Thursday, July 4, 2013

Krisis Mesir: Satu pemerhatian ringkas

Oleh HARIS ZALKAPLI

Pada awal 2011, sejurus Presiden Hosni Mubarak dijatuhkan melalui kebangkitan massa, peringatan bahawa perjuangan sebenar baru bermula mungkin tidak benar-benar difahami ramai, sama ada yang terlibat mahu pun yang memerhati dari jauh.

Sentimen prodemokrasi yang berleluasa dan popular kelihatan telah membina pemahaman yang mengaitkan dengan terus perubahan yang dramatik dengan pendemokrasian, atau kejatuhan seorang pemimpin (atau rejim) dengan bermulanya era yang lebih demokratik.

Kuasa sebenar di Mesir, penguasa tentera, menunjukkan dengan tegas cabaran dihadapi dalam proses pendemokrasian, apabila melakukan tindakan yang menjatuhkan Presiden Mohamed Morsi dari kedudukan sebagai presiden, pada malam 3 Julai.

Tentera yang kelihatan agak kurang ke depan sejak Morsi memenangi jawatan presiden kini kembali menegaskan kuasanya, dengan kerjasama kelompok sekular dan juga liberal, dan menggunakan sentimen ketakutan terhadap "kecenderungan Islam" kelompok parti Islam dan gerakan Ikhwan al-Muslimin yang menjadi pemain penting politik Mesir masa kini.

Sifat Islamis dan implikasi negatif yang dikaitkan dengan Morsi dan kumpulan penyokongnya telah digambarkan dengan jelas sejak awal, dan sentiasa disebut-sebut sebagai satu kelemahan di pihak beliau.

Sentimen inilah - yang ada kalanya kelihatan diperbesarkan - yang mendorong kumpulan liberal memberi penentangan kuat kepada Morsi, malah turut sama menyokong tindakan tidak demokratik pihak tentera.

Kelompok liberal dalam hal ini kelihatan berlebihan dalam bermain politik dan menggunakan apa sahaja untuk mengkritik dan menjejaskan kredibiliti Morsi dan kelompok penyokongnya.

Satu pengajaran penting dalam kes Mesir ini ialah bagaimana suara rakyat yang menjatuhkan pemimpin tidak demokratik Mubarak, kemudian digunakan untuk menjatuhkan pemimpin yang dilantik melalui proses demokrasi.

Perkembangan terkini telah menunjukkan makna rakyat dan demokrasi berubah-ubah dan dipergunakan untuk tujuan politik tertentu, dan terbuka kepada mana-mana pihak yang berkemampuan mengambil manfaat.

Di pihak penyokong Morsi yang jumlahnya tetap besar, walaupun penentang pemerintah menampakkan jumlah yang sangat besar, kes ini meningkatkan krisis kepercayaan terhadap proses demokrasi.

Hal ini sangat jelas dan tidak dapat dinafikan merupakan sentimen yang berleluasa dalam kalangan penyokong pemerintah, menegaskan kepentingan kuasa besar yang bersedia mengorbankan demokrasi apabila bertentangan dengan kepentingannya.

Sejarah yang masih baru dilalui menampakkan pendirian Amerika Syarikat, sekutu rapat dan pendokong Mesir yang berhati-hati dalam menangani pergolakan yang berlaku di Mesir, mengimbangi keperluan menyokong demokrasi dan memelihara kepentingan.

Mesir ialah sekutu AS dan - bersama Israel - menjadi dalam kalangan empat penerima bantuan ketenteraan terbesar Washington. Perubahan yang berlaku ini dinilai seorang pemerhati sebagai yang dapat diterima oleh Washington.

Sudut lain, termasuk peranan Ikhwan al-Muslimin yang mempunyai hubungan sangat baik dengan Qatar, sebuah negara yang mempunyai agenda besar di dunia Arab juga perlu diberi pemerhatian sewajarnya, dalam melihat prestasi dan haluan pemerintahan Morsi dan pengaruh gerakan Ikhwan di Mesir dan dunia Arab pada masa kini.

Qatar mempunyai hubungan baik dengan Ikhwan dan memberi sokongan kepada gerakan ini, dalam usahanya membina dan mengukuhkan pengaruh di seluruh dunia Arab, sehingga mencetuskan rasa kurang senang negara Arab lain terutama monarki Teluk, yang merasa terancam oleh kebangkitan Ikhwan.

Negara kecil di Teluk Parsi itu mempunyai pengaruh kuat di Mesir ekoran penguasaan Ikhwan, dan menimbulkan banyak persoalan berhubung motif dan haluan yang bakal diambil oleh Kaherah dalam banyak hal.

Dari sudut implikasi serantau, Qatar dilihat berdepan satu cabaran dalam usahanya membina pengaruh serantau ekoran kejatuhan Morsi dan ketidaktentuan politik yang dijangka berterusan untuk beberapa bulan lagi sekurang-kurangnya.

Perkembangan terbaru di Mesir ini memerlukan penilaian yang lebih cermat dan mendalam untuk melihat permainan politiknya, di dalam negara dan antara kuasa-kuasa serantau dan global, dan tidak semudah memberi sokongan kepada mana-mana pihak.

Politik Mesir pasca-Mubarak kini menampakkan kompleksiti dan cabaran besar yang harus dihadapi rakyat Mesir, dan pada masa sama menyediakan peluang kepada pihak lain mengambil pelajaran daripadanya.

1 comment:

hisemudinkasim.blogspot.com said...


Dalam menangani kemelut politik Mesir di mana Ikwanul Muslimin pimpinan Mursi tidak punyai kuasa untuk mendepani pembangkang serta memenuhi tuntutan mereka, maka cara yang ideal ialah rampasan kuasa tentera sebagai jalan penyelamat terakhir.

Ikutilah kupasan saya dalam,”Krisis Politik Mesir : Tentera rampas kuasa redakan Arab Spring II”

http://hisemudinkasim.blogspot.com/2013/07/krisis-politik-mesir-tentera-rampas.html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...