Oleh HARIS ZALKAPLI
Lawatan Presiden Donald Trump ke Arab Saudi dan ucapannya semalam memberi gambaran jelas satu kesepakatan yang diusahakan oleh Amerika Syarikat bersama Arab Saudi, negara-negara Arab sekutu dan Israel. Perkembangan terkini sejak Trump menjadi presiden menjelaskan lagi satu pakatan yang telah diusahakan sejak llebih sedekad lalu. Artikel di bawah ini yang pertama kali diterbitkan pada 27 Disember, 2012 merakamkan sejarah rancangan ini, termasuk percaturan dan perdebatan yang berlangsung dalam membina kerjasama politik ini.
Tahun 2012 menyaksikan pergolakan yang sengit dan berpanjangan melibatkan kuasa-kuasa serantau dan global di rantau Asia Barat, menjadikannya tumpuan utama masyarakat dunia.
Satu persaingan yang menjadi tumpuan dan mencetuskan sentimen ialah
persaingan antara kuasa-kuasa Arab bersama Turki dengan Iran dan
sekutunya Syria, yang menjadi satu isu utama dunia Islam.
Di
seberang gabungan Iran dan sekutu ialah kuasa-kuasa Arab Saudi dan
Qatar yang mendominasi Majlis Kerjasama Teluk, GCC, dan Liga Arab, dan
Turki.
Iran dan sekutunya Syria pada masa sama juga ialah musuh
yang dianggap sebagai ancaman kepada Israel, yang hubungannya dengan
Amerika Syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini kelihatan
tertumpu pada isu nuklear Iran.
Persaingan sengit yang
menggerakkan pelbagai tindakan Saudi, Qatar dan sekutu ini kelihatan
selari dengan kepentingan Israel, sehingga menampakkan kewujudan satu
pakatan tidak formal dan kerjasama antara kuasa-kuasa Arab terbabit
dengan Israel, walaupun pada permukaan kelihatan bermusuh.
Perkembangan melibatkan Syria, usaha mengalih sokongan dan bantuan
kepada Hamas daripada Iran kepada kuasa-kuasa Arab dan kerjasama
menangani Iran menunjukkan satu bentuk pakatan Arab Sunni dengan Israel,
walaupun dalam bentuk yang tidak sepenuhnya jelas.
Dalam
sejarah terkini, perkembangan terkini melibatkan pakatan menentang Iran
ini bermula ekoran kejatuhan rejim pimpinan Presiden Saddam Hussein di
Iraq, yang membuka ruang kepada peningkatan kuasa politik masyarakat
Syiah, yang dilihat sebagai kesinambungan atau mempunyai hubungan yang
sangat rapat dengan Iran.
Kenyataan pemimpin Jordan, Raja Abdullah tentang apa yang dilihat sebagai ancaman Iran dan Syiah ini mencetuskan debat panjang berhubung "bulan sabit Syiah" iaitu satu kawasan dikuasai Iran di dunia Arab dan juga dalam kalangan akademik dan pembuat dasar di Amerika Syarikat, yang kemudian memberi kesan kepada dasar luar AS di rantau Asia Barat.
Persepsi ancaman seperti ini, yang mudah untuk diperbesarkan atau
dipermudahkan untuk tujuan politik kemudian membentuk menjadi satu isu
yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan kuasa-kuasa Arab, walaupun
sebenarnya mempunyai penjelasan yang lebih mendalam, terutama berhubung
kepentingan Iran dan tindakan yang sedia dilakukan untuk memelihara
kepentingannya di Asia Barat.
Persepsi ancaman Iran-Syiah ini
semakin kuat ekoran perang Hizbullah dengan Israel pada musim panas
2006, yang dinilai sebagai satu kejayaan Hizbullah yang disokong Iran,
sehingga menjadikan kumpulan Syiah Lubnan ini popular di dunia Arab.
Populariti ini mempunyai potensi untuk meningkatkan pengaruh Iran di
dunia Arab, dan hakikat bahawa Hizbullah berpegang kepada aliran Syiah
membuka peluang kepada aliran ini tidak dilihat secara negatif ekoran
episod ini.
Menyedari sentimen Arab yang berasa terancam ekoran
kesan perang Hizbullah-Israel, Martin Indyk, bekas duta AS ke Israel
yang kini felo di badan pemikir berpengaruh Institusi Brookings, mencadangkan satu pakatan melibatkan negara-negara Sunni dengan Israel, sebagai satu usaha menangani pengaruh Iran.
Rejim-rejim Arab Sunni yang bimbang dengan pengaruh paksi Iran-Syria
dilihat mempunyai kepentingan yang sama dengan Israel, yang terancam
oleh pakatan didominasi Iran itu, lebih-lebih lagi berkait kedudukan
Syria sebagai negara jirannya yang berperanan penting dalam memelihara
kumpulan seperti Hizbullah dan Hamas.
Selain Lubnan yang dari
segi praktiknya masih berperang dengan Israel, Syria satu-satunya jiran
yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara Zionis itu.
Mesir dan Jordan mengekalkan hubungan baik dengan Israel.
Seorang akademik dari Universiti Columbia, Gary G Sick juga mempunyai pandangan yang sama, menegaskan strategi baharu anti-Iran ini
mula muncul ekoran perang Hizbullah-Israel pada 2006, yang semakin
menyedarkan rejim-rejim Arab Sunni tentang peningkatan pengaruh Iran.
Perkembangan strategi baharu ini dilaporkan wartawan Seymour Hersh dalam majalah The New Yorker
pada 2007. Strategi yang disifatkan mereka yang terlibat sebagai satu
perubahan besar itu menyaksikan kerjasama rapat AS dengan Saudi untuk
melemahkan pakatan Iran-Syria dan Hizbullah.
Laporan Hersh itu
mendedahkan sokongan kewangan Saudi kepada Ikhwan al-Muslimin Syria,
elemen terkuat dalam pembangkang Syria. Sokongan kepada Ikhwan ini
diberikan untuk membina penentang yang kuat kepada rejim Bashar
al-Assad.
Ikhwan pada masa ini ialah kumpulan terbesar dalam
pakatan penentang kerajaan Syria yang telah pun menerima pengiktirafan
AS, Saudi, Qatar, Turki dan sekutu-sekutu.
Strategi digelar
pakatan Sunni-Israel ini terus mendapat perhatian dalam kalangan
akademik dan pemerhati dasar luar AS. Pendekatan ini dilihat sebagai
pilihan yang wajar dilaksanakan untuk menyusun semula aturan kuasa di
Asia Barat bagi memenuhi kepentingan AS dan sekutu pentingnya, Israel
dan negara-negara Arab.
Malah, menjelang 2007, pilihan yang sukar itu juga semakin menjadi opsyen bagi pemimpin-pemimpin Israel, disebabkan perkongsian kebimbangan terhadap pengaruh Iran.
Seorang pemerhati melihat pakatan Sunni-Israel
yang sedang terbentuk itu, yang menyaksikan peranan penting Arab
Saudi, akan membuka ruang kepada perdamaian di rantau Asia Barat.
Isu penting yang sama; menangani peningkatan pengaruh Iran yang dilihat
sebagai ancaman oleh Israel dan Arab Sunni, dinilai sebagai faktor
yang membenarkan strategi baharu ini terlaksana.
Seorang wartawan pro-Israel di AS, Jeffrey Goldberg, penulis di majalah The Atlantic, mengulas potensi dan kepentingan projek ini dalam satu tulisannya pada 2009.
Goldberg menjelaskan pemerhatiannya bahawa rejim-rejim Arab kelihatan
lebih bersikap kritikal terhadap Iran, melebihi yang ditunjukkan oleh
pemimpin Israel.
Di Israel, sikap yang sama terhadap pakatan ini juga telah kelihatan. Seorang penulis di media Israel Ynetnews, menggesa Riyadh melakukan tindakan drastik menjalin kerjasama dengan Israel demi memastikan kelangsungan rejim itu.
Saudi dan Israel disifatkan sebagai pihak yang berkongsi kepentingan
yang sama berhubung Iran dan perlu mengambil langkah bersama menangani
ancaman itu.
Satu laporan akhbar Israel, Haaretz pada April 2012 lalu menunjukkan satu bentuk persefahaman berdasarkan kepentingan bersama, terutama ekoran kebangkitan rakyat yang semakin berleluasa di rantau Asia Barat.
Perkembangan sejak 2010 memperlihatkan hubungan yang terus
diperkukuhkan antara AS dan sekutu penting di dunia Arab seperti Arab
Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu, yang kedua-duanya mencapai perjanjian
jual beli senjata bernilai puluhan bilion dolar AS.
Rancangan
ini ialah sebahagian usaha mengukuhkan sekutu kalangan negara Arab
sekitar Teluk Parsi, negara yang bakal berada di barisan hadapan
sekiranya tercetus konflik bersenjata melibatkan Iran.
AS di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama meluluskan pakej jualan senjata bernilai AS$60 bilion kepada Arab Saudi, melibatkan beberapa jenis pesawat termasuk F-15 dan helikopter Apache.
Tahun 2011, sebagai sebahagian pakej AS$60 bilion urus niaga senjata itu, Riyadh diluluskan untuk membeli pesawat F-15 bernilai AS$30 bilion.
Tahun yang sama, UAE menyempurnakan perjanjian pembelian sistem pertahanan pemintas peluru berpandu dari syarikat AS bernilai AS$3.5 bilion.
Israel yang tidak menunjukkan penentangan kepada penjualan senjata besar-besaran kepada Riyadh
seperti ditunjukkan semasa penjualan senjata kepada negara-negara Arab
pada 1980-an, paling utama jualan pesawat pemantau Awacs pada 1981,
menunjukkan petanda persefahaman kedua pihak menghadapi musuh bersama,
Iran.
Tahun 2012, Washington turut mencadangkan pembinaan sistem pertahanan peluru berpandu untuk melindungi negara-negara ahli GCC daripada serangan peluru berpandu Iran.
Penjualan senjata besar-besaran ini berlaku pada masa yang kritikal
melibatkan hubungan negara-negara Arab tersebut dengan Iran, yang
merupakan ancaman yang mendorong urus niaga senjata tersebut, dan dilihat sebagai perubahan strategi yang nyata oleh AS dalam persediaan menghadapi konflik di rantau itu.
Perkembangan terkini di dunia Arab terutama melibatkan konflik Syria
yang menjadi manifestasi utama pendekatan baharu kuasa-kuasa Arab
serantau ini menunjukkan satu kerjasama didasari kepentingan bersama
sedang berjalan.
Agenda berhubung Syria yang mempunyai sisi
sektarian yang besar menyukarkan untuk kewujudan kerjasama
negara-negara Sunni dengan Israel untuk dinafikan, lebih-lebih lagi
dengan Israel menjadi pihak yang mendapat manfaat besar sekiranya paksi
diketuai Iran dilemahkan.
Pemilihan istilah pakatan Sunni
walau bagaimanapun boleh mencetuskan kekeliruan ekoran tafsiran
simplistik yang diberikan, dengan menjadikan ideologi sebagai identiti
dan penyatu.
Hal yang sama telah dicetuskan oleh istilah Syiah,
yang digunakan dengan mudah untuk menyifatkan kuasa-kuasa yang
pelbagai seperti Iran, Syria, Hizbullah, Hamas dan kumpulan-kumpulan
Syiah di negara-negara Teluk Parsi.
Dari satu sudut, istilah
Syiah digunakan untuk mencetuskan sentimen negatif dalam kalangan pihak
yang kritikal terhadap sekte ini.
Syiah dalam hal ini
digunakan sebagai kata ganti untuk menyifatkan pakatan politik ini,
yang dasarnya tidak semestinya aliran agama tetapi juga kepentingan
geopolitik dan tempatan.
Pakatan yang digelar paksi Syiah ini
malah juga melibatkan kepentingan kuasa-kuasa luar seperti Rusia, yang
asas sikapnya ialah perkiraan geopolitik.
Istilah pakatan
Sunni-Israel ini juga, seperti digunakan pencetusnya dalam kalangan
pemikir dasar luar AS, secara mudah menggunakan istilah Sunni untuk
menyifatkan pakatan yang asasnya ialah sikap anti-Iran, atau lebih
tepat lagi Iran seperti yang wujud hari ini.
Sekiranya berlaku
perubahan rejim di Iran sehingga memunculkan pemerintahan baharu yang
berbeza nilai dan kecenderungan aliansinya sehingga selari dengan
kepentingan pesaingnya sebelum perubahan, aliran agama tadi akan
diabaikan dan tidak diperbesarkan seperti disaksikan sekarang.
Pakatan Sunni-Israel dilihat oleh pendukungnya menggabungkan semua
negara Arab Sunni monarki di Teluk Parsi dan juga Jordan, republik Mesir
dan Turki.
Walau bagaimanapun, gabungan yang berkongsi
kepentingan berhubung menangani pengaruh Iran ini tidak semestinya
digerakkan oleh aliran agama mereka.
Pihak yang paling
memusuhi Iran dalam kalangan negara Arab ialah Arab Saudi (di bawah
kepimpinan pada masa ini dan berdasarkan pendirian pada masa ini), yang
mempunyai pengaruh kuat terhadap dunia Arab terutama jiran-jiran di
Teluk Parsi.
Walaupun perancangan terhadap Syria dan paksi
dipimpin Iran memperlihatkan kepentingan yang selari, negara seperti
Qatar, Mesir dan Turki juga mempunyai kepentingan untuk mengimbangi
hubungan dengan Iran, sebagai sebahagian strategi pragmatik memelihara
kepentingan masing-masing.
Dua negara republik Mesir dan Turki
juga kelihatan mempunyai gagasan dasar luar yang berbeza daripada yang
dipegang gabungan Arab diketuai Saudi, dan kelihatan mempunyai
kepentingan untuk lebih merapatkan hubungan dan meningkatkan lagi
pengaruh di dunia Arab.
Qatar, Mesir dan Turki mempunyai agenda
dasar luar yang lebih bebas dan tidak semestinya selari dengan agenda
Saudi dan sekutu.
Arab Saudi, negara berpengaruh dunia Islam
kini telah mencetuskan agenda yang tidak selari dengan kepentingan umat
ekoran keperluan memelihara rejim dan kepentingannya di rantau Asia
Barat, dengan kini mendominasi hala tuju GCC dan juga Liga Arab.
Riyadh kini sedang mengusahakan kesatuan yang lebih rapat melibatkan
negara-negara monarki Teluk Parsi dan telah berjaya menyingkirkan Syria
daripada Liga Arab.
Kebangkitan rakyat di dunia Arab kini
telah membawa kepada satu perkembangan yang lebih kompleks dan
mencetuskan akibat-akibat yang mencetuskan kekacauan, kemusnahan dan
pecah belah.
Perkembangan ini menunjukkan kemelut melanda
dunia Islam yang kritikal disebabkan persaingan kuasa sehingga
mendedahkan umat kepada krisis dan konflik yang melemahkan. - 27
Disember, 2012