Rampasan kuasa di Mesir pada malam 3 Julai lalu telah mencetuskan satu debat baru yang panas berhubung demokrasi di dunia Islam, akibat jatuhnya sebuah pemerintahan didukung gerakan Islam Ikhwan al-Muslimin di Mesir, lokasi kebangkitan rakyat yang boleh dihujahkan sebagai yang paling dramatik sejak bermula kebangkitan pada hujung Disember 2011 di Afrika Utara dan Asia Barat.
Rampasan
kuasa di Mesir kali ini, yang menjatuhkan pemimpin yang dipilih secara
demokratik (walaupun dengan kelebihan undi yang kecil) walau bagaimanapun
dinilai dengan berbeza-beza oleh pelbagai pihak, sama ada yang terlibat mahupun
yang memerhati dari jauh.
Satu isu
besar yang dibincangkan dalam debat berhubung rampasan kuasa ini ialah peranan
gerakan Islam, atau kumpulan Islam terlibat dalam politik dan proses demokratik
pilihan raya dan pentadbiran.
Di satu
pihak, rampasan kuasa yang cuba dilunakkan sebagai kuasa rakyat menjatuhkan
pemimpin dengan bantuan tentera ini diberikan pelbagai justifikasi oleh
penyokongnya, untuk memberi hujah bahawa perubahan pemerintahan yang berlaku
itu bukan rampasan kuasa, satu tindakan yang jelas tidak demokratik.
Dalam hal
ini, pegangan bahawa Islam politik telah gagal bukan sahaja dipegang dengan
kuat, malah kelihatan mahu dipastikan gagal dan tidak diberi peluang sewajarnya
untuk terlibat dalam politik dan pentadbiran negara.
Sesetengah pihak, dalam analisis segera berhubung perkembangan terbaru di Mesir menyimpulkan atau menyarankan bahawa Islam politik telah gagal di Mesir dengan jatuhnya pemerintahan didukung Ikhwan.
Pandangan bahawa Islam politik telah gagal walau bagaimanapun dinilai sebagai agak terlalu awal untuk dibuat, dan ditolak akademik pemerhati rantau ini.
Seorang pemerhati menegaskan bahawa peristiwa terbaru yang berlaku di Mesir "tidak menunjukkan bahawa Islamisme, sebagai satu ideologi politik, kurang popular di Mesir pasca-Mubarak berbanding sebelum 2011."
Walaupun
dengan pendirian dan pendekatan yang telah dilunakkan, gerakan Islam yang
menguasai politik dan pentadbiran Mesir masih dilihat - dan diperbesar-besarkan
- sebagai mampu menggugat demokrasi di negara itu, sehingga rampasan kuasa ke
atas Presiden Mohamed Morsi dibenarkan dan dipertahankan.
Kelompok
liberal Mesir, yang sejak bermula kebangkitan rakyat mungkin melihat peluang
yang besar tersedia untuk mereka dalam politik negara ini, menjadi penyokong
kuat tindakan menjatuhkan Morsi melalui cara tidak demokratik, pada masa sama
menggunakan alasan demokrasi.
Selepas
menjadi salah satu kuasa penting kebangkitan rakyat, liberal Mesir kemudian
menjadi pendukung tindakan tidak demokratik, termasuk penangkapan aktivis
Ikhwan al-Muslimin, penutupan rangkaian televisyen, yang menampakkan permusuhan
yang sangat kuat terhadap kelompok Islamis.
Dalam hal
ini, pertembungan liberal dengan Islamis di Mesir kelihatan dengan semakin jelas,
di negara Arab yang menjadi medan pertemuan, percampuran dan persaingan
pelbagai aliran politik yang menarik sejak puluhan tahun lalu.
Mesir
ialah tempat lahir dan medan paling sengit bagi gerakan Islam Ikhwan, yang
berdepan pelbagai tekanan pemerintah sejak penubuhannya.
Pada masa
sama, gerakan liberal Mesir juga boleh disifatkan sebagai yang paling maju di
seluruh dunia Arab, dan menunjukkan prestasi baik dalam pilihan raya-pilihan
raya yang diadakan dalam tahun-tahun terakhir pemerintahan Hosni Mubarak.
Kebangkitan
rakyat yang berlaku di seluruh dunia Arab telah membuka peluang kepada dua
kumpulan ini; liberal yang semakin popular dan mendapat perhatian dan sokongan
kuasa-kuasa Barat dan Islamis yang menguasai massa, yang dalam kes Mesir ialah
gerakan Ikhwan al-Muslimin.
Walau
bagaimanapun, gerakan yang lebih meluas dan sokongan massa yang lebih kuat -
dan juga sokongan kuasa serantau Qatar yang berpengaruh - melonjakkan Ikhwan
al-Muslimin dan tokoh yang disokongnya.
Rampasan
kuasa ini telah menghentikan dengan tiba-tiba dan dengan keras kebangkitan
gerakan Islam di Mesir, yang berbeza dengan parti-parti Islam di Tunisia dan
Turki berpegang pada aliran gerakan Islam yang masih dinilai sebagai
tradisional, yang disebut sebagai "Islamism."
Parti
yang muncul daripada serpihan Ikhwan, Parti Wasat ialah parti yang menepati
ciri gerakan Islam pasca-Islamis, yang lebih terbuka dan pragmatik berbanding
Ikhwan.
Sejak
awal kejatuhan Mubarak, haluan parti politik berimej Islam seperti yang dilihat
di Turki sering diangkat sebagai haluan yang wajar menjadi pilihan gerakan
Islam yang bakal menguasai politik Mesir.
Parti
politik yang berperanan penting di Tunisia selepas kejatuhan rejim lama,
al-Nahda dilihat sebagai telah mengambil haluan yang selari dengan Parti
Keadilan dan Pembangunan di Turki, yang dinilai sebagai sebuah parti
pasca-Islamis.
Mesir
yang dikuasai Ikhwan kelihatan tidak segera mengikut model Turki yang sering
dilihat sebagai pilihan yang terbaik untuk Mesir bergerak ke hadapan.
Selepas
kebangkitan rakyat yang disebut sesetengah pihak sebagai satu "revolusi pasca-Islamis," Mesir menampakkan satu kecenderungan untuk tidak turut
sama menyertai program politik baru dunia Arab yang lebih terbuka.
Kebangkitan di dunia Arab ditegaskan pendukung pasca-Islamisme sebagai melahirkan suasana baharu yang membuka peluang kepada gagasan ini diterima ramai.
Satu yang
boleh dilihat kini ialah campur tangan pihak tentera untuk menamatkan
pemerintahan Islamis; Presiden Morsi dan pentadbirannya yang didukung Ikhwan,
yang mempunyai persamaan dengan tindakan tentera campur tangan terhadap
pemerintahan Islamis Necmettin Erbakan.
Selepas
satu proses panjang, Turki muncul dengan parti yang bersifat pasca-Islamis, dan
dinilai sebagai model utama pasca-Islamisme dan contoh untuk diikuti oleh dunia
Arab pascarevolusi.
Banyak
kemungkinan boleh berlaku di Mesir, dan masih terlalu awal untuk menilai dengan
tepat dan tegas ke mana Mesir selepas ini. Tetapi apa yang jelas ialah halangan
untuk gerakan Islam di Mesir sememangnya besar, dalam politik baru ekoran
"revolusi pasca-Islamisme" di dunia Arab. - Julai 17, 2013
3 comments:
Memang betul kata sdr bahawa gerakan serpihan dari Ikhwanul Muslimin yang tidak terlalu extreme telah membentuk satu kelompok yang akhirnya bersama liberal telah menguasai keadaan. Dalam susunan kabinet baru Mesir yg dibentuk juga tidak menampakkan kelibat puak-puak Ikhwanul Muslimin dan parti Nour yg pernah bersama Mursi. Saya percaya krisis Mesir walaupun akan mendapat tentangan dari puak Ikhwanul Muslimin namun pada akhirnya puak liberal, haluan kiri, kristian dan sekular terutamanya bekas kroni Hosni Mubarak akan berjaya menguasai politik Mesir. Tetapi keadaan yang tidak stabil akan berlarutan dlm satu jangkamasa yg tertentu. Sebenarnya pergolakan ini adalah satu proses kematangan dalam sistem demokrasi yg mana Mesir baru saja menikmatinya setelah Mubarak ditumbangkan.
Untuk infor dari sudut sejarah perubahan politik di Mesir bolehlah mengikuti tulisan saya, "Krisis politik Mesir : tentera rampas kuasa redakan Arab Spring II".
http://hisemudinkasim.blogspot.com/2013/07/krisis-politik-mesir-tentera-rampas.html
Penulis hanya menulis berdasarkan khayalan.
Penulisan yang dikemukakan tidak sedikit pun menepati realiti semasa yang berlaku dalampolitik Mesir.
tajuk anda "kegagalan islam politik" amat menyakitkan hati. Islam dalam apa jua pun tidak pernah gagal.
Post a Comment