Monday, January 16, 2012

Pakatan Rakyat, undi Melayu dan Putrajaya

Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua pembangkang dan calon perdana menteri Pakatan Rakyat muncul di konvensyen gabungan parti pembangkang itu dengan imej yang lebih bersih, selepas dibebaskan daripada tuduhan liwat.

Dengan tema "Bersihkan Malaysia," pemimpin-pemimpin parti gabungan juga mengenakan baju putih - yang melambangkan kebersihan dan kesucian - satu penegasan misi menjatuhkan Barisan Nasional di peringkat pusat dengan segera untuk digantikan dengan parti-parti yang mendakwa lebih bersih.

Walau bagaimanapun, secara keceluruhan, konvensyen ketiga PR di Alor Setar hujung minggu lalu masih membawa isu-isu yang sama, tanpa penegasan terbaharu dan gambaran masalah bersama sedang diselesaikan.

Beberapa laporan dan komentar media liberal turut memberi perhatian terhadap isu ini, antaranya menyifatkan konvensyen kali ini sebagai hanya bunyi tanpa isi.

Apa yang diperkatakan dalam konvensyen kali ini amat menarik sekiranya muncul daripada konvensyen pertama atau kedua, tetapi selepas beberapa tahun PR wujud sebagai satu aliansi, mesej yang disampaikan semakin memenatkan.

Buku jingga yang dikemukakan pada konvensyen yang lalu semakin tercabar oleh tindakan-tindakan pemerintah, termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA.

Istilah menarik perhatian seperti "Putrajaya" semakin hilang nilainya, selepas kegagalan projek 16 September dan realiti yang semakin menampakkan betapa sukarnya untuk mencapai matlamat itu, apatah lagi bersatu selepas itu untuk menubuhkan kerajaan pusat dan meneruskan perjalanan dari situ.

Ekoran pelbagai isu seperti video seks, perbicaraan Anwar dan pertelingkahan dalaman antara parti terutama di Selangor, kebolehlaksanaan PR sebagai calon pemerintah pusat semakin teruji, walaupun PR kini satu-satunya pencabar BN yang kredibel dan wujud sebagai satu pakatan.

Mesej yang dibawa sejak 2008 ialah PR lebih baik berbanding BN, yang dikemukakan dalam pelbagai variasi termasuk yang terbaharu, "Bersihkan Malaysia."

Isu Melayu yang menjadi kebimbangan berasas sesetengah pihak masih tidak ditangani dengan baik. Simbol lokasi konvensyen di Alor Setar, negeri Melayu ditandir PAS juga kelihatan tidak dapat pergi lebih jauh daripada itu.

Di Selangor, penentang PR memperolehi senjata baharu dengan pemecatan Datuk Dr Hasan Ali daripada PAS, yang kemudian digugurkan daripada jawatan exco dan diganti segera sebelum tamat tempoh rayuan.

Dari sudut persepsi, Hasan kini dimunculkan sebagai mangsa ekoran perjuangannya menangani isu arak, maksiat dan penyebaran Kristian terhadap orang Muslim di Selangor.

Walaupun kalangan penyokong PAS mungkin sebahagian besarnya tidak melihat isu Hasan semudah itu, kesannya terhadap pengundi Melayu atas pagar tidak boleh diremehkan.

Akhbar Umno Utusan Malaysia juga meneruskan kempen negatif terhadap Anwar, terbaharu dengan menimbulkan isu sokongan beliau terhadap hak homoseksual.

Anwar dalam satu wawancara dengan agensi berita Associated Press mengatakan undang-undang berkenaan seks gay di negara ini sebagai telah ketinggalan zaman, pandangan yang sebelumnya dikemukakan oleh Human Rights Watch.

Selepas dibebaskan oleh mahkamah, Anwar mengulangi pendiriannya dalam satu wawancara dengan badan penyiaran Inggeris, BBC, yang menarik perhatian banyak pihak di negara ini.

Isu undi Melayu tidak dapat dielakkan oleh PR yang semakin mudah dikaitkan dengan dominasi parti dan agenda yang tidak mesra Melayu.

Setakat ini, belum muncul tanda-tanda jelas untuk menentang dan menjawab persepsi itu, yang kelihatan semakin berjaya dieksploit oleh musuh-musuh PR.

5 comments:

kulatlapok said...

salam, wa rasa MATLAMAT PAS, PKR DAP memng mempunyai tujuan hanya satu je iaitu untuk menumbangkan kerajaan BN. AKAN TETAPI HAKIKATNYA PERJUANGAN MEREKA TIDAK SEHALUAN.... wa percaya dalam mengharungi pemerintahan mereka jika berjaya merampas puterajaya, pasti ada masalah kepartian bakal membelenggu ketiga2 parti ini khususnya PAS.

Anonymous said...

Satu pandangan yang baik. tetapi realitinya pengundi semakin bijak.
PR atau BN ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Akhir-akhir ini kelebihan jauh berpihak kepada BN dan sebaliknya PR kelihatan semakin bermasalah.

PR bukan semakin jauh ke Putrajaya tetapi apa yang ada pada masa ini mungkin hilang.

Kata pepatah yang di kejar tak dapat yang di kendung pula keciciran.

Anonymous said...

Gue rasa kita telah terlalu lama memberi peluang kpd kerajaan bn memerintah negara, lebih dari 50 tahun, kita ubah sekali lepas tu jika keadaan masalah spt rasuah, penyelewengan serta ekonomi serta pemasalahan sosial , jenayah dapat dikurangkan kita teruskan mmilih kerajaan yg dipilih , manakala jika keadaan makin teruk, kita tukar lagilah kerajaan itu kepada kerajaan yg lebih baik, beri dulu peluang dan nilai selepas itu, pengundi & rakyat mampu & tunjukan kuasa undi pada waktu p/raya nanti dgn penilaian yg sewajarnya agar generasi akan datang dapat menikmati malaysia yg lebih baik

Anonymous said...

Wa pun setuju lah dengan pendapat kulatlapok, memang akan ade masalah ketiga2 parti dlm PKR semasa mereka ambil Putrajaya nanti, tapi wa tetap akan mengundi PR dan takkan mengundi UMNO/BN kerana wa sudah tak boleh percaya kat parti pembohong/perompak wang rakyat ni. Seperti UMNO/BN, Pakatan Rakyat juga manusia yg tidak sempurna tapi sekurang-kurangnya gua bagi mereka peluang untuk memerintah...nampaknya mereka jujor dan ikhlas dalam memerintah & hasilnya dah mula berputek. Wa rasa jika berlaku perbalahan, ia akan dibuat secara terbuka & diselesaikan dgn mengambil kira kepentingan rakyat. Oleh itu jangan lah terus ditipu oleh BN/umno...KALO SEKALI ditipu pahamlah tapi kalo lebih 54 tahun dibiarkan tertipu, maka bodoh lah namanya..

ALahaI sI LunCAi said...

AKU JANGKA PRU 13 AKAN MENINGKATKAN PENGARUH DAP. DALAM MASA YANG SAMA PAS DAN PKR AKAN BERKUBUR...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...