporkan Siasah sebelum, Datuk Idris Jusoh berjaya membuang kesemua musuh politiknya di Terengganu kecuali Datuk Ahmad Said yang kekal sebagai calon BN di Kijal.

Ketua Umno Marang Datuk Abdul Rahman Bakar yang merupakan anggota Parlimen Marang tidak terpilih untuk menjadi calon di mana-mana kawasan.

Nama beliau yang merupakan Timbalan Menteri Sumber Manusia tidak ada dalam senarai calon yang diumumkan MB Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh hari ini.

Abdul Rahman keluar meninggalkan dewan sebaik sahaja nama beliau tidak ada dalam senarai itu.

Timbalan Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang juga tidak tersenarai sebagai calon BN dalam pilihan raya umum kali ini. Beliau juga adalah Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu.

Turut menepati laporan Siasah adalah pemilihan Setiausaha Politik MB Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir sebagai calon Umno di Parlimen Marang.


Laporan Siasah tentang penyingkiran Che Azmi Abdul Rahman dari Parlimen Kuala Nerus juga menjadi kenyataan hari ini. Sebagaimana diramalkan, beliau digantikan oleh Mohamed Nasir Ibrahim Fikri.


Turut tersingkir adalah Datuk Rosli Mat Hassan dari Parlimen Dungun. Beliau digantikan oleh
Matulidi Jusoh.

Ketika Siasah menyiarkan mereka tersingkir sebelum ini, Abdul Rahman dan Tengku Putera yang bercakap dengan Siasah menafikannya dan berkata laporan itu adalah usaha untuk melaga-lagakan Umno Terengganu.


Bagaimana pun ketika itu, Datuk Ahmad Said enggan langsung bercakap dengan Siasah.


Berikut adalah senarai penuh calon BN di Terengganu.

Parlimen

BESUT (Datuk Dr. Abdullah Mohd. Zin), SETIU (Datuk Mohamed Jidin Shafie), KUALA NERUS (Mohamed Nasir Ibrahim Fikri) KUALA TERENGGANU, Datuk Razali Ismail, MARANG (Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir), HULU TERENGGANU (Mohd. Nor Othman), DUNGUN (Matulidi Jusoh) dan KEMAMAN (Ahmad Shaberry Cheek).


Dewan Undangan Negeri (DUN)

KUALA BESUT (Dr. A. Rahman Mokhtar), KOTA PUTERA (Belum ada), JERTIH (Datuk Seri Idris Jusoh), HULU BESUT (Nawi Mohamad), JABI (Ramlan Ali), PERMAISURI (Abd. Halim Jusoh), LANGKAP (Ashaari Idris), BATU RAKIT (Khazan Che Mat), TEPUH (Mohamed Ramli Noh), TELUK PASU (Datuk Abdul Rahin Mohamed Said).


SEBERANG TAKIR (Ahmad Razif Abd. Rahman), BUKIT TUNGGAL (Tuan Arif Sahibu Fadilah Tuan Ahmad), WAKAF MEMPELAM (Othman Awang), BANDAR (Toh Chin Yaw), LADANG (Datuk Wan Hisham Wan Salleh), BATU BURUK (Senator Nordiana Shafie).


ALUR LIMBAT (Alias Abdullah), BUKIT PAYUNG (Zaidi Muda), RU RENDANG (Razali Idris), muka baru), PENGKALAN BERANGAN (Yahya Khatib Mohamad), TELEMUNG (Rozi Mamat), MANIR (Wan Sagar Wan Embong), KUALA BERANG (Mohd. Zawawi Ismail), AJIL (Datuk Rosol Wahid), BUKIT BESI (Datuk Din Adam), RANTAU ABANG (Za'abar Mohamed Adib), SURA (Mohd. Rosli Harun), PAKA (Zakaria @ Ariffin Abdullah), KEMASIK (Radilah Abd. Wahab), KIJAL (Datuk Ahmad Said), CUKAI (Datuk Mohamad Awang Tera), AIR PUTIH (Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar).

Tuesday, February 19, 2008

PAS letak 10 calon wanita, 5 darinya doktor



KUALA LUMPUR, 19 Feb: PAS akan meletakkan sekurang-kurangnya 10 calon wanita dalam pilihan raya umum akan datang ini berbanding hanya lima pada pilihan raya 2004 lalu.

Empat daripadanya akan bertanding di Parlimen manakala enam lagi di Dewan Undangan Negeri.

Mereka adalah Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja, Selangor - gambar), Dr Najihatul Salihah Ahmad (Parit, Perak) dan Siti Maryam Naam (Jempol, Negeri Sembilan).

Yang bakal bertanding di peringkat Dun pula adalah Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Salleh di Dun Tahan dan bekas ketua Dewan Muslimat PAS, Azizah Khatib Mat di Luit. Kedua-duanya di Pahang.

Di Kedah, Ketua Penerangan Muslimat PAS Kedah, Dr Rohani Abdul Mutalib (Jitra) dan Ketua Muslimat PAS Kedah, Ustazah Aishah Haji Ghazali akan bertanding di Merbau Pulas.

Di Kelantan, bekas senator Wan Ubaidah Wan Omar akan bertanding di Kijang (tempat Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa sebelum ini) manakala Ruhani Ibrahim akan mempertahankan kerusinya di Tanjung Mas.

Di Pulau Pinang, Asnah Abdullah (gambar kanan) akan bertanding di Dun Bayan Lepas manakala Dr Halimah Ali akan bertanding di Dun Selat Klang, Selangor.


Sunday, February 17, 2008

Pilihan raya ke-12: PAS mahu perbetul kerosakan yang dibuat BN

KUALA LUMPUR, 17 Feb: PAS menyertai pilihan raya umum ke 12 dengan satu matlamat besar iaitu mahu memperbetulkan kerosakan teruk yang telah dibuat oleh Barisan Nasional (BN) sejak 50 tahun lalu khasnya empat tahun kebelakangan ini ketika negara di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Untuk itulah kita menawarkan negara berkebajikan sebagai ubat bagi memperbetulkan segala kerosakan itu," kata Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali.

Dalam pada itu, BN nampaknya sedang memukul canang tentang isu keselamatan dan keamanan negara.

Isu kehilangan adik Sharlinie Muhd Nashar telah diwar-warkan sedemikian rupa sehingga ke peringkat menjadi ikon dan menimbulkan keraguan apakah tujuannya menjelang pilihan raya umum ini.

"Jangan-jangan ia agenda BN menjelang pilihan raya. BN akan datang dengan cadangan penyelesaian dan memujuk rakyat, hanya BN yang mampu menjamin keselamatan dan pembangkang pula yang mengganggu keselamatan negara.

Sharlinie ditemui?

"Saya tidak terkejut kalau menjelang pilihan raya nanti adik Sharlinie tiba-tiba ditemui dan ketika itu akan datanglah feel good factor untuk kempen BN," kata seorang pengulas politik.

Negara berkebajikan telah ditawarkan oleh PAS melalui manifestonya. Ia dirumuskan bagi menyelesaikan segala masalah yang dihasilkan oleh sistem pentadbiran BN yang ada.

Antara masalahnya adalah kenaikan harga barangan dan kos perkhidmatan yang dirasai rakyat akibat dari kenaikan harga minyak. Negara juga menghadapi masalah kenaikan kos perubatan, pendidikan, rasuah, intergriti kehakiman dan sebagainya.

Jika BN terus kekal, harga petrol akan dinaikkan dengan alasan harga petrol yang meningkat di pasaran dunia. Kenaikan harga petrol bermakna kenaikan untuk semua harga barangan yang lain kerana petrol atau bahan bakar adalah faktor penentu kepada harga atau perkhidmatan yang menggunakan minyak dan petrol ini.

Padahal, PAS berhujjah, apabila harga petrol atau minyak dunia meningkat, bermakna negara menikmati keuntungan yang besar kerana Malaysia adalah negara pengekspot minyak dunia. Sebahagian keuntungan itu patut dikembalikan kepada rakyat dengan mengurangkan harga minyak untuk rakyat.

Perkara ini dijelaskan oleh AJK PAS Pusat, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali yang ketika berucap di Chow Kit dalam Parlimen Titiwangsa, tempat di mana beliau akan bertanding nanti.

"Apabila harga minyak di dunia naik, bermakna negara kita untung kerana kita pengekspot minyak. Sebahagian keuntungan itu patut dipulangkan kembali kepada rakyat bukannya dengan memberikan manafaat kepada golongan tertentu sahaja," kata beliau.

Halang kebocoran

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berhujjah juga menggunakan perkara ini.

"Negara kita bankrap kalau kita menurunkan harga minyak kerana berlaku kebocoran dalam ekonomi negara. Kalau tidak, kita yakin akan berjaya. Kita tawarkan sebuah negara yang bersih dari amalan rasuah dan kebocoran untuk kroni ini," kata beliau.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkata, negara akan bankrap jika harga minyak diturunkan sebagaimana yang dikehendaki pembangkang.

Tokoh-tokoh bakal calon PAS di Terengganu


KUALA TERENGGANU, 17 Feb: KUALA TERENGGANU, 17 Feb: PAS bakal membariskan lebih 50 peratus muka baru dan rakyat dijanjikan dengan calopn-calon yang berwibawa bagi memberikan khidmat kepada mereka jika PAS diberikan amanah untuk mentadbir semula Terengganu selepas pilihan raya umum kali ini.

Selain Datuk Tengku Hassan Tengku Omar, bekas Pegawai Kewangan Negeri Terengganu (foto) yang akan bertanding di Ladang serta Dr Syed Azman Ahmad Nawawi yang akan bertanding di Batu Burok, PAS akan meletakkan ramai lagi tokoh-tokoh muda kali ini.

Seorang tokoh ulamak muda, Ustaz Hazri Jusoh akan diletakkan di DUN Kijal, Kemaman.Di Jabi pula, PAS akan meletakkan seorang doktor pakar pergigian, Dr Azman Ibrahim untuk membantu pentadbiran kerajaan negeri.

Dr Azman merupakan seorang bekas pensyarah pergigian dan juga pakar pergigian di hospital-hospital kerajaan yang mendapat ijazah pertamanya di University of Baghdad, Iraq.

Mereka dijangka akan bersama tokoh-tokoh veteran PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Rhu Rendang, Datuk Mustafa Ali (Alor Limbat), Muhamad Abdul Wahid Endut (Wakaf Mempelam), Datuk Harun Taib (Manir) dan Ustaz Abu Bakar Abdullah (Tepuh).

Sementara itu, di peringkat Parlimen juga, PAS Terengganu akan meletakkan juga tokoh-tokoh baru. Antaranya Haji Muhamad Sabu di Kuala Terengganu, Ustaz Fauzi Muda di Setiu.

Di samping itu, Ustaz Husin Awang, bekas Speaker Dun Terengganu, dijangka akan bertanding di Parlimen Besut.

PAS dijangka mengekalkan Muhamad Shukrimun di Kuala Nerus dan Muhyidin Abdul Rashid di Hulu Terengganu di samping Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Marang.

PKR dijangka akan bertanding di Parlimen Kemaman dan Dungun di samping lima lagi kawasan Dun.

PAS kesal SPR berdolak dalih dengan penggunaan dakwat kekal

KUALA LUMPUR, 17 Feb: PAS melahirkan kekesalannya yang amat sangat langkah SPR yang berdolak dalih dengan isu penggunaan dakwat kekal dan bimbang nasibnya sama dengan peraturan bangsal panas menjelang pilihan raya umum 2004 lalu.

"Menjelang 2004 lalu, SPR memanggil semua pemimpin parti politik memaklum penggunaan bangsal panas di pusat-pusat pengundian dimansuhkan. Tetapi menjelang pilihan raya, ia telah dibenarkan secara senyap-senyap oleh SPR dengan memaklumkannya dengan lebih awal kepada BN.

"Kini, dua tiga bulan lalu SPR secara besar-besaran memaklumkan penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berganda namun menjelang pilihan raya kini ketika pemimpin PAS bertemu mereka, dimaklumkan bahawa ia tidak wajib, hanya satu pilihan sahaja dengan alasan tidak ada undang-undang yang boleh mewajibkannya," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar kesal.

Kalau alasan undang-undang, katanya, kenapa undang-undang menambah umur pengerusi SPR boleh digubal segera untuk membolehkan Tan Sri Rashid terus mengemudi SPR dalam pilihan raya ini, tetapi penggunaan dakwat kekal tidak boleh diaktakan.


Tong lutsinar

PAS juga, katanya, mula dapat melihat apa agenda sebenar SPR apabila menggunakan tong undi lutsinar kerana ia tidak pernah diminta oleh mana-mana parti pembangkang sebelum ini.

“Kami dapat maklumat, Puteri Umno dalam kempen mereka kepada glongan tertentu mula mengugut rakyat kononnya mereka tahu undi mereka kerana dapat melihat kertas undi mereka dalam tong yang lutsinar itu,” kata Kamarudin (pic) kepada Siasah.

Sebelum ini, antara pemimpin PAS yang awal membantah penggunaan tong lutsinar adalah Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyudin Hassan.

Beliau memberikan alasan ia bakal dimanipulasi oleh BN terhadap pengundi tertentu yang bimbang undi tidak rahsia lagi.

Baru-baru ini, Bersih telah menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agung bagi memohon baginda menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perjalanan pilihan raya ke 12 ini berikutan beberapa perkara yang berlaku termasuk manipulasi penggunaan dakwat kekal.

Bersih menuntut empat perkara bagi mempastikan pilihan raya kali ini berjalan dengan bersih, adil dan saksama.

Tuntutan itu adalah akses kepada media, pemansuhan undi pos, pembersihan daftar pemilih dan penggunaan dakwat kekal untuk mengelak pengundian berganda.

Kesemua tuntutan itu tidak diterima kecuali penggunaan dakwat kekal namun kini ia menjadi permainan pihak SPR sahaja, kata AJK Bersih, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi.

Pendengar bangun beri sokongan terbuka kepada Dr Lo' Lo'

KUALA LUMPUR, 17 Feb: Apa perasaan anda ketika anda sedang berkempen, tiba-tiba seorang pendengar naik ke atas pentas dan menawarkan diri untuk berucap dan turut menyatakan sokongan terbukanya kepada anda.

Itulah yang berlaku kepada bakal calon PAS di Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali apabila tiba-tiba seorang perempuan India datang ke tempatnya berucap dan meminta untuk berucap kepada orang ramai.

Wanita India itu kemudiannya naik ke atas kenderaan pacuan empat roda tersebut (di bahagian belakang Storm) dan berucap kepada orang ramai dan meminta mereka memberikan undi kepada Dr Lo’ Lo’.

Itulah pengalaman manis yang dialami oleh Dr Lo’ Lo’ ketika hari-hari awal beliau memulakan kempennya di Titiwangsa sebelum Parlimen dibubarkan oleh Perdana Menteri.
Dr Lo’ Lo’, AJK PAS Pusat telah diputuskan oleh PAS untuk bertanding di Parlimen Titiwangsa. Pada hari Sabtu 9 Februari lepas, beliau bersama petugasnya mula turun ke kawasan itu sebagai bakal calon PAS.

Dr Lo' Lo' memulakan gerak kerja itu seawal jam 9.00 pagi. Beliau bersama petugasnya berkumpul di Pasti Al Hidayah, Kampung Baru.

Kawasan pertama yang beliau lawati adalah Pasar Keramat diikuti dengan Flat Keramat Jaya, Flat Kampung Padang dan seterusnya Quarters Hospital Kuala Lumpur.

Beliau juga bertemu dengan orang ramai yang makan di kedai-kedai makan sekitar Chow Kit dan Kampong Baru.

Dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda, Dr Lo Lo memberikan ucapan kepada masyarakat tempatan yang beliau lawati.

Bagi menunjukkan sokongannya, suami beliau, Dr Aminudin bin Abdul Hamid Karim, 53, telah bersama beliau sepanjang sessi berkenalan dengan pengundi itu.

Yang menariknya, Dr Aminudin akan melakukan larian solo sejauh 12 km untuk mengutip derma bagi membantu kempen isterinya. Beliau berlari dari rumahnya di Gombak ke Markas PAS Darul Ummah, di Kampong Pandan.

Walaupun wanita, Dr Lo’ Lo’ tidak mahu sokongan diberikan kepada beliau kerana beliau adalah wanita tetapi kerana kebolehan dan kemampuannya untuk menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

“Dari awal saya berkahwin lagi, saya bukan jenis surirumah sepenuh masa. Kalau tidak bergiat cergas dalam politik dan dakwah, saya bertugas di klinik atau hospital sebagai doktor,” kata Dr Lo’ Lo’, ibu kepada empat anak dan seorang cucu itu.

Saya sokong PAS kerana mereka lebih adil kepada semua orang


KUALA SELANGOR, 17 Feb: "Saya tidak takut PAS. Saya sokong mereka kerana bagi saya mereka orang beragama. Jadi mereka akan lebih adil kepada semua orang. Lagi pun mereka orang Malaysia juga," kata Karunagaran a/l Alagapan ketika bercakap dengan Siasah di Sri Pristana, Saujana Utama baru-baru ini.

(foto:Karunagaran...tak takut PAS)
Karunagaran adalah antara beribu-ribu masyarakat India yang menyatakan secara jelas akan menyokong PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau bersama-sama dengan rakan-rakannya hadir ke majlis penubuhan Kelab Penyokong PAS Kuala Selangor yang dirasmikan oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini baru-baru ini.

Bagi Karunagaran, ramai orang India akan berubah menyokong pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.

"Bagi saya pilihan raya kecil Ijuk adalah tanda bermakna bagi Orang India (dalam mendekati pembangkang),” kata beliau.

Rakannya, Nandakumar a/l K Rajamanickam juga melahirkan rasa yang sama iaitu kesal dengan peranan yang dimainkan MIC dalam membela kaum India di negara ini.
(foto: Nandakumar...tidak puas hati merata)

"Ketika pilihan raya kecil Ijuk mereka tidak menunaikan janji yang diberikan. Saya ada saudara yang ramai di sana. Ada janji yang dibuat masa pilihan raya, sampai sekarang tidak ditunaikan," katanya.

Nandakumar juga berkata, perasaan ini bukan terhad kepada mereka di Kuala Selangor sahaja bahkan juga dikongsi bersama oleh masyakat India seluruh negara.

"Misalnya semasa Thaipusam baru-baru ini, yang pergi Batu Caves, saya ingat orang berkurangan antara 40 hingga 50 peratus. Yang pergi hanya yang telah membuat hajat sahaja. Ramai tidak pergi kerana tidak senang dengan Jawatankuasa yang menguruskan kuil itu yang dikongkong oleh MIC," kata beliau kepada Siasah.

Beliau juga kesal dengan pemimpin MIC yang hanya pandai bercakap sahaja mahu menyelesaikan masalah orang India.

"Kalau mereka mahu selesai, sudah lama berjaya. MIC ada 3,000 cawangan di seluruh negara, sudah tentu mereka berjaya kalau mahu dan jujur," kata beliau.
Seorang lagi rakannya, Balasubramaniam a/l Baladi mencerita dengan jelas kenapa orang India tidak berpuashati dengan BN khasnya MIC sekarang.


Katanya, ramai orang-orang India yang terbelit dengan pelbagai jenis masalah kerana mereka terdiri dari kumpulan yang 'hardcore' miskin.

(foto: Balasubramaniam...hak yang sama)

Namun, tidak ada pembelaan yang ketara yang dibuat oleh BN.
"Kami bukan mahu tanya soal rumah ke, tanah ke tetapi hak kami sebagai rakyat Malaysia sebagaimana rakyat yang lain," kata Balasubramaniam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...