Sunday, June 1, 2014

Jangan remehkan sensitiviti isu DNA babi

Kejutan besar penemuan DNA babi dalam produk coklat Cadburry telah mencetuskan satu polemik berpanjangan dan mengejutkan, apabila pelbagai pandangan aneh ditimbulkan oleh anggota masyarakat.

Beberapa pandangan ekstrem dan tidak bersumberkan pemikiran yang teliti terhadap hukum agama telah ditimbulkan, termasuk keperluan menyamak mulut dan menukar darah.

Malah, dalam tindakan yang menampakkan lagi kebodohan dan sikap terburu-buru, ada yang mengajak tindakan ganas dilakukan, seperti membakar kilang Cabdury.

Lebih malang lagi, pandangan seperti ini diberi layanan sangat berlebihan daripada yang sepatutnya, dengan memberikannya perhatian dan respons yang memberikan pandangan-pandangan tersebut kedudukan seolah-olah penting, walaupun sebenarnya pandangan marginal berpunca daripada kejahilan.

Tindakan memberi layanan kepada pandangan pinggiran ini menyebabkan isu sebenar ditenggelamkan, dan sikap terburu-buru itu mengambil tempat di pentas utama.

Tindakan itu, yang dilakukan oleh sesetengah media, menunjukkan sikap politik mereka yang tidak prihatin terhadap umat Muslim, dan kemungkinan juga sikap memusuhi Muslim yang bersuara terhadap isu status halal produk makanan tersebut.

Satu lagi perkembangan yang mengusutkan ialah sebilangan umat Muslim di negara ini kelihatan gagal menanggapi dan menangani isu DNA babi ini dengan cara yang sepatutnya, yakni dengan memberi respons tegas, berdasarkan hak sebagai Muslim dan sebagai pengguna.

Sebilangan Muslim telah cuba mengambil sikap yang menyusahkan isu yang mudah ini, dengan menimbulkan persoalan seperti kenapa rasuah yang juga haram tidak ditangani dengan tegas seperti isu DNA babi.

Mereka ini, yang cuba untuk dilihat liberal, telah cuba memberi gambaran yang isu penemuan DNA babi itu bukan satu isu yang besar, dan ada isu yang lebih utama perlu ditangani oleh umat, iaitu rasuah dan urus tadbir yang baik.

Kekeliruan besar dalam persoalan ini ialah kenapa persoalan haramnya rasuah itu ditimbulkan dan dibandingkan dengan DNA babi, dengan memberi implikasi yang mereka yang marah itu bersikap selektif dengan hanya marah dengan kehadiran DNA babi dalam makanan mereka, tetapi mengabaikan amalan rasuah yang juga haram.

Sebenarnya, isu halal haram ini tertakluk di bawah undang-undang yang berkaitan dengan pelabelan produk makanan yang perlu dikuatkuasakan oleh pelaksana amanah, yang jelas sekali bermakna isu ini sebahagian daripada isu urus tadbir baik.

Di Britain tahun lalu, satu isu yang paling menggemparkan pengguna di sana ialah penemuan daging kuda dalam produk daging lembu. Isu ini melibatkan pelabelan, pemalsuan oleh syarikat pengeluar dan kehendak pengguna.

Pada masa itu, mereka yang mengatakan rasuah juga haram seperti babi tentu sahaja tidak mampu dan berani untuk mengatakan sesuatu yang seumpamanya kepada pengguna di Britain.

Ada banyak sudut pandang yang membolehkan isu ini dipolitikkan dan diremehkan sebagai respons orang bodoh, tetapi kemarahan dan respons keras daripada Muslim yang terkesan tidak boleh dinafikan dan ditolak begitu sahaja.

Dalam kalangan yang marah itu, tidak boleh dielakkan akan ada segolongan yang berlebih-lebihan, tetapi ini sama sekali tidak menafikan kewajaran dan keperluan pengguna yang terjejas mengambil tindakan.

Isu sebenarnya hanyalah kemungkinan kecuaian atau kegagalan pembuat coklat tersebut mematuhi peraturan yang telah ditetapkan, dan sebagai pengguna, mereka yang terjejas berhak untuk bertindak menurut undang-undang atau memboikot produk tersebut, seperti yang dilakukan oleh mana-mana pengguna di seluruh dunia.

Ramai yang telah mengambil sikap apologetik dan cuba mengalih tumpuan daripada isu sebenar dengan memperbesarkan isu pinggiran yang ditimbulkan oleh mereka yang hanya mewakili sebahagian kecil daripada mereka yang terbabit.

Umat Muslim di negara ini perlu mengambil pendirian tegas dengan menuntut kepatuhan terhadap peraturan halal yang ditetapkan, dan bertindak dengan lebih tegas dan rasional menangani isu ini. - Mei 30, 2014

3 comments:

otaklunyai said...

Isu DNA babi dalam coklat cadbury ini adalah pembuka mata kpd banyak lagi produk yang berada dipasaran. malah keberkesanan kaedah dan jaminan pihak yang bertanggungjawab juga amat meragukan. Tidak ada jaminan yang boleh diberi kpd rakyat dgn logo halah yang tertera disetiap produk makanan yang ada dipasaran.

Pihak yang bertanggungjawab harus telus dalam menangani isu ini yang telah sekian lama menjadi dilema dan duri dlm daging kpd rakyat terutama yg beragama Islam.

apakah langkah mengambil produk terus dari kilang utk tujuan ujian itu menepati tujuan ujian produk dilakukan kerana produk yang mengandungi unsur DNA babi adalah produk yang telah ada dipasaran. Jika diambil terus dari kilang apakah pihak yg bertanggungjawab cuba utk tidak faham atau cuba mengelirukan org ramai kerana produk baru yg diambil dari kilang membuka ruang yg luas utk memanipulasi produk tersebut oleh pihak kilang. Cuba lah pihak yg bertanggungjwb ini buat kerja dgn ikhlas kerana ini melibatkan ummah dan mereka bertanggungjwb terhadap kerja mereka dihadapan Allah nanti.

otaklunyai said...

Alasan utk mengambil sample baru terus dari kilang utk tujuan ujian pengasahan DNA babi dlm produk adalah amat meragukan kerana membuka ruang yg luas dan selesa utk pihak kilang memanipulasi kandungan produk baru itu... dlam keadaan ini pihak berwajib patut lebih sensitif dan bukan buat kerja guna kepala lutut.

otaklunyai said...

Tindakan pihak berwajib mengambil sample terus dari kilang utk tujuan ujian DNA Babi adalah meragukan kerana produk baru yg diambil dari kilang memberi ruang kpd pihak kilang utk memanipulasi kandungan produk baru tersebut. Kenyataan pihak berwajib bahawa mereka tidak berhasrat utk melindungi pihak kilang adalah sekadar alasan utk menyelamatkan diri dan pihak kilang. sedangkan sampel yang sebenar mesti diambil dari produk yg berada dipasaran... kesal kerana pihak berwajib masih cuba mengelirukan org ramai...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...