Thursday, September 8, 2011

'Tidak merdeka kalau komunis menang'

Oleh ABI QALAM

Disebabkan kepentingan politik, komunis pun PAS sanggup dakwa sebagai pejuang kemerdekaan. Ini satu kenyataan bodoh.

Fikirlah habis-habis sebelum bercakap. Memang orang Melayu dahulu dahagakan kemerdekaan yang terlibat dengan API, PKMM dan gerakan kiri menyumbang ke arah kemerdekaan.

Cuma kaedah yang mengambil semangat Melayu Raya dari Indonesia tidak diterima secara menyeluruh oleh rang Melayu dan raja-raja Melayu.. Maknanya ideologi keras mereka tidak sesuai diguna pakai oleh majoriti.

Berlainan dengan perjuangan Datuk Onn Jaafar dan Umno yang lebih cerdik dan diterima oleh umum baik dari pihak rakyat, raja-raja dan Inggeris sendiri. Mohamad Sabu dan PAS ingat walaupun mereka bekerja dengan Inggeris mereka tak ada akal fikiran? Ingat mereka jadi tunggul? Habis satu Malaya jadi tunggullah kalau begitu, dan anda sahaja jadi her?

Jika ditakdirkan golongan kiri yang mendapat kekuatan dan kita berjaya menuntut kemerdekaan daripada Inggeris dengan jalan darah, rasanya kita ini akan jadi sebahagian daripada Indonesia Raya.

Kemudian, apabila Umno mendapat mandat daripada rakyat dan raja, puak-puak Melayu berhaluan kiri terpaksa pula bergabung dengan komunis, kerana hanya komunis sahaja yang boleh menerima dan bertolak ansur dengan ideologi mereka yang lebih nasionalis, liberal dan antifeudal seperti Indonesia.

Maksudnya, niat puak-puak berhaluan kiri ialah mendirikan negara yang tidak mementingkan kedudukan Islam, raja-raja dan keistimewaan orang melayu.

Ini adalah secocok dengan niat Partai Komunis Malaya yang ingin mendirikan negara dengan mengambil contoh dari negara Marxis China. Padahal PKM hanya mengambil kesempatan atas perjuangan tokoh-tokoh kiri seperti Mat Indera, Abdullah CD dan lain-lain demi propaganda politik mereka.

Tokoh-tokoh kiri Melayu hanya tertipu dengan permainan politik PKM seperti PAS tertipu dengan DAP sekarang.

Sila telusuri peristiwa Bukit Kepong dengan saksama. Mat Indera dan rakan-rakan Melayu yang bersama dengan 180 anggota Cina komunis menyerang balai pasong yang dipertahankan oleh 18 anggota polis Melayu.

Mula-mulanya Mat Indera hanya mengarahkan menangkap polis-polis yang mabuk sempena Tahun Baru Cina dan bertujuan untuk memalukan Inggeris sahaja. Tetapi kerana keghairahan celaka komunis Cina, 23 orang terkorban..

Bukan setakat anggota polis, isteri dan anak mereka pun dibunuh! Tak cukup dibunuh, Cina komunis bakar mayat-mayat anggota polis, isteri dan anak-anak mereka. Mana keberanian Mat Indera pada masa itu?

Orang Melayu mana tahan melihat orang Melayu lain diperlakukan demikian? Orang Islam mana yang dapat sabar lihat mayat-mayat saudara mereka dijulang jadi piala, disepak, dikencing, diludah dan dibakar sampai rentung?

Mungkin pada hari itu baru Mat Indera sedar yang dia hanya dipermainkan komunis! Tapi nasi sudah jadi bubur..

Bukan kita tak faham yang pembangkang sengaja hendak menaikkan pejuang-pejuang kemerdekaan berhaluan kiri dengan tujuan untuk discredit peranan Umno dalam kemerdekaan negara kita semata-mata untuk mileage politik.

Tapi sedarlah hakikat, jika pejuang-pejuang kiri yang memerdekakan negara kita, hanya dua kemungkinan sahaja yang akan berlaku; 1. Kita adalah sebahagian dari Indonesia Raya, dan 2. Kita akan menjadi negara komunis berpaksikan China.

Dan kedua-duanya menafikan kemerdekaan mutlak seperti yang telah kita nikmati 54 tahun ini!

Abi Qalam ialah pembaca SiasahDaily. Tulisan disiarkan tidak semestinya mewakili pandangan SiasahDaily.

4 comments:

Anonymous said...

sejarah merupakan olahan manusia perihal apa yang berlaku mengikut sisi pandang & fikirnya, serta menuntut kecenderungan ego yang tinggi sekaligus tafsiran berat sebelah.

memperbetulkannya adalah amanah malah turut menjadi sebahagian tugas para anbia sepanjang zaman. Hatta dipandu kitab wahyu sejarah manusia zaman berzaman.

aku kira kita rakyat Malaysia masa kini berhadapan dengan satu kekalutan besar berkaitan "sejarah" dan "kemerdekaan" kita sebagai sebuah negara dan bangsa.

sehingga terdapat di kalangan kita yang menganggap "merdeka" itu hanyalah permainan wayang & hiburan ala "fun fair" guna melalaikan.

lagu keramat negara terbukti hanyalah tempelan irama cinta nelayan laut Caribbean di malam terang bulan.

panji megah kita juga sebenarnya sogokan lanjutan citra sebuah mini Amerika Syarikat.

dan akhirnya anutan kita juga berantakan tercari-cari takrif & tafsir sehinggakan kita berkelahi sesama sendiri tentang apa yang sebenarnya Tuhan mahu kita lakukan.

selagi kita menafikan kita sebenarnya hilang arah & gagal memanafaatkan natijah perpaduan sesama kita - umat ini (baca orang Melayu Islam) akan segera menjadi sekadar nota kaki sejarah peradaban manusia bumi ini.

Na'uzubillahu min zalik.

Anonymous said...

Part II

Sebagai pemimpin nombor 2 PAS, soalan yang legitimasi untuk ditanya kepada Mat Sabu ialah kenapakah beliau tidak memilih contoh yang lebih "Islamik" bersesuaian dengan kedudukan politiknya? Sepanjang zaman, wujud secara sahih begitu ramai tokoh-tokoh agamawan sama ada tok-tok guru pondok, ustaz-ustaz, lebai-lebai yang mendepani perjuangan sejarah tanah air secara langsung sejak zaman kejatuhan Kerajaan Melaka lagi tetapi kewujudan mereka digelapkan secara sistematik sehingga tiada berbekas sekelumit pun.

Yang dipanjangkan melalui lisan akhirnya menjadi cerita-cerita donggeng masyarakat tempatan sarat dengan tahyul, silat terbang, pedang ajaib dan lain-lain.

Malaysia hari ini mempunyai 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan lebih 400 berstatus swasta (IPTS) malah amat galak mahu menjadi hub pendidikan serantau dengan memanggil ribuan pelajar asing dari seluruk pelusuk dunia.

Pada waktu yang sama, kesarjanaan orang Melayu Islam terutama berkenaan sejarah mereka sendiri masih caca-marba penuh kecelaruan sehingga mereka menghina sesama sendiri.

Khalid Salleh, seniman rakyat yang sohor pernah membuat drama berjudul Tonel Badut sekitar tahun 80-an berkaitan isu-isu seperti Mat Indera ini tetapi langsung tidak dipedulikan. Drama itu ditonton barangkali kerana heroinnya Fauziah Ahmad Daud, waktu itu masih anak dara yang boleh dianggap cun. Seniman lain yang membintanginya ialah Razali Buyong dan arwah A. Rahim sebagai Tonel Badut.

Abi Qalam mungkin punya asas mahu melihat isu ini dari sudut global kerana "kita" sebenarnya pemain kecil lagi kerdil. Kita tertakluk kepada percaturan pemain-pemain global sehingga hari ini.

UMNO, kot mana pun pasti mempertahankan versi sejarah yang meletakkan mereka sebagai penyumbang utama kemerdekaan manakala Mat Sabu kekal mahu terus membedah atau kata lebih moden, menDNAkan semula sejarah.

Aku pulak mahu bende lain. Aku menganjurkan kita membaca buat sekian kalinya sajak nukilan seorang seniman yang masih hidup namun sudah lama kita pinggirkan:-

Songsang

Maafkan aku
kalau aku sering saja
berlaku songsang

Terutama
di perayaan tahun
seperti hari ini

Apabila semua orang
telah sedia duduk
aku bangun berdiri

Apabila orang
bangun bertepuk
aku duduk

Apabila orang
ghairah berbincang
aku tidur

Apabila orang
melepaskan merpati
aku tabur padi

Orang lain
telah merdeka
aku belum

Maafkan aku
kalau aku sering saja
berlaku songsang

Aku hanya
ingin
mengingatkan

-------------------
Latiff Mohidin
Kota Bharu, Nov 1976.

Ya, sebelum kita berbalah macam orang gila tentang siapakah sebenarnya pejuang kemerdekaan .., kan lebih waras dan adil untuk kita bertanya sama ada KITA SUDAH MERDEKA atau BELUM???

Jiwa Paradox said...

baca betul-betul...
jangan hanya nak cari kesalahan...

Abd Rahman said...

biar apa pun kita perlu berhati2 apabila bercakap dan banyak lagi pejuang Islam yg boleh kita jadikan contoh dlm merebut kemerdekaan Ramai yg berperanan sewaktu itu, ada buruh garuda dan ada buruh pipit dan ada juga burung pemangsa. Mat Sabu silap berbicara pada waktu buku2 sejarah masih berkisar pada satu kelompok, lebih malang siKomunis dijadikan watak utama. Pemimpin perlu berhati2 apabila bercakap kerana cakapnya melambangkan pertubuhan yg diwakili atau negaranya.Jika silap minta maaf saja dan yg lain sama2 kita betulkan sejarah negara tercinta ini bermula dari mendapat kembali Melaka dari Portugis dan peranan Ulamak dan Pejuang sebenar sewaktu itu. Insyallah barulah nanti lahir rasa pariotisama yg dicari2 dari golongan muda.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...