Monday, July 16, 2012

PAS, kebangkitan Arab dan pasca-Islamisme

Oleh HARIS ZALKAPLI

Tariq Ramadan, profesor pengajian Islam di Universiti Oxford semalam berucap dalam satu majlis di Institut Antarabangsa Kajian Pemikiran dan Tamadun Islam, ISTAC, dekat Jalan Duta.

Majlis anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) diberi tajuk Post-Islamist Revolutions (tanpa sebarang sub-tajuk) ini pada mulanya tidak diberikan gambaran jelas perbincanganya, kerana tajuknya yang kemudian didapati memberi gambaran yang berbeza dengan apa yang disyarahkan oleh penceramah.

Permulaan majlis menimbulkan satu gambaran yang saya anggap agak mengganggu dan menampakkan sentimen politik IRF sebagai pihak penganjur.

Intipati ucapan pengerusi majlis ialah disebabkan agenda hendak menubuhkan "negara Islam," amalan seperti "moral policing" berleluasa, dan wanita dipaksa mengikut perlakuan yang ditentukan oleh lelaki konservatif. Hudud pula menjadi matlamat utama (be-all, end-all) gerakan Islam, seperti PAS. Kemudian, berlaku "Arab spring" yang menjadikan negara Islam tidak lagi relevan.

Pengerusi IRF, Dr Farouk Musa pula memberi gambaran bahawa kumpulan Islam (Islamis) seperti PAS meraikan kebangkitan Arab, dan melihatnya sebagai satu perkembangan yang akan dapat membuka jalan kepada pelaksanaan "khalifah Islam."

Beliau juga mengemukakan pentadbiran dan politik "model Turki" sebagai sesuatu yang wajar menjadi pilihan, ekoran kebangkitan di dunia Arab yang menjatuhkan diktator-diktator dan membuka lembaran baharu politik. Katanya, kebangkitan ini, "tanpa syak lagi ialah satu revolusi pasca-Islamis," mengambil sepenuhnya takrif pasca-Islamisme seperti dikemukakan Asef Bayat.

Ucapan-ucapan awal itu jelas kelihatan dihalakan untuk membenarkan tajuk revolusi pasca-Islamis dan menegaskan bahawa projek pasca-Islamisme sebagai haluan yang wajar dituruti oleh gerakan Islam politik masa kini, selain PAS yang kelihatan dijadikan satu sasaran kritikan utama.

Walau bagaimanapun, Tariq Ramadan sejurus memulakan syarahan terus memberi satu gambaran yang berbeza berbanding apa yang dikemukakan oleh pihak penganjur. Kedua-dua istilah, pasca-Islamisme dan revolusi dipersoalkan beliau, dan menyatakan pembingkaian peristiwa kebangkitan di Afrika Utara dan Asia Barat sebagai satu revolusi pasca-Islamis oleh Olivier Roy dan Asef Bayat sebagai gambaran yang tidak tepat.

Beliau melihat apa yang berlaku di wilayah itu sebagai satu proses yang masih berjalan dan sesuatu yang kompleks, melibatkan banyak pemain termasuk kuasa besar dan kuasa serantau seperti Arab Saudi dan Qatar.

Menurut Tariq, Roy kelihatan mahu menyelaraskan perkembangan terkini dengan hasil kerjanya yang mengangkat tajuk kegagalan Islam politik dalam wacana berhubung gerakan Islam politik. Beliau turut masih melihat Islamis sebagai akan terus bergiat dan berperanan besar, menolak pandangan bahawa kumpulan-kumpulan Islam kini berubah menjadi pasca-Islamis.

Dalam satu tulisan (yang dimuatkan dalam buku Revolusi Global: Dunia Dalam Era Kebangkitan Rakyat), saya melihat pusingan baharu penegasan ide pasca-Islamisme oleh pendukungnya; Olivier Roy, Gilles Kepel dan Asef Bayat kelihatan berdasarkan bacaan sejarah yang agak selektif dan mengabaikan peranan gerakan-gerakan Islam itu dalam proses panjang menggerakkan penentangan terhadap rejim.

Tariq ada menyebut nama seorang intelektual Perancis, Francois Burgat yang merupakan pengkritik utama ide kegagalan Islam politik dan pasca-Islamisme Roy dan Kepel. Dua buku Burgat yang penting dalam menyampaikan kritikan beliau terhadap penggunaan istilah Islamis yang memberi implikasi menyeleweng ekoran wacana terpilih akademik Barat, dan juga kritikan terhadap wacana pasca-Islamisme ialah Face to Face With Political Islam dan Islamism in the Shadow of al-Qaeda.

Secara keseluruhan, tulisan Burgat memperlihatkan perbezaan besar dengan ramai pengulas dan akademik pengkaji gerakan Islam dari Barat, tetapi jauh kurang mendapat perhatian media.

Dalam syarahannya, Tariq mengemukakan beberapa pandangan yang berbeza daripada konsensus berhubung kebangkitan di dunia Arab yang dikongsi ramai pemerhati.

Beliau menolak tanggapan ramai bahawa kebangkitan Arab tidak dijangka sama sekali dan berlaku secara tiba-tiba, dan menyatakan kuasa Barat seperti Amerika Syarikat berperanan dalam membantu penentang rejim.

Pandangannya ini, yang dikemukakan dengan panjang dalam buku The Arab Awakening: Islam and the New Middle East.

Beliau mengaitkan perkembangan semasa ini dengan agenda George W Bush yang dinyatakan selepas berjaya menakluk Iraq (Doktrin Bush), agenda yang kini terlaksana ekoran kebangkitan yang disaksikan.

Tariq turut mengkritik Ikhwan al-Muslimin yang disifatkan telah banyak melakukan kesilapan dan dilihat tidak memperlihatkan kesatuan dalam menangani kebangkitan di Mesir dan dalam memutuskan peranan dalam politik baharu negara itu.

Keseluruhannya, Tariq dalam syarahannya menegaskan pembacaan sejarah semasa melibatkan kebangkitan di Afrika Utara dan Asia Barat secara lebih kritikal dan tidak naif, penegasan pada penggunaan istilah secara tepat, sambil mengemukakan beberapa pandangan yang bertentangan dengan konsensus, pandangan yang boleh mendorong pembacaan yang lebih kritikal dan cermat dalam menanggapi isu politik global semasa.

Walaupun keseluruhannya memberi fokus pada wilayah dunia Arab, Tariq memberi satu peringatan kepada Malaysia yang tidak terkecuali daripada permainan politik global; beliau menyarankan agar berwaspada terhadap percaturan politik golongan yang kini dikenali sebagai Salafi, yang disokong kuasa-kuasa tertentu yang mempunyai kepentingan berbeza dengan kepentingan umat dan rakyat terbanyak.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...