Isu boikot McDonald's yang dilancarkan Muslim di Malaysia untuk menunjukkan simpati dan sokongan kepada Palestin telah mendedahkan bagaimana imej dan simbol Islam dipergunakan oleh pihak berkepentingan di media.
McDonald's Malaysia baru melancarkan kempen mensasarkan Muslim melalui iklan video Story of Nasir, mengisahkan seorang Melayu Muslim yang bekerja di restoran tersebut.
Berdasarkan respons ramai, video itu satu minit setengah itu dilihat bukan sahaja gagal kerana bersifat murahan, tetapi juga dilihat sebagai menghina dan cuba merendahkan pemahaman masyarakat Muslim yang disasarkan.
Video itu sepenuhnya menggunakan kata-kata kunci Islam seperti berkat, halal-haram,dan memaparkan watak utama cerita itu berhenti mesyuarat untuk solat, sehingga menampakkan sifat yang sangat superfisial kempen tersebut.
Video tersebut kelihatan tidak menerima respons yang baik daripada ramai penonton, yang segera dapat menilai propaganda yang disifatkan sebagai murahan daripada McDonald's itu, dengan komen-komen tertinggi di laman You Tube bersifat negatif dan menyeru boikot diteruskan.
Sekitar masa yang sama, satu lagi kempen murahan diperhatikan di dunia politik, apabila Ketua Menteri Pulau Pinang daripada parti DAP, Lim Guan Eng, yang dilaporkan Harakahdaily sebagai berkata beliau memilih untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri pada hari Jumaat, yang disifatkan sebagai "penghulu segala hari."
Lim sejak awal menjawat jawatan ketua menteri menggunakan isu-isu Islam untuk kempen politiknya, paling terkenal ialah dakwaan mahu mengikut contoh Umar Abdul Aziz, tokoh yang menjadi pemimpin tertinggi semasa era dinasti Umayyah.
Lim menerima sokongan dan publisiti secara meluas ekoran kempen menggunakan simbol Islam itu, dan sentiasa mempamerkan simbol-simbol seperti itu dalam ucapannya, terutama yang melibatkan audiens Muslim.
Beliau turut menerima sokongan popular daripada PAS, yang mempunyai kehadiran kecil dalam dewan Pulau Pinang, ekoran imej mesra Islam tersebut.
Lim walau bagaimanapun tetap dengan pendirian yang bertentangan dengan imej Islam tersebut, contohnya dalam hal kalimah Allah, yang beliau bertegas perlu dibenarkan untuk digunakan oleh bukan Muslim.
Kes-kes ini menunjukkan bagaimana Islam dalam bentuk yang popular mudah diambil dan disesuaikan untuk kempen, daripada politik hingga kepada perniagaan, yang dalam hal ini melibatkan juga sisi politik.
Dalam kedua-dua kes Lim dan McDonald's, sisi popular dan mudah diambil untuk disesuaikan dengan kempen masing-masing, dan dengan berhati-hati dikaitkan dengan pencapaian dan amalan masing-masing.
Walau bagaimanapun, kempen seperti ini mudah didedahkan kelemahannya apabila dinilai dengan lebih mendalam, seperti melibatkan isu alam sekitar dan isu-isu lain melibatkan etika yang lebih luas.
No comments:
Post a Comment