Wednesday, November 28, 2007

Air Kelantan: Khairy diminta tanya bapak mertuanya


KOTA BHARU, 28 Nov: Menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaludin perlu bertanya kepada bapa mertuanya sendiri bagaimana proses tender projek Air Kelantan kerana Menteri Kewanganlah pihak yang mengeluar sebarang tender mengenainya.

Exco kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa berkata, sudah menjadi peraturan semua tender yang dikeluarkan oleh Air Kelantan perlu diluluskan oleh Kementerian Kewangan sebelum diberikan kepada mana-mana kontraktor.

"Pihak Air Kelantan hanya boleh membuat senarai pendek sahaja," kata beliau semasa sesi penggulungan perbahasan Bajet Kelantan 2008 dalam sidang DUN Kelantan selasa lepas.

Siasah difahamkan, peraturan tender itu berkuatkuasa apabila Air Kelantan mendapat pinjaman dari kerajaan Pusat untuk membangunkan air di Kelantan.

Menurut Husam, kerana kuasa itulah kadang-kadang Menteri Kewangan menyalahgunakannya dengan cara tidak memilih kontraktor di kalangan yang disenarai pendekkan oleh oleh Air Kelantan tetapi memilih kontraktor yang tidak direkomenkan oleh Air Kelantan.

"Inilah yang berlaku kepada projek Loji Kampung Puteh yang terbengkalai lebih tiga tahun akibat dari tersalah pilih kontraktor yang bukan dalam senarai pendek Air Kelantan," kata Husam.

Menurut Husam, Khairy semasa datang ke Kelantan tiga bulan lepas telah membawa satu sampul surat kononnya mengandungi dokumen yang mengaitkan beliau (Husam) dengan rasuah dalam Air Kelantan.

"Hasilnya BPR telah keluar masuk dalam Air Kelantan untuk mencari rasuah itu. Siasat dan siasat termasuk ke atas satu syarikat bernama Roadbilder yang menerima kontrak dari Air Kelantan.

"Pengerusi Roadbilder adalah Tengku Ahmad Rithaudeen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno. Jadi Khairy minta siasat Pengerusi JK Disiplin Umno," kata Husam.

Kata Husam, ekoran dakwaan Khairy itu, pegawai BPR keluar masuk Air Kelantan dan memanggil para jurutera di syarikat milik kerajaan negeri itu.

"Tetapi sampai sekarang tidak ada yang boleh dikaitkan dengan dakwaan rasuah Khairy itu," kata Husam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...