Berita terkini berhubung dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) memanaskan lagi suasana politik negara yang sedang menanti Pilihan Raya Umum ke-13.
Isu ini jelas sekali dipolitikkan untuk memperlihatkan ketegasan Umno yang menguasai pemerintahan negara menamatkan dasar yang tidak popular itu.
Baru-baru ini, ekoran pengumuman menteri pelajaran, dua akhbar harian dikuasai parti pemerintah, satu dalam bahasa Melayu dan satu lagi dalam bahasa Inggeris bercakap dalam bahasa masing-masing kepada audiens masing-masing.
Akhbar berbahasa Melayu tersebut, Utusan Malaysia, mengumumkan berakhirnya dasar PPSMI, manakala akhbar berbahasa Inggeris yang kuat memperjuangkan PPSMI, The Star membawa sisi kejayaan perjuangan pro-PPSMI.
Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan pada 4 November lalu menegaskan kerajaan tidak akan melaksanakan semula PPSMI, dan pemansuhan dasar itu kekal.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu sepenuhnya hanya akan terlaksana pada 2012 untuk sekolah rendah dan 2021 untuk sekolah menengah.
Hal ini sebenarnya menjadikan isu utamanya bukan pemansuhan PPSMI, tetapi penangguhan pemansuhan PPSMI. Penegasan PPSMI tidak akan dilaksanakan semula hanyalah hal sampingan untuk dijadikan berita utama oleh media pemerintah berbahasa Melayu.
Isu ini kini menjadi satu lagi beban kepada Umno, yang kredibilitinya berhubung memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu semakin terjejas.
Pada 7 Mac, 2009, satu demonstrasi besar-besaran menentang PPSMI diadakan di ibu negara, dihadiri dan disokong ribuan peserta, termasuk tokoh seni dan akademik.
PPSMI diumumkan akan dimansuhkan ekoran tentangan popular terhadap dasar yang dimulakan oleh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad itu, membuktikan perkiraan politik pilihan raya tindakan pemerintah itu.
Hal ini lebih jelas ekoran tindakan PAS merapatkan diri dengan perjuangan bahasa Melayu, sehingga memberikan anugerah kepada A Samad Said yang aktif dalam menentang PPSMI.
Mahathir kini masih menjadi satu suara pro-PPSMI yang lantang, dan dipercayai memberi kesan terhadap sikap kerajaan, terutama Muhyiddin yang mendapat sokongan bekas perdana menteri itu.
Hakikatnya, sejumlah besar pemimpin Umno dan ahli keluarga mereka merupakan sebahagian elit di negara ini yang lebih selesa dengan bahasa Inggeris dan memberi penilaian yang rendah terhadap bahasa Melayu, yang terbukti antaranya melalui sokongan kuat mereka terhadap PPSMI sejak dimulakan.
3 comments:
pemimpin umno dan keluarga mereka semua bercakap bahasa orang putih di rumah sesama mereka. anak2 pula dihantar ke sekolah swasta, belajar dalam bahasa orang putih. dulu umno hapuskan jawi, sekarang umno juga cuba hapuskan bahasa melayu.
UMNO sebenarnya menghadapi krisis indentiti. Seseuai dengan namanya UMNO mereka lebih selesa dengan bahasa Inggeris. Perjuangan Melayu mereka hanya alat untuk kekal berkuasa. UMNO sebenar-benarnya perosak dan pengkhianat kepada bangsa Melayu dan Islam.
Sepatutnya isu PPSMI tidak wujud sekiranya Pihak Berkuasa tidak mengubah struktur persekolahan sepertimana Tahun 70an; Yangmana terdapat 3 aliran iaitu, Sekolah Inggeris, Melayu dan Arab. Rakyat diberi kebebasan untuk memilih sekolah yang disukainya. Saya merasa hairan mengapa sistem sebaik ini diubah sehingga menjadi Bahan Perbincangan begitu lama.
Selaku Ayah Saya suka anak-anak Saya menguasai lebih daripada satu bahasa, justeru pembelajaran semua mata pelajaran termasuk History, Geography dan lain-lain haruslah dalam bahasa/ aliran yang dipilih.
Post a Comment