Friday, September 9, 2011

PAS perlu angkat peranan gerakan Islam perjuang merdeka

PAS kini terlibat dengan mendalam sekali dalam perdebatan melibatkan sejarah kemerdekaan negara, ekoran kenyataan Mohamad Sabu mengaitkan sekumpulan anggota militan komunis sebagai “hero” perjuangan kemerdekaan.

Persepsi yang dibawa dan dieksploit oleh parti pemerintah Umno dan penyokongnya ialah sokongan PAS untuk komunis di negara kita, yang didokong oleh China pada masa itu.

Mohamad, timbalan presiden PAS ditimpa masalah besar ekoran kenyataannya, termasuk mencederakan perasaan sejumlah orang Melayu sehingga mencetuskan reaksi negatif terhadap PAS.

Laporan-laporan polis dibuat ekoran kenyataan Mohamad itu, yang kemudian ditegaskan lagi melalui pelbagai kenyataan defensif beliau dan pemimpin PAS lain.

Tidak dapat dinafikan, Mohamad dan PAS mempunyai satu poin penting dalam wacana penilaian semula sejarah ini, kerana menafikan peranan Umno dan sekutu semata-mata dalam perjuangan kemerdekaan, walaupun sikap Mohamad dalam hal ini boleh dipersoalkan.

PAS sejak lama dulu telah konsisten membawa isu-isu terpinggir dalam sejarah negara yang dibawa oleh pemerintah Umno dan Barisan Nasional.

Sebagai penerus perjuangan gerakan Islam terdahulu termasuk Hizbul Muslimin, PAS sering menimbulkan persoalan peranan gerakan Islam terbabit, yang diberi pelbagai tanggapan negatif oleh pemerintah dan Inggeris, seperti menyifatkannya sebagai “bahaya dari gunung.”

PAS juga sering menimbulkan isu pengharaman penjajah Inggeris terhadap parti-parti selain parti-parti yang akhirnya mewakili rundingan kemerdekaan dan memperolehi kemerdekaan lalu membentuk kerajaan.

Ramai tokoh kemerdekaan yang terlibat dalam penentangan terhadap Inggeris tidak diangkat sebagai pejuang kemerdekaan dalam naratif dikuasai pemerintah.

Satu usaha konkrit daripada PAS dalam mewacanakan isu peranan tokoh gerakan Islam dalam perjuangan kemerdekaan ialah buku Ulama’ Dalam Sorotan Perjuangan Kemerdekaan, tulisan aktivis pemuda dan pengkaji Riduan Mohamad Nor dan Mohd Fadli Ghani, terbitan MHI Publication, 2007.

Sebetulnya, isu yang dikemukakan dalam buku ini lebih layak mengambil masa dan tenaga PAS dalam mewacanakan perjuangan kemerdekaan, berbanding komunis dan simpatisan mereka yang mewakili kepentingan kuasa luar.

Kesukaran terbesar dihadapi PAS dalam wacana kemerdekaan tanah air kini melibatkan kumpulan daripada ideologi lain yang berbeza malah bertentangan dengan ideologi PAS sendiri.

Semangat perjuangan kemerdekaan digerakkan oleh banyak kumpulan termasuk ulama dan gerakan Islam, yang kesedaran itu bersumberkan ajaran agama Islam.

Berbanding perjuangan kemerdekaan kumpulan lain seperti komunis, perjuangan kemerdekaan kumpulan Islam tidak dikuasai oleh sebarang agenda asing.

Perjuangan kemerdekaan sememangnya satu perjuangan yang kompleks, melibatkan aliansi sementara dengan kumpulan tertentu dan pelbagai strategi.

Tokoh yang pernah memimpin PAS sendiri, Dr Burhanuddin Helmi juga pernah terlibat dalam pentadbiran tentera Jepun, seperti yang turut dijelaskan oleh buku di atas.

Penglibatan ini tidak boleh terus disimpulkan sebagai pengkhianatan kerana Burhanuddin tetap berperanan penting dalam menggerakkan kesedaran dan menahan tindakan-tindakan Jepun seperti cuba menghapuskan amalan solat fardhu (dalam bab Dr Burhanuddin dan Ulama Zaman Jepun, halaman 137.)

PAS wajar mengambil kesempatan perhatian meluas terhadap sejarah pada masa ini untuk mengangkat perjuangan Islam yang diwarisi oleh parti Islam itu, isu yang masih jauh dari pemerhatian ramai.

Peranan Islam dalam perjuangan kemerdekaan perlu menjadi fokus utama PAS dalam usaha menulis semula sejarah kemerdekaan tanah air.

2 comments:

AL-ISAFI said...

Saya setuju dan biar ulama yang sebenarnya yang dijulang...bukan mereka yang bersemangat Syiah...Taqiah ketika mneytakan dilanggar Pajero polis....Mutaah ketika ditangkap khalwat di hotel KB...menjulang Komunis sebagai contoh pejuang tulen...Biar ulama yang memimpin Parti Islam bukannya Syiah dan ulama menjadi pendalil kepada tindakan sesat Timb Pres PAS tu

Anonymous said...

ahh .., al-isafi bukan sekadar keterlaluan malah sudah jadi fitnah.

Apa pun "semangat Syiah" Mat Sabu hanyalah yang juga menjadi "semangat" Sunnah.

Fakta menunjukkan bahawa di dalam laporan polis yang dibuat oleh Mat Sabu sejurus selepas ditangkap dan di bawa ke balai polis Jinjang - dia langsung tidak menyebut/menulis "Pajero". Yang ditulis ialah kenderaan polis jenis Proton Waja.

Nampaknya sudara termakan dakyah tayangan polis yang langsung tidak menunjukkan betapa kereta polis Waja itu begitu dekat mengekori Pajero polis ketika adegan kejar-mengejar lantas "merempuh" motorsikal Mat Sabu yang berada di belakang Pajero berkenaan.

Jelas saudara tidak mendengar atau membaca teks penuh ucapan Mat Sabu yang berkaitan. Menuduhnya menjulang komunis sebagai contoh pejuang tulen adalah tuduhan liar orang yang tidak bertanggungjawab.

Bila pulak Mat Sabu berdalil "mutaah" ketika isu khalwat ke atas dirinya berlaku? Ini sengaja diada-adakan.

Benar, biar ulama yang memimpin parti Islam tetapi "ulama" berdasarkan tafsiran siapa?

Jika ikut tafsiran Ketua Penerangan PAS ketika forum Sinar baru-baru ini - "ulama" hanyalah "agamawan" yang berada di dalam PAS yakni Dewan Ulama, Majlis Syura dll namun tertakluk kepada keputusan Dewan Harian. Adapun ahli-ahli Persatuan Ulama Malaysia pun tidak diakui semuanya sebagai "ulama".

Jika ikut tafsiran "ulama" yang dibuat oleh mantan Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris di dalam blognya - maka Mat Sabu sangat-sangat menepati tafsiran sebagai seorang yang layak bergelar "ulama".

alahai al-isafi, enta ikut tafsiran mana satu?

.., dan terlalu bingkas enta tuduh Mat Sabu sesat tapi sebiji sawi pun bukti kesesatan itu tak ada ..?? sekaligus memperbodoh lagi mempersetankan seluruh ahli PAS yang berwaad dengan beliau sekalu ketua nombor 2.

Kalu setakat lagu ni - eh al-isafi al-buaya, lebih elok enta kutip tahi unta bikin bajalah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...