Oleh HARIS ZALKAPLI
Ucapan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di akademi tentera di West Point telah menegaskan satu pendirian menolak campur tangan ketenteraan di luar negara, satu pendirian yang bertentangan dengan haluan utama dasar luar AS selama berdekad lalu, terutama presiden Republikan terakhir George W Bush.
Dinilai sebagai ucapan mempertahankan dasar luarnya yang dilihat sebagai gagal, lemah dan tidak terfokus, ucapan Obama dengan tegas mempersoalkan pendekatan memilih penyelesaian ketenteraan melibatkan konflik di seluruh dunia, termasuk fahaman campur tangan kemanusiaan yang menjadi pegangan golongan liberal antarabangsa.
Ucapan menggariskan dasar luar Obama itu menegaskan kepercayaan beliau terhadap kedudukan istimewa AS di arena antarabangsa, yang mungkin tidak bermakna bagi pengkritik beliau kerana keengganan memilih penyelesaian ketenteraan di Syria.
Menurutnya, penting untuk AS pada masa ini memilih kerjasama multilateral dan mematuhi norma dan undang-undang antarabangsa, sesuatu yang lebih menjelaskan lagi haluan berbeza dasar luar beliau. Tegas Obama, keperluan tindakan unilateral AS perlu dikurangkan, dan memilih kerjasama multilateral tidak wajar dinilai sebagai satu kelemahan.
Obama menyebut contoh-contoh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa, IMF, empat pertubuhan yang dikuasai AS - sama ada sepenuhnya atau sebahagian - sebagai contoh kebaikan multilateralisme.
Obama dengan jelas mengatakan yang beliau tidak menentang tindakan ketenteraan termasuk secara unilateral, tetapi hanya sekiranya kepentingan hakiki AS tergugat, dan bukan bertindak dengan menganggap penyelesaian ketenteraan sebagai jawapan kepada semua masalah.
Sepanjang ucapannya, Obama menggunakan kata multilateral sebanyak tiga kali, sokongan, pendapat, norma dan undang-undang antarabangsa sebanyak 11 kali, termasuk sekali menyebut konvensyen undang-undang laut ketika mengajak kongres meratifikasikan penerimaan AS terhadap peraturan itu, dan kata rakan dan perkongsian sebanyak 16 kali.
Isu Syria, yang bermula pada 2011 dan masih tidak menunjukkan tanda akan berakhir segera, jelas sekali menjadi isu utama dasar luar di bawah Obama, mencetuskan debat panas di Washington, dalam kalangan komuniti dasar luar daripada penasihat sekeliling Obama, ahli-ahli politik di kongres, hingga kepada tokoh kumpulan pemikir dan akademik.
Jawapan paling utama yang diberikan dalam ucapannya itu ialah berhubung konflik Syria, yang menjadi punca dasar luar beliau dikritik sebagai lemah dan tidak tegas kerana tidak bertindak secara ketenteraan terhadap rejim Bashar al-Assad. Persepsi tentang kelemahan dasar luar beliau ditambah lagi dengan peristiwa di Ukraine, apabila Rusia merampas Crimea, dan kemudian di Asia dengan China yang semakin agresif dan angkuh terhadap sekutu-sekutu AS.
Konflik di Syria kini telah menjadi satu penanda pembentukan satu orde dunia yang baharu. Konflik ini menyaksikan peranan kuasa-kuasa sedang meningkat seperti Turki, Iran, dan Qatar dan keupayaan Rusia dan China mengimbangi AS dan kuasa-kuasa Barat.
Di Syria, Rusia - dan juga Iran - telah dilihat berjaya menahan kemaraan orde dunia yang dibawa AS, dengan melawan norma, peraturan dan pandangan alam AS dan sekutu-sekutu Baratnya dengan tegas. Hal ini ditambah lagi dengan tindakan Rusia di Ukraine, yang menampakkan dengan jelas lagi realiti dunia yang pantas menuju keadaan pasca-Amerika. Kemudian, tidak lama selepas itu, Rusia mengukuhkan aliansi dengan China, yang turut mempunyai visi anti-AS yang jelas.
Perkembangan ini semua menunjukkan satu perubahan orde dunia yang sedang berlangsung, yang menunjukkan kedudukan AS yang jauh daripada realiti dunia pada awal 1990-an semasa AS di puncak dunia unipolar. Hal ini mungkin menjadi faktor yang meresahkan ramai pihak di AS, sehingga mencetuskan reaksi yang kuat terhadap dasar luar Obama yang dilihat sebagai lemah.
Obama mengambil alih tampuk pemerintahan AS pada masa dunia termasuk AS sendiri mengalami perubahan, melibatkan kuasa-kuasa lain yang semakin kuat dan yakin, yang bermakna secara relatif kekuatan AS mula merosot, dan dunia yang seperti disaksikan pada hari ini ialah hasil daripada perkembangan ini, yang sukar dielakkan dan mempengaruhi pendirian Obama ini.
Obama walau bagaimanapun menegaskan yang AS terus menyokong kerajaan baharu Mesir, disebabkan pertimbangan dasar luar di Asia Barat yang meletakkan keselamatan Israel dan pengekalan rejim yang mesra AS atau tidak menunjukkan penentangan terhadap penguasaan AS di rantau itu. Malah, pada 2009, beliau meningkatkan kerahan tentera AS ke Afghanistan, dan turut meningkatkan serangan dron di Afghanistan dan Pakistan.
Tetapi secara keseluruhannya, Obama menumpukan pada visi dasar luar idealistik sambil memberi jawapan kepada pilihan dasar luarnya kepada pengkritik. Pengkritik Obama tetap melihat isu pilihan untuk campur tangan di Syria sebagai penegasan kedudukan istimewa dan kekuasaan AS memelihara orde dunia yang dipimpin kuasa besar itu.
Obama tetap dilihat sebagai tidak mampu memimpin di pentas dunia, walaupun menegaskan yang beliau masih percaya dengan kedudukan istimewa AS dan hanya AS yang dapat memainkan peranan kepimpinan.
Ucapan Obama menggambarkan AS sebagai satu kuasa yang sedang merosot, dengan pilihan dan peranan kepimpinan yang semakin mengecil, seiring dengan peningkatan kuasa-kuasa lain di dunia. - Mei 29, 2014
No comments:
Post a Comment