Saturday, June 14, 2014

Kenapa Dyana Sofya kalah di Teluk Intan

Pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan telah berakhir dengan kemenangan calon Barisan Nasional daripada Parti Gerakan, Datuk Mah Siew Kieong, merampas kerusi parlimen itu daripada DAP yang memenanginya dalam dua pilihan raya umum sebelum ini.

Mah menang dengan majoriti 238 undi apabila memperolehi 20,157 undi berbanding calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud mendapat 19,919 undi.

Kemenangan ini menjadi satu pencapaian besar kepada Gerakan, memandangkan kerusi ini boleh disifatkan sebagai satu kawasan yang agak selamat bagi DAP.

M Manogaran daripada DAP memenangi Parlimen Teluk Intan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 dengan memperolehi 18,486 undi, mengatasi Mah yang mendapat 17,016 undi.

Mah sekali lagi tewas pada Pilihan Raya Umum ke-13, apabila hanya mendapat 20,086 undi, berbanding calon DAP Seah Leong Peng yang memenangi 27,399 undi. Seorang lagi pesaing, calon bebas Moralingam Kannan mendapat 279 undi.

Teluk Intan menyediakan peluang kedua selepas Kajang untuk pengundi di negara ini menunjukkan faktor kaum bukan penentu dalam pilihan raya, seperti yang disebut oleh pemimpin-pemimpin parti politik sebagai menolak politik berasaskan kaum.

Tetapi, ternyata pengundi mempunyai pelbagai faktor untuk dipertimbangkan, dan Mah nampaknya mempunyai faktor-faktor yang dikehendaki oleh sebahagian besar pengundi Teluk Intan.

Dilihat dari sudut pengundian berdasarkan kaum, keputusan memberi gambaran yang pengundi Cina mengundi "bakal menteri besar" di Kajang dan "bakal menteri kabinet" di Teluk Intan.

Pengundi Cina di Teluk Intan - yang mengundi dan yang memilih untuk tidak mengundi - kelihatan mempunyai pertimbangan pragmatik tersendiri dalam membuat pilihan dalam pilihan raya kecil ini.

Pelbagai faktor telah ditimbulkan sebagai punca kekalahan Dyana, seperti faktor kaum dan agamanya. Isu berkaitan hukum syariah termasuk hudud yang disebut sebagai satu punca bukan sahaja memberi kesan kepada pilihan raya, tetapi masih berterusan hingga selepas tamat pilihan raya, antara pemimpin PAS dan DAP.

Imej awal kemunculan Dyana kelihatan telah memberi kesan kepada hubungan PAS dengan DAP. Beliau muncul dalam keadaan tidak bertudung dan laporan beliau "menolak hudud" terbit pada masa awal kempen Teluk Intan.

Isu ini mungkin dilihat sebagai remeh oleh sesetengah pihak, tetapi sensitiviti parti-parti yang beragam dalam kerjasama Pakatan rakyat yang berbeza-beza membolehkan pelbagai isu memberi kesan kepada pihak yang terlibat.

Hal ini telah memberi kesan kepada penglibatan dan komitmen PAS dalam kempen pilihan raya kecil ini, terutama melibatkan kelompok yang lebih konservatif dalam PAS.

Bangsa dan agama Dyana telah memberi kesan kepada kedua-dua PAS dan DAP, seperti penjelasan berhubung pendirian beliau menolak hudud dan penerimaan pengundi Cina tempatan terhadap anak muda Melayu ini.

Ini turut dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sendiri, mengakui yang percubaan kali ini tidak mendatangkan hasil seperti yang diharapkan. Lim dilapor berkata penurunan undi Cina mungkin disebabkan Dyana seorang Melayu.

DAP melihat tindakan meletakkan calon berbangsa Melayu ini sebagai satu usaha membawa politik baharu yang tidak berasaskan kaum, dan akan diterima pada masa depan. Pencalonan Dyana disifatkan sebagai satu pelaburan untuk masa depan.

Mungkin yang paling menjejaskan kepada masyarakat Cina ialah kaitan beliau dan ibunya dengan pertubuhan Perkasa, sehingga mempunyai hubungan yang baik dengan Datuk Ibrahim Ali. Banyak gambar yang menjelaskan hubungan ini telah terdedah sepanjang kempen.

Isu ini pula ditimbulkan berkali-kali dan terus hidup hingga ke saat-saat akhir kempen, tanpa jawapan yang meyakinkan daripada Dyana. Malah, jawapan beliau mendedahkan lebih banyak kekusutan.

Tindakan ibu beliau keluar daripada Perkasa membuktikan penglibatan dalam pertubuhan itu, dan menimbulkan persoalan sama ada adakah beliau bertindak sedemikian selepas pendedahan penglibatan beliau dibuat, dan adakah tindakan sama akan dilakukan sekiranya hal ini tidak terdedah.

Tidak kurang penting yang menjadi sebab kekalahan Dyana ialah politik dalaman DAP sendiri, disebabkan faksi-faksi yang bersaing dalam politik parti di negeri Perak.

Dyana bukan pilihan utama kumpulan-kumpulan utama dalam DAP di Perak, dan dibawa oleh Lim Kit Siang untuk bertanding di Teluk Intan. Beliau berdepan lawan seorang pemimpin veteran dan jauh lebih dikenali penduduk Teluk Intan. Kesemua faktor ini akhirnya menyebabkan kekalahan Dyana, walaupun dengan undi yang kecil.

Teluk Intan telah menunjukkan satu cabaran besar dalam menangani sensitiviti antara parti dalam Pakatan yang mudah terusik, dan sensitiviti pengundi terhadap pelbagai faktor, yang berkait dengan pertimbangan pragmatik kehendak setempat.

Semua ini menyediakan satu kes penting untuk dinilai oleh parti-parti Pakatan dalam menuju Pilihan Raya Umum ke-14. - Jun 3, 2014

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...