Wednesday, July 7, 2010

Suara Keadilan tetap dicetak malam ini, KDN geledah kilang

KUALA LUMPUR, 7 Julai: Kepimpinan PKR mengesahkan pihaknya akan menerbitkan akhbar Suara Keadilan yang berhadapan dengan isu permit penerbitan seperti biasa malam ini dan akan berada di pasaran esok.

Pencetaknya pula memutuskan untuk tidak mencetak lagi akhbar tersebut sehingga isu semasa dengan Kementerian Dalam Negeri diselesaikan.

Pengarah Strategi PKR Chua Tian Chang memberitahu The Malaysian Insider petang ini, status quo akhbar itu kekal dan parti itu tidak akan menghentikan penerbitan hanya kerana permit sudah tamat dan belum diperbaharui.

“Kami tiada sebab untuk berhenti (mencetak). Mereka tidak memberikan keputusan yang betul mengenai isu permit. Kami akan mencetak seperti biasa malam ini,” kata beliau.

Chua berkata, seperti biasa sebanyak 100,000 naskhah akan dicetak malam ini.

Ia akan diedarkan mulai esok, katanya.

Bagaimanapun Chua mengesahkan pencetak asal telah memutuskan untuk tidak mencetak akhbar itu sehingga pertikaian dengan Kementerian Dalam Negeri selesai.

“Jika itu keadaan, kami akan mencari pencetak lain untuk mencetak akhbar kami. Apapun kami akan mencetak malam ini,” katanya.

Chua enggan menamakan pencetak dan lokasi cetakan kepada media.

Beliau masih bertegas Kementerian Dalam Negeri belum melarang penerbitan itu, cuma menangguhkan keputusan memperbaharui permit Suara Keadilan.

“Mereka baru sahaja memaklumkan kami bahawa mereka tidak melarang kami tetapi hanya belum memutuskan sama ada memperbaharui ataupun sebaliknya.

“Oleh itu, tidak haram bagi kami untuk mencetak akhbar kami malam ini,” katanya.

Menjawab soalan kemungkinan kementerian memutuskan untuk mengharamkan Suara Keadilan, PKR boleh membawa Kementerian Dalam Negeri ke mahkamah atau merayu keputusan mereka.

“Kami akan menyeberang jambatan apabila tiba masanya nanti,” kata beliau.

Hari ini, Dewan Rakyat juga menolak usul tergempar yang dibawa untuk membincangkan isu Suara Keadilan atas alasan Kementerian Dalam Negeri masih meneliti perkara tersebut.

Terdahulu, Editor Suara Keadilan Dzulkarnain Taib memberitahu, bahawa PKR belum memutuskan tarikh penerbitan edisi susulan Suara Keadilan walaupun kelmarin pihaknya mengumumkan akan mengeluarkan akhbar berkenaan seperti biasa meskipun permitnya belum diperbaharui Kementerian Dalam Negeri.

“Kepimpinan (PKR) masih membincangkan soal penerbitan edisi akan datang dan belum menyelesaikan soal pencetak,” kata Dzulkarnain.

Kata beliau, PKR sedang menangani isu ini dengan berhati-hati.

Seorang pegawai Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd ketika dihubungi berkata pihaknya akan berhenti dari mengeluarkan Suara Keadilan sehingga menerima notis susulan Kementerian Dalam Negeri.

“Kami sudah pun menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri dan kami tidak akan mencetak Suara Keadilan,” katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan Suara Keadilan kemungkinan boleh ditutup jika ia terus diterbitkan meskipun permitnya belum diperbaharui.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri Datuk Zaitun Ab Samad berkata, PKR perlu menanggung implikasi undang-undang jika terus menerbitkan Suara Keadilan yang permit penerbitannya sudah tamat.

Akhbar itu telah menerbitkan sebuah artikel muka depan bertajuk “Felda Bankrap”.

Sementara itu sekumpulan pegawai KDN Selangor bergegas ke sebuah kilang pencetak di Shah Alam untuk mencari edisi terbaru Suara Keadilan selepas KDN tidak memperbaharui permit penerbitannya yang tamat hujung bulan lalu.


Syarikat percetakan tersebut, Angkatan Edaran Sdn Bhd dikunjungi empat pegawai pagi ini yang memeriksa dua premis percetakannya bagi tujuan berkenaan.

Penolong pengurus syarikat terbabit Hussin Jan berkata, seorang pegawai yang mengetuai operasi tersebut pada mulanya menyoal beliau sama ada syarikat itu ada mencetak keluaran terbaru lidah rasmi PKR itu.

"Saya kata kepada beliau, kami tak cetak. Kalau tak percaya, saya suruh dia periksa sendiri," katanya ketika dihubungi
hari ini.

Menurutnya lagi, kumpulan pegawai itu menghabiskan masa kira-kira selama 20 minit untuk memerika premis kilang tersebut yang terletak di Seksyen 16, Shah Alam.

Mereka kemudiannya memeriksa sebuah lagi premis percetakan milik anak syarikat Angkatan Edaran di sebuah lokasi berdekatan.

Pegawai berkenaan beredar selepas kira-kira 15 minit kemudian apabila gagal menemui nashkah Suara Keadilan di premis berkenaan.

"Mereka cuma periksa sahaja. Mereka tidak ada ambil apa-apa," katanya lagi.

Pengurusnya Nor Azlan Jan pula berkata Angkatan Edaran sememangnya pernah mencetak Suara Keadilan sebelum akhbar tersebut diberikan permit penerbitan.

Beliau mengesahkan PKR sememangnya berniat untuk mencetak akhbar itu di syarikat berkenaan, namun beliau enggan menerima tawaran tersebut.

"Tetapi bila sudah dapat permit, (PKR) bawa pergi cetak tempat lain. Bila ada masalah, hendak bawa ke tempat kami semula.

"Saya cakap, mana boleh. Kita pun tidaklah lapar sangat," katanya ketika dihubungi.

Permit penerbitan Suara Keadilan diluluskan pada April 2008 dan pernah digantung tiga bulan pada Mac tahun lalu. Permit penerbitan itu tamat 30 Jun lalu dan dengan itu tidak lagi boleh dicetak atau diterbitkan mengikut Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.


Dalam pada itu, mengulas kehadiran pegawai KDN di premis Angkatan Edaran hari ini, pengarang Harakah Taufek Yahya berkata tindakan itu tidak mengganggu operasi akhbar tersebut.

"Syarikat itu sememangnya pencetak Harakah tapi secara kebetulan sahaja syarikat itu juga mencetak Suara Keadilan (pada suatu masa dulu)," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, beliau juga tidak melihat tindakan KDN hari ini sebagai satu bentuk tekanan kepada Harakah kerana operasi tersebut sememangnya ditujukan kepada Suara Keadilan.

"Kalau tidak, mereka tentu sudah rampas naskhah Harakah sebab hari ini sememangnya akhbar kami dicetak untuk keluaran edisi Jumaat," katanya lagi.

Sementara itu, ketua pengarang
Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib pula berkata, pihaknya masih mengenalpasti syarikat yang boleh mencetak tabloid itu memandangkan PKR bertegas untuk mencetak tanpa permit.

"Kami masih mempertimbangkan bagaimana kami dapat menjalankan keputusan daripada parti. Kami belum tahu lagi di mana hendak cetak, susah untuk saya katakan sekarang," katanya.

5 comments:

Unknown said...

Jangan terlalu melawan arus, nanti buruk padah nya.

Kalau dah perintah tangguh, tangguh aje le.

Kan ke permit dah expired, tunggu aje masa untuk di luluskan.

asyMok_Aambo said...

dulu pun tak ada permit kan.

deli said...

mana malaysia punya kebebasan jika asyik permit kena tahan. fikirkan lah.

myPustaka said...

btul jangan melawan arus, tapi menongkah arus kadangkala perlu tapi dalam sedikit hikmah n strategi.
kalau nak diberikan contoh: camana misi bantuan kepada rakyat palastin walaupun tahu tak berjaya tetapi kita berjaya dalam sudut yg lain, insyaAllah

m6hidrogen said...

kerajaan kalau boleh taknak bagi terus permit untuk media pembangkang.nanti senangla kerajaan nak control minda rakyat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...