Wednesday, December 2, 2009

Kerajaan Negeri akan guna Unesco sekiranya Kerajaan Persekutuan engkar janji mereka


Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menggunakan saluran antarabangsa bagi mendapatkan peruntukan sebanyak RM25 juta sepertimana yang telah dipersetujui oleh mantan Perdana Menteri dahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi bagi projek Tapak Warisan Dunia di Pulau Pinang.

Menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng sekiranya Kerajaan Pusat masih enggan menyalurkan peruntukan tersebut maka ia akan dirujuk kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan(Unesco).

"Jika Kerajaan Negeri Melaka yang juga sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia sepertimana Georgetown mendapat peruntukan tersebut kenapa pula Pulau Pinang yang sama-sama berada dalam kategori tersebut dipinggirkan.

"Namun begitu kita akan terus berunding dengan Kerajaan Persekutuan terlebih dahulu bagi mendapatkan hak tersebut.Sekiranya masih tidak berkesan maka saluran lain termasuk Unesco akan digunakan."

Menurut Lim lagi Kerajaan Persekutuan harus bersikap adil dan mengamalkan dasar yang sama dalam menyalurkan peruntukan kepada mana-mana Kerajaan Negeri tanpa mengambil kira ideologi politik.

"Jika amalan pilih kasih masih lagi menjadi amalan mereka maka Konsep Satu Malaysia yang diuar-uarkan sebenarnya bukanlah Satu Malaysia tetapi ianya adalah Dua Malaysia."katanya lagi.

Timbalan Ketua Menteri II P.Pinang sedia terima tindakan undang-undang isu Tang Hak Ju


Isu kontroversi pertikaian tanah lot 954, 955 dan 956 di Seberang Perai Tengah yang melibatkan Tang Hak Ju dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang membuatkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof.Dr. P. Ramasamy membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM)baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata tindakannya itu adalah satu tindakan yang betul bagi menyelamatkan Kerajaan Negeri daripada menanggung kerugian sebanyak RM40 juta yang terpaksa dibayar kepada Tang Hak Ju setelah diputuskan oleh mahkamah sebelum ini.

"Saya ada menerima notis tindakan daripada Tang Hak Ju yang mendakwa saya membuat fitnah terhadapnya berhubung penemuan maklumat tambahan yang telah diserahkan kepada SPRM.Saya juga telah diberi tempoh selama lima hari untuk menjawab notis beliau.

"Saya sanggup untuk menerima dan dikenakan apa jua tindakan undang-undang sekiranya apa yang dilaporkan kepada SPRM Itu tidak benar.Malah tujuan sebenar saya adalah untuk mengelakkan kerugian yang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri yang memerintah daripada membayar kepada mereka dalam kadar yang mencecah sehingga RM40 juta."

Sebelum ini Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat telah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Khas sebaik sahaja dimaklumkan Kerajaan Negeri menghadapi kerugian berjuta-juta ringgit akibat daripada skandal dan penyelewengan tanah Tang Hak Ju.

Pemajakan tanah 4.2 hektar oleh Kerajaan Negeri Barisan Nasional ketika itu kepada Tang dan pembatalan perjanjian adalah dibawah pentadbiran Tan Sri Dr.Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah sebagai Timbalannya.

"Justeru itu keputusan mahkamah yang memutuskan Kerajaan Negeri bersalah dan perlu membayar sejumlah besar wang kepada Tang adalah satu kerugian kepada Kerajaan yang melibatkan wang rakyat.Perkara ini perlu mendapat keadilan dan perlu disiasat."kata Ramasamy lagi.

Kenyataan akhbar: Beri royalti dan rombak BTN

Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (GERAK Malaysia) menggesa agar Kerajaan Pusat mengkaji semula keputusan berkaitan royalti minyak dengan memberikan royalti 5% hasil pengeluaran minyak oleh Petronas kepada Kelantan selaras dengan kedudukan Kelantan sebagai negeri pengeluar minyak. Gerak berpandangan tidak ada istilah wang ihsan menurut Akta Petroleum Negara 1974 seperti mana yang telahpun ditegaskan oleh Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah terlibat sebagai pengasas Petronas. Jika negeri Sabah, Sarawak dan Terengganu boleh diberikan wang royalti sebagai negeri pengeluar minyak. Maka mengapa tidak diberikan juga hak royalti 5% kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk diuruskan.

Gerak percaya Kerajaan Negeri Kelantan akan menguruskan wang royalti dengan telus dan bertanggungjawab sekiranya Kerajaan Pusat bersifat terbuka untuk menyemak kembali kedudukan pemberian wang royalti bagi diuruskan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Kredibiliti Kerajaan Pusat dan Petronas akan lebih terserlah dengan menghormati Akta Petroleum Negara.

Adalah menjadi hak Negeri Kelantan untuk mendapatkan wang tuntutan ganti rugi hasil daripada aktiviti cari gali petroleum dan amat wajar untuk Petronas membayar wang royalti 5% atau bayaran tunai 5% (cash payment) kepada Kerajaan Kelantan. Kita tidak mahu sikap yang pernah dilakukan oleh Kerajaan Pusat BN selepas tewas di Terengganu pada tahun 1999 dengan menukarkan status wang royalti menjadi wang ihsan dan sekarang apabila Kerajaan BN menang semula di Terengganu ditukar kembali status kepada wang royalti.

Semangat federalisme yang penuh integriti wajib diamalkan oleh Kerajaan Pusat dalam isu royalti minyak ini. Dalam perkembangan lain, Gerak juga menyarankan agar Kerajaan Pusat mengkaji semula silibus Program Biro Tata Negara (BTN) agar ianya tidak disemai dengan semangat perkauman. Silibus yang baik seumpama bagi menaikkan semangat patriotismedan jati diri peserta boleh dikekalkan agar menjamin perpaduan dikalangan rakyat.

Gerak juga mencadangkan agar silibus integriti dan anti korupsi diterapkan sebagai salah satu daripada silibus Program Biro Tatanegara (BTN) dalam suasana negara pada hari ini berhasrat membentuk Good Governance. Isu-isu integriti sering menjadi agenda Perdana Menteri dan termasuk juga pimpinan pembangkang. Adalah menjadi suatu kelompangan dalam pengisian program BTN sebagai program pembinaan jati diri jika tidak memuatkan nilai-nilai dan informasi berkaitan agenda membudayakan integriti dan anti korupsi dalam jiwa peserta yang rata-rata terdiri daripada kakitangan awam dan generasi muda termasuk mahasiswa. Gerak bersedia bersama kerajaan dalam merencanakan pengisian integriti dan anti korupsi tersebut.

MOHD NAZREE MOHD YUNUS
Pengerusi GERAK Malaysia

Tuesday, December 1, 2009

Kenyataan akhbar Presiden PAS: Tindakan Nik Aziz gambaran ikhlas dan jiwa besar


Keputusan yang diambil oleh Tok Guru Mursyidul Am PAS dengan meminta menantu beliau Ir. Abdul Ariffahmi Abd Rahman untuk meletakkan jawatan dari kedudukan sebagai CEO PMBK adalah jelas merupakan satu tanda keikhlasan dan jiwa besar yang ditunjukkan oleh Tok Guru yang bersedia menerima keputusan parti.

Sifat berjiwa besar ini juga ditunjukkan oleh seluruh ahli keluarga beliau yang bersabar dengan ujian yang dan ini sangat berbeza dengan konsep kronisme yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional yang tidak boleh dirombak dan dirungkaikan.

Kita juga berhadapan dengan undang-undang manusia yang seringkali menjatuhkan hukuman dengan tidak adil – iaitu hukuman telah dijatuhkan sebelum maklumat sepenuhnya diperolehi dari sumber yang amanah dan benar.

Benarlah keadaan yang digambarkan oleh Rasulullah saw “Akan berlaku di akhir zaman keadaan yang celaru, orang amanah dikatakan khianat, orang khianat dikatakan amanah, orang benar dikatakan bohong dan orang bohong dikatakan benar”.

Kita dapati Tok Guru selaku Pengerusi PMBK telah menjalankan pelantikan yang ikhlas.

Apa yang kurangnya ialah mereka yang bertugas di sekeliling yang tidak memberi nasihat perundangan dan politik yang betul kepada Tok Guru.

Kita dapati bahawa selama 19 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, Tok Guru selaku Menteri Besar dan ahli keluarganya tidak pernah mengambil peluang dari jawatan yang diamanahkan ini.

Seluruh ahli PAS menjunjung tinggi keikhlasan Tok Guru dalam menjalankan amanah yang sangat besar dan berat ini.

Kita juga sangat hairan dengan sikap orang yang menyerang Tok Guru ini kerana mereka berdiam diri pula dengan membiarkan kesalahan dan ketidakadilan terhadap rakyat yang dilakukan oleh para pimpinan UMNO dan BN sewenang-wenangnya.

Kita berharap agar Tok Guru dan keluarga bersabar dengan ujian masyarakat yang tidak memahami keadaan sebenar yang berlaku.

Kita mengharapkan agar mereka yang suka menyebarkan api kebencian agar segera bertaubat kerana sabda Rasulullah saw “Barangsiapa yang bermusuh dengan orang-orang yang mentaati perintahku maka aku mengisytiharkan kemurkaan yang sekeras-kerasnya”.

Saya juga menyeru seluruh ahli PAS agar berbangga dengan keputusan Tok Guru beserta ahli keluarganya yang bersedia menerima keputusan parti, dan marilah kita bersama-sama dengan Tok Guru dalam menghadapi ujian fitnah media yang tidak putus-putus dan cubaan musuh untuk meletakkan kerajaan PAS di Kelantan dalam keadaan tidak tenteram.

Marilah kita sama-sama mempertahankan kerajaan yang telah dibina di atas dasar amanah Allah ini dengan seluruh tenaga yang kita ada.

Presiden PAS
Abdul Hadi Awang

Hampir 50 anjur tunjuk perasaan disaksikan 500 penonton di Kota Darul Naim

Hampir 50 anggota kumpulan yang menggelarkan diri mereka Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan yang juga penyokong Umno mengadakan tunjuk perasaan di Kota Darul Naim pagi ini dengan disaksikan hampir 500 penonton bagi memprotes tindakan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendoakan kecelakaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno kerana keengganan kerajaan persekutuan membayar royalti.

Perhimpunan ini dipimpin oleh Timbalan Ketua Umno Pasir Mas, Che Johan Che Pa.

Kumpulan itu mula tiba di pusat pentadbiran kerajaan negeri itu kira-kira pukul 10 pagi dan bersurai lebih satu jam kemudian selepas selesai menyerahkan memorandum bantahan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Anual Bakri Haron.

Sebelum itu, pihak polis mula berkawal di depan pusat pentadbiran kerajaan Kelantan seawal pukul 9 pagi sebagai persiapan menghadapi perhimpunan membantah kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Semalam satu mesej bersebaran melalui SMS menggesa ahli-ahli Umno berhimpun supaya menyokong protes itu dan malam tadi, Pemuda PAS Kelantan membuat satu laporan polis bagi memaklumkan rancangan demo ini.

Bagaimanapun, seorang pemimpin Pemuda Umno Kelantan menegaskan protes itu yang juga bertujuan mendesak Nik Aziz meletakkan jawatan adalah inisiatif NGO tersebut.

Difahamkan, para pemimpin PAS menuduh Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali sebagai dalang di sebalik protes itu.

Bagaimanapun, MP bebas yang bertanding di bawah tiket parti Islam itu tahun lalu menafikannya.

Nik Aziz dalam khutbah Aidiladha Jumaat lalu menggesa para jemaah supaya berdoa agar hati Najib dibuka untuk membayar royalti minyak kepada kerajaan Kelantan.

Beliau juga berkata akan mendoakan kecelakaan Najib dan Umno sekiranya royalti minyak itu tidak dibayar.

Doa kontroversi Nik Aziz itu telah digunakan oleh pemimpin Umno untuk menekan Mursyidul Am PAS itu.

Hari ini akhbar parti Melayu itu, Utusan Malaysia menyiarkan laporan yang menggesa Nik Aziz supaya berundur kerana telah menimbulkan kegelisahan kepada umat Islam.

ADUN Titi Serong puji usaha mengumpulkan keluarga keturunan Janggol dan Normah


Usaha mengumpulkan keturunan keluarga yang dilakukan oleh waris keturunan Janggol dan Normah merupakan satu usaha yang baik dan perlu dicontohi oleh semua pihak khususnya warga setempat, kerana itu saya ucapkan tahniah diatas kejayaan usaha murni ini. Demikian antara ucapan ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim semasa merasmikan Majlis Korban dan Hari Keluarga Keturunan Janggol dan Normah yang diadakan di Dewan Sek.Men.Agama Al Falah disini.


Himpunan keluarga keturunan Janggol dan Normah itu dikendalikan oleh sebuah Jawatan Kuasa yang dipengerusikan oleh Waris ke 3, Ust. Hj. bahruddin bin Sulaiman. Satu kejayaan yang ditunjukkan oleh program yang julung kali diadakan dalam usaha mengumpulkan keluarga itu apabila sekitar 700 orang memenuhi dewan dan dijamu dengan 2 ekor lembu korban.

"Manusia dijadikan oleh Allah dengan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku namun yang paling mulia disisiNya ialah yang paling bertakwa, termasuklah dalam keturunan Janggol dan Normah, mereka menjadi mulia disisi Allah adalah kerana takwa". Jelas Drs. Khalil.


"Saya berharap dengan usaha ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan mengeratkan hubungan kekeluargaaan sesama kita, usaha ini penting kerana generasi masakini dilihat telah terhakis dari mengamalkannya" Ucap Drs. Khalil.

Bagi merealisasikan dan meneruskan aktiviti pada masa akan datang, Drs. Khalil menyarankan kepada Jawatankuasa pengelola supaya mewujudkan sebuah Website dan menubuhkan khairat kematian.

Sementara itu semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya, Pengerusi jawatankuasa Program, Ust. Hj. Bahruddin Sulaiman menjelaskan himpunan melibatkan keturunan ke 3 hingga ke 6 sahaja.

Beliau juga menjelaskan usaha jawatankuasa menghubungi mereka dengan berbagai cara termasuk mengiklankan dalam akhbar harian. Mereka ada yang tinggal di Johor, Pahang, Sabah dan semuanya dijemput untuk hadir.

"Air dicincang tidak akan putus" Demikianlah harapan akhir kepada keluarga Janggol dan Normah, ucap Ust.bahruddin mengakhiri ucapannya.

Kes liwat Anwar didengar bulan depan


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhadapan dengan “cabaran politik” ekoran gagal dalam usaha beliau untuk membatalkan kes liwat — yang kedua dihadapinya dalam 10 tahun.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang menolak permohonan Anwar pagi ini menetapkan tempoh sebulan iaitu dari 25 Januari hingga 25 Februari depan untuk mendengar kes beliau.

Meskipun diwakili oleh pasukan peguam terbaik termasuk Raja Aziz Addruse, Anwar gagal dalam usahanya untuk mengetepikan kes liwat ini.

Anwar berhadapan dengan kes liwat pertama sejurus selepas dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada September 1998.

Jika disabit kesalahan Anwar boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, yang dilihat boleh menjejaskan kerjaya politik beliau dan peluang menawan Putrajaya dengan kerjasama PAS dan DAP.

Kini Anwar merupakan Ketua Umum Pakatan Rakyat. Anwar memohon untuk membatalkan dakwaan liwat terhadapnya.

Hakim memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk mengetepikan tuduhan terhadap Anwar tetapi Ahli Parlimen Permatang Pauh itu harus membuktikan dakwaan bahawa wujud niat jahat dan konspirasi politik di pihak pejabat Peguam Negara terhadapnya.

Justeru Zabidin menambah terserah kepada pendakwa raya untuk memutuskan bagaimana mereka hendak membuktikan wujudnya unsur penetrasi. Anwar, 62, didakwa meliwat Mohd Saiful Bukhari Azla, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.

Mohd Saiful, 24, merupakan bekas pembantu peribadi Anwar.

Perbicaraan kes itu pada mulanya ditetapkan 1 sehingga 23 Julai lalu tetapi ditangguhkan beberapa kali bagi membolehkan mahkamah mendengar beberapa permohonan yang difailkan Anwar.

Pada 23 November lalu, peguam Anwar memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dakwaan liwat terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu berniat jahat dan tidak boleh diterima memandangkan ketiadaan penemuan perubatan berhubung penetrasi.

Peguam R. Sivarasa berkata bukanlah satu perkara baru bahawa untuk melakukan dakwaan liwat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, penetrasi merupakan perkara utama dan teras.

Beliau berkata dalam kes ini, tiada bukti perubatan yang pasti bagi mencadangkan berlaku penetrasi ke dalam dubur pengadu, Mohd Saiful.

Sivarasa turut berhujah bahawa dakwaan terhadap Anwar tidak berasaskan bukti sebaliknya berat sebelah, menyalahi undang-undang, berniat jahat, bermotifkan politik dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Beliau berkata mahkamah mempunyai hak dan kuasa sedia ada untuk membenarkan permohonan membatalkan atau menangguhkan dakwaan itu bagi mengelak pendakwaan yang menindas dan mempunyai niat buruk terhadap Anwar.

Sivarasa berkata pembabitkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam kes itu jelas menunjukkan niat jahat terhadap Anwar, memandangkan beliau disiasat oleh

Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berikutan laporan polis terhadap beliau oleh Anwar membabitkan pemalsuan keterangan dalam insiden “mata lebam” ketika Anwar ditahan polis pada 1998.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...