Friday, July 23, 2010

RM400 ribu jokong emas pertama Kelantan


Tuan Guru memegang jokong emas pertama yang dihasilkan

TANAH MERAH, 23.Julai, Biarpun Kelantan ditekan dari mendapat sumber dari kerajaan pusat dalam pelbagai bentuk dan terbaru tuntutan royalti minyak yang dinafikan haknya tidak mematahkan semangat kerajaan negeri dalam usaha mencari sumber pendapatan lain seperti hasil balak dan terbaru hasil dari sumber galian emas.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata Kelantan dianugerahkan dengan pelbagai sumber termasuklah perlombongan emas yang diusahakan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisas Negeri Kelantan dan Syarikat dari China CNMC Goldmine Limited.

Turut hadir dimajlis perasmian jokong emas pertama tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan,Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Datuk Anuar Tan Abdullah, Adun Gual Ipoh Wan Yusuf Wan Mustapha dan Pengerusi Eksekutif PKINK Sabri Abdullah.

Proses pembentukan jokong emas

Nik Abdul Aziz juga berkata biarpun Kelantan dinafikan hak untk mendapatkan hak sebanyak 5 peratus dari hasil royalti minyak yang dkeluarkan dari perairan milik negeri ini, namun ia tidak mematahkan usaha untuk menuntut hak tersebut termasuklah melalui tindakan Mahkamah.

” Kini Alhamdulillah, Kelantan telah dianugerahkan sumber galian dari perut bumi dan dengan sedikit hasil ini ia boleh digunakan untuk menafaat rakyat negeri, semoga Allah meningkatkan lagi hasil kerajaan negeri Kelantan”ujar beliau.

Buat Kali pertama jokong emas di Kelantan dapat dihasilkan dengan berat 2.975 kg yang dianggarkan bernilai RM400 ribu dihasilkan di dalam tanah seluas 975 hektar bermula enam tahun lalu.

Sementara itu Pengerusi Eksekutif CNMC Goldmine Limited Lin Xian Xiong berkata jokong emas tersebut diproses terus di kilang yang dibina di kawasan tersebut.

Jokong emas dengan anggaran RM400 ribu

Pihaknya telah memulakan usaha hampir enam tahun dan Kelantan telah dapat mengeluarkan emas sejak berpuluh tahun lalu tetapi ini kali pertama ia diproses dalam bentuk jokong dan memudahkan pemasarannya.

“Kawasan ini telah dipajak dari kerajaan Kelantan dan kita perlu membayar sejumlah 5 peratus royalti kepada kerajaan negeri dan 3 peratus kepada PKINK”ujar beliau.

Syarikat pengeluar emas ini juga mengganggarkan hasil tahunan dapat dicapai 300 hingga 500 kilogram dalam masa setahun.

Bagi Pengerusi Eksekutif PKINK, Sabri Abdullah ketika ditemui berkata PKNIK telah dilantik oleh kerajaan negeri untuk menguruskan kawasan tersebut dan PKINK hanya terlibat dalam memantau penggunaan kawasan yang diperuntukkan tersebut dan dari segi sumber kewangan ia tidak terlibat” kata beliau.

” Dalam memastikan syarikat ini mengikut kehendak kerajaanm, PKINK telah menempatkan beberapa pegawai agar dapar memantau operasi perlombongan disampin ia juga dikawal selia oleh Jabatan Alam Sekitar agar hutan di sekeliling kawasan perlombongan tidak dicerobohi dan dicemari”kata beliau.

Saturday, July 17, 2010

Kenaikan harga barang bukti BN cuba perbodohkan rakyat dalam isu subsidi- Ahli Parlimen Jerai.


AHLI Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar menyelar tindakan kerajaan menaikkan harga barangan petrol, diesel, gula dan gas petroleum cecair LPG sebagai satu tindakan yang tidak betul dan menganiayai rakyat negara ini.

Menurut beliau lagi BN tidak berani untuk membentangkan usul dalam Parlimen bagi dibahas kenaikan harga barangan dan penarikan subsidi sepertimana yang telah dilakukan secara mendadak.

"Mereka hanya berani umum mengenai kenaikan harga barangan selepas tamat sidang sahaja.Apakah ini sikap sebuah kerajaan yang berani untuk membela nasib rakyat.Sepatutnya kenaikan harga barangan ini dibahaskan dahulu.Usul mesti dibawa oleh Kementerian Kewangan.Namun begitu ini tidak berlaku.

"Apakah yang dapat rakyat harapkan dari tindakan sebuah kerajaan yang ingin menjuarai kedudukan dan kepentingan pemerintah sahaja.Mereka tidak pedulikan kesulitan dan kesukaran yang akan ditanggung oleh rakyat.Tindakan mereka menaikkan harga barangan ini akan menyebabkan harga keperluan asas melambung naik.

"Kos sara hidup akan meningkat sedangkan pendapatan adalah ditakok lama.Dulu mereka bangga dengan subsidi yang mereka berikan tetapi kini subsidi sudah menjadi sebagai pembunuh kepada BN.Rasuah tidak mereka perangi secara total.Salah guna kuasa masih berleluasa, peneroka Felda juga turut dibebani dengan kenaikan harga ini."katanya.

Firdaus juga berkata kerajaan tidak harus membandingkan harga pasaran dengan luar negara.Pendapatan per kapita penduduk luar negara yang mereka bandingkan adalah lebih tinggi daripada apa yang diperolehi oleh rakyat negara ini.

"Oleh kerana itu rakyat harus buka minda dan perhatikan dengan jelas bahawa kerajaan BN yang sedia ada semakin lama semakin menindas rakyat dengan cara hurmat tanpa kita sedari.Mereka ini perlu ditolak dalam pilihan raya yang akan datang dari terus menerajui kerajaan."tambahnya lagi.

Manakala Ahli Dewan Negara, Senator Zambry Yusof pula berpendapat kenaikan harga barangan ini adalah tamparan kepada rakyat.

Menurut beliau lagi tindakan yang diambil oleh kerajaaan merupakan sebahagian dari tindak balas bagi memperolehi kembali keuntungan yang sepatutnya mereka raih sebelum ini apabila judi sukan bola sepak Piala Dunia baru-baru ini tidak menjadi kenyataan.

"Tindakan kerajaan BN ini adalah satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan kerana menzalimi rakyat yang sememangnya dibebani dengan kenaikan harga barangan yang berterusan.

"Ketika rakyat dibebani untuk menampung keperluan asasi harian, mereka pula memilih untuk menaikkan harga barangan yang sekaligus tidak menambahbaikkan kepada rakyat tetapi menjadikan rakyat sebagai satu eksperimen bagi mencapai aspirasi mereka menambah hasil negara.

"Apabila nasib rakyat tidak dibela dan mendapat pembelaan yang sewajarnya maka kesukaran hidup yang sudah pasti akan dibebani dengan kenaikan harga barangan ini menjadikan hidup rakyat semakin terhimpit dan sulit.Maka itu rakyat harus peka dan sedar kerajaan yang ada ini adalah sebuah kerajaan yang hanya mementingkan hak mereka.Rakyat didahulukan dalam memeras dan mengugut tetapi kepentingan mereka sebagai kerajaan adalah menjadi keutamaan."katanya sebagai mengulas kenaikan harga barangan sepertimana yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Friday, July 16, 2010

Bayaran kepada APCO hampir sama jumlah dengan aggaran penjimatan subsidi gula RM126 juta

KENAIKAN harga petrol, diesel, LPG dan gula adalah tidak bertanggungjawab kerana tidak ada tindakan proaktif untuk menyediakan mekanisme bantuan kepada golongan yang paling terkesan dengan kenaikan ini, sebelum pengumuman dibuat, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Di mana letaknya maruah seorang perdana menteri yang mengambil wang rakyat atas nama penstrukturan subsidi dan digunakan untuk membayar perunding asing seperti APCO sehingga mencecah RM77 juta setahun semata-mata untuk menaikkan imej beliau.

"Sedang
kan bayaran kepada APCO itu hampir sama jumlahnya dengan anggaran penjimatan subsidi gula sebanyak RM126 juta (seperti diumumkan PEMANDU)," kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

M
alah, kesan berganda daripada kenaikan harga tersebut akan memberi tekanan kepadagolongan berpendapatan rendah di bawah RM2,000 sebulan, yang mana 75 peratus adalah bumiputra yang kononnya dibela oleh BN, kata Anwar yang juga ketua umum PKR dalam satu kenyataan hari ini.

"Walaupun Dewan Rakyat telah bersidang sejak 7 Jun 2010, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula langsung tidak dibincangkan di Dewan yang mulia itu.

"Pengumuman ini membuktikan perdana menteri dan kabinetnya tidak menghormati kedudukan Dewan Rakyat sebagai sidang tertinggi yang mewakili rakyat Malaysia.


"Dato' Sri Najib sedar ahli parlimen baik dari Pakatan Rakyat mahupun dari BN, tidak akan menyokong beliau kerana tindakan menaikkan harga tanpa menyediakan bantuan lain kepada rakyat adalah kebijakan yang tidak prihatin terhadap rakyat keseluruhannya," tegas Anwar dalam satu kenyataan hari ini.

Kenaikan harga barangan berkenaan diumumkan oleh perdana menteri dalam satu kenyataan malam tadi, yang menurutnya merupakan langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat mulai hari ini.

Mulai hari ini, petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen. RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal.

Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram.

Menurut Anwar, kerajaan persekutuan telah mengumumkan rancangan pemotongan subsidi ini sejak 2008 lagi atas alasan untuk menstrukturkan semula pemberian subsidi agar ia lebih memihak kepada golongan yang memerlukan.

"Sehingga kini, rakyat masih tertunggu-tunggu mekanisme bantuan tersebut. Pada masa yang sama, kenaikan demi kenaikan diumumkan.

"Kenaikan harga gula sebanyak 28 peratus ejak awal tahun ini (kenaikan 20 sen pada 1 Januari 2010, diikuti kenaikan 20 sen berikutnya pada 16 Julai 2010) sudah tentu akan mempunyai kesan kepada harga makanan," tambahnya.

Malah, tegas Anwar, sasaran penjimatan RM750 juta yang diumumkan pejabat perdana menteri adalah sedikit berbanding dengan keborosan dan pembaziran yang berlaku akibat kelalaian BN.


"Semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri telah mencecah RM3.8 bilion pada 2009 dan dijangka mengatasi peruntukan RM3.9 billion bagi 2010. Ini termasuklah perbelanjaan sekretariat mantan perdana menteri dan sekretariat Permata yang dinaungi oleh isteri perdana penteri.

"Malah, penjimatan RM750 juta itu tidak setanding dengan kerugian yang ditanggung rakyat apabila konglomerat milik rakyat iaitu Sime Darby mengalami kerugian sebanyak RM946 juta dan menerima pula pampasan dari kerajaan berjumlah RM700 juta.

"Membebankan rakyat atas alasan mengurangkan defisit dan menggunakan penjimatan untuk menampung keborosan kerajaan seperti ini perlu dihentikan segera," tambahnya.

Pun begitu, katanya, beliau tidak menolak bulat-bulat kaedah penstrukturan semula subsidi untuk memastikan lebih banyak bantuan sampai terus kepada golongan 75 peratus di bawah pendapatan isi rumah RM2,000 sebulan.

"Penjimatan dari pengurangan subsidi sepatutnya disalurkan terus kepada golongan ini melalui mekanisme-mekanisme yang perlu diumumkan serentak dengan kenaikan harga.

"Saya menuntut supaya perdana menteri mengumumkan secepat mungkin bagaimanakah penjimatan RM750 juta ini akan dibelanjakan untuk rakyat.

"Nasihat saya supaya penjimatan ini disalurkan dalam bentuk kenaikan peruntukan untuk institusi pengajian tinggi, pelaburan baru dalam bidang pendidikan dan bantuan kebajikan terus kepada golongan berpendapatan di bawah RM2,000 agar penjimatan itu sampai terus kepada rakyat," tegas Anwar lagi.

Sebelum ini pun, tambahnya, kerajaan telah menggunakan alasan mengurangkan defisit apabila menaikkan harga minyak dan keperluan asas.

Bagaimanapun, tegas Anwar, tindakan itu sedikit pun tidak membantu menyelesaikan masalah defisit negara, malah ia makin meningkat.

"Bagi tahun 2008, di kemuncak kenaikan harga minyak, defisit negara melonjak kepada 4.8 peratus berbanding 3.2 peratus bagi tahun sebelum itu.

"Keadaan ini berlaku kerana kerajaan tidak berdisiplin dan tidak ada iltizam politik untuk menyalurkan penjimatan dari pemotongan subsidi ke sektor-sektor yang benar-benar memerlukan, sedangkan pembaziran dan kerugian terus berlaku," tegasnya.


Sebab itulah, kata Anwar, beliau telah menegaskan berkali-kali bahawa ubat yang paling mujarab untuk memulihkan ekonomi lahnegara adalah reformasi ekonomi yang menyeluruh, bukannya tertumpu kepada golongan lemah semata-mata.

Perdana menteri, tegasnya, tidak boleh meminta rakyat mengubah cara hidup, sedangkan kroni-kroni, ahli politik, golongan elit dan berkepentingan terus menikmati subsidi korporat seperti subsidi gas kepada penjana bebas yang menelan belanja RM18.9 billion setiap tahun, 25 kali ganda lebih besar dari penjimatan akibat potongan subsidi yang diumumkan semalam.

Berikutan itu, Anwar menggariskan empat langkah segera yang perlu diambil oleh perdana menteri untuk meyakinkan rakyat bahawa pengorbanan mereka menanggung harga yang lebih tinggi untuk mengekang defisit adalah berbaloi:

1. Mengumumkan penambahbaikan drastik kepada kaedah dan sistem perolehan yang diamalkan kerajaan agar lebih telus dan mendapatkan nilai terbaik untuk rakyat;

2. Menstrukturkan semula pemberian subsidi gas kepada IPP agar penjimatan ini dapat disalurkan kepada rakyat;

3. Mengawalselia prestasi syarikat berkaitan kerajaan dan agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga dana awam bagi mengelakkan kerugian berbillion ringgit yang ditanggung rakyat; dan yang terpenting;

4. Membuktikan keikhlasan dalam perang menentang rasuah dengan menghentikan campur tangan politik di dalam SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

"Rakyat akan ternanti-nanti tindakan susulan perdana menteri jika benar BN ikhlas dalam menangani kekusutan ekonomi negara.

"Jika tidak, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula semalam hanyalah sambungan kepada rentetan penindasan rakyat berpendapatan rendah demi golongan elit dan kroni," tegas Anwar.

Thursday, July 15, 2010

KDN perbaharui permit Harakah


Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk memperbaharui permit penerbitan lidah rasmi PAS, Harakah, dengan memberi amaran keras supaya ia hanya dijual di markas dan pejabat urusan parti itu sahaja.

Permit penerbitan akhbar itu tamat pada 7 Julai lepas. Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks AL-Quran kementerian itu Datuk Zaitun Ab Samad berkata keputusan untuk memperbaharui permit penerbitan Harakah dibuat setelah KDN berpuas hati dengan kerjasama, penjelasan dan janji pihak pengurusan Harakah untuk mematuhi syarat-syarat permit penerbitan serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Menurutnya, pihak pengurusan Harakah memberi perhatian serius terhadap surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh KDN dan telah menunjukkan kerjasama yang baik.

Pengerusi Jemaah Pengarah Harakah Datuk Mustafa Ali dan Pengarah Urusan Datuk Kamarudin Jaafar telah datang berjumpa Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Mahmood Adam pada 12 Julai lepas untuk memberi penjelasan.

Zaitun berkata pihak Harakah juga telah menjawab surat tunjuk sebab pada 13 Julai dengan membuat akujanji akan mematuhi syarat-syarat permit penerbitan seperti mencetak perkataan "Untuk Ahli Sahaja" dan menghantar lapan naskhah setiap keluaran Harakah kepada kementerian sebaik sahaja ia dicetak.

"Kementerian akan sentiasa memantau penerbitan Harakah untuk memastikan pematuhan," katanya. - Bernama

Wednesday, July 7, 2010

Suara Keadilan tetap dicetak malam ini, KDN geledah kilang

KUALA LUMPUR, 7 Julai: Kepimpinan PKR mengesahkan pihaknya akan menerbitkan akhbar Suara Keadilan yang berhadapan dengan isu permit penerbitan seperti biasa malam ini dan akan berada di pasaran esok.

Pencetaknya pula memutuskan untuk tidak mencetak lagi akhbar tersebut sehingga isu semasa dengan Kementerian Dalam Negeri diselesaikan.

Pengarah Strategi PKR Chua Tian Chang memberitahu The Malaysian Insider petang ini, status quo akhbar itu kekal dan parti itu tidak akan menghentikan penerbitan hanya kerana permit sudah tamat dan belum diperbaharui.

“Kami tiada sebab untuk berhenti (mencetak). Mereka tidak memberikan keputusan yang betul mengenai isu permit. Kami akan mencetak seperti biasa malam ini,” kata beliau.

Chua berkata, seperti biasa sebanyak 100,000 naskhah akan dicetak malam ini.

Ia akan diedarkan mulai esok, katanya.

Bagaimanapun Chua mengesahkan pencetak asal telah memutuskan untuk tidak mencetak akhbar itu sehingga pertikaian dengan Kementerian Dalam Negeri selesai.

“Jika itu keadaan, kami akan mencari pencetak lain untuk mencetak akhbar kami. Apapun kami akan mencetak malam ini,” katanya.

Chua enggan menamakan pencetak dan lokasi cetakan kepada media.

Beliau masih bertegas Kementerian Dalam Negeri belum melarang penerbitan itu, cuma menangguhkan keputusan memperbaharui permit Suara Keadilan.

“Mereka baru sahaja memaklumkan kami bahawa mereka tidak melarang kami tetapi hanya belum memutuskan sama ada memperbaharui ataupun sebaliknya.

“Oleh itu, tidak haram bagi kami untuk mencetak akhbar kami malam ini,” katanya.

Menjawab soalan kemungkinan kementerian memutuskan untuk mengharamkan Suara Keadilan, PKR boleh membawa Kementerian Dalam Negeri ke mahkamah atau merayu keputusan mereka.

“Kami akan menyeberang jambatan apabila tiba masanya nanti,” kata beliau.

Hari ini, Dewan Rakyat juga menolak usul tergempar yang dibawa untuk membincangkan isu Suara Keadilan atas alasan Kementerian Dalam Negeri masih meneliti perkara tersebut.

Terdahulu, Editor Suara Keadilan Dzulkarnain Taib memberitahu, bahawa PKR belum memutuskan tarikh penerbitan edisi susulan Suara Keadilan walaupun kelmarin pihaknya mengumumkan akan mengeluarkan akhbar berkenaan seperti biasa meskipun permitnya belum diperbaharui Kementerian Dalam Negeri.

“Kepimpinan (PKR) masih membincangkan soal penerbitan edisi akan datang dan belum menyelesaikan soal pencetak,” kata Dzulkarnain.

Kata beliau, PKR sedang menangani isu ini dengan berhati-hati.

Seorang pegawai Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd ketika dihubungi berkata pihaknya akan berhenti dari mengeluarkan Suara Keadilan sehingga menerima notis susulan Kementerian Dalam Negeri.

“Kami sudah pun menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri dan kami tidak akan mencetak Suara Keadilan,” katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan Suara Keadilan kemungkinan boleh ditutup jika ia terus diterbitkan meskipun permitnya belum diperbaharui.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri Datuk Zaitun Ab Samad berkata, PKR perlu menanggung implikasi undang-undang jika terus menerbitkan Suara Keadilan yang permit penerbitannya sudah tamat.

Akhbar itu telah menerbitkan sebuah artikel muka depan bertajuk “Felda Bankrap”.

Sementara itu sekumpulan pegawai KDN Selangor bergegas ke sebuah kilang pencetak di Shah Alam untuk mencari edisi terbaru Suara Keadilan selepas KDN tidak memperbaharui permit penerbitannya yang tamat hujung bulan lalu.


Syarikat percetakan tersebut, Angkatan Edaran Sdn Bhd dikunjungi empat pegawai pagi ini yang memeriksa dua premis percetakannya bagi tujuan berkenaan.

Penolong pengurus syarikat terbabit Hussin Jan berkata, seorang pegawai yang mengetuai operasi tersebut pada mulanya menyoal beliau sama ada syarikat itu ada mencetak keluaran terbaru lidah rasmi PKR itu.

"Saya kata kepada beliau, kami tak cetak. Kalau tak percaya, saya suruh dia periksa sendiri," katanya ketika dihubungi
hari ini.

Menurutnya lagi, kumpulan pegawai itu menghabiskan masa kira-kira selama 20 minit untuk memerika premis kilang tersebut yang terletak di Seksyen 16, Shah Alam.

Mereka kemudiannya memeriksa sebuah lagi premis percetakan milik anak syarikat Angkatan Edaran di sebuah lokasi berdekatan.

Pegawai berkenaan beredar selepas kira-kira 15 minit kemudian apabila gagal menemui nashkah Suara Keadilan di premis berkenaan.

"Mereka cuma periksa sahaja. Mereka tidak ada ambil apa-apa," katanya lagi.

Pengurusnya Nor Azlan Jan pula berkata Angkatan Edaran sememangnya pernah mencetak Suara Keadilan sebelum akhbar tersebut diberikan permit penerbitan.

Beliau mengesahkan PKR sememangnya berniat untuk mencetak akhbar itu di syarikat berkenaan, namun beliau enggan menerima tawaran tersebut.

"Tetapi bila sudah dapat permit, (PKR) bawa pergi cetak tempat lain. Bila ada masalah, hendak bawa ke tempat kami semula.

"Saya cakap, mana boleh. Kita pun tidaklah lapar sangat," katanya ketika dihubungi.

Permit penerbitan Suara Keadilan diluluskan pada April 2008 dan pernah digantung tiga bulan pada Mac tahun lalu. Permit penerbitan itu tamat 30 Jun lalu dan dengan itu tidak lagi boleh dicetak atau diterbitkan mengikut Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.


Dalam pada itu, mengulas kehadiran pegawai KDN di premis Angkatan Edaran hari ini, pengarang Harakah Taufek Yahya berkata tindakan itu tidak mengganggu operasi akhbar tersebut.

"Syarikat itu sememangnya pencetak Harakah tapi secara kebetulan sahaja syarikat itu juga mencetak Suara Keadilan (pada suatu masa dulu)," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, beliau juga tidak melihat tindakan KDN hari ini sebagai satu bentuk tekanan kepada Harakah kerana operasi tersebut sememangnya ditujukan kepada Suara Keadilan.

"Kalau tidak, mereka tentu sudah rampas naskhah Harakah sebab hari ini sememangnya akhbar kami dicetak untuk keluaran edisi Jumaat," katanya lagi.

Sementara itu, ketua pengarang
Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib pula berkata, pihaknya masih mengenalpasti syarikat yang boleh mencetak tabloid itu memandangkan PKR bertegas untuk mencetak tanpa permit.

"Kami masih mempertimbangkan bagaimana kami dapat menjalankan keputusan daripada parti. Kami belum tahu lagi di mana hendak cetak, susah untuk saya katakan sekarang," katanya.

Saturday, July 3, 2010

Jangan pandang remeh kelahiran luar nikah di Malaysia


DEWAN Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melahirkan kebimbangan dengan jumlah 257,000 sijil kelahiran dari 2000 hingga Julai 2008 yang tidak mencatatkan nama bapa.


Merujuk kepada titah ucapan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang menyebut perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan 2,500 anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau purata 84 kes setiap hari, baginda turut menyebut, anak luar nikah berketurunan Melayu meningkat daripada 16,100 pada 2007 kepada 16,541 dalam 2008 dan 17,303 pada 2009.


Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Fadhil Osman, DPPWP bimbang dan kecewa di atas peningkatan jumlah dan berpandangan, kes kelahiran anak luar nikah ini berpunca dari pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang keterlaluan.


Budaya hedonisme dan candu hiburan, berpeleseran, bersekududukan, mengunjungi pusat-pusat hiburan adalah faktor penyumbang kepada terjebaknya remaja kepada aktiviti perzinaan.


DPPWP mempersoalkan mengapa dalam keadaan kes kelahiran dan pembuangan bayi semakin meningkat ini, kerajaan membenarkan pusat hiburan beroperasi tanpa kawalan dengan pelbagai aktiviti maksiat berlaku seperti percampuran bebas lelaki dan perempuan, arak, dadah, dan pelacuran.


Selain itu, penganjuran konsert hiburan yang terlalu banyak turut menyumbang kepada gejala kelahiran anak luar nikah. persoalannya mengapa kerajaan sanggup membenarkan penganjuran konsert berlangsung tanpa kawalan yang ketat.


Apakah kerajaan mampu menjamin keselamatan anak-anak gadis dari dinodai dan digoda oleh remaja-remaja lelaki sebaya dengannya. Apakah kerajaan mampu memantau setiap pergerakan remaja dan kemana mereka pergi setelah tamat menonton konsert.

Tambahan pula, dengan ledakan maklumat melalui internet dan telefon bimbit yang tiada had meloloskan segala kemungkaran dengan mudah untuk diakses.


DPPWP bimbang kemungkaran dan maksiat sangat mudah diperolehi melalui internet dan telefon bimbit sehingga ke setiap rumah di Malaysia.


Penekanan terhadap tarbiyah dan pendidikan agama yang longgar menyemarakkan lagi faktor kelahiran anak luar nikah. Sistem pendidikan negara hari ini gagal membentuk peribadi dan syakhsiyah remaja untuk menjadi muslim yang soleh dan solehah dan bagaimana masyarakat boleh mengharapkan generasi akan datang menjadi insan yang baik dan bebas dari maksiat sedangkan generasi yang lahir pada hari ini ramai lagi yang jahil dan buta agama?


DPPWP berharap semua pihak memainkan peranan dalam memastikan angka kelahiran anak luar nikah dapat dibendung. Kerajaan perlu membendung gejala maksiat hingga ke akar umbi dengan tidak membenarkan lagi pusat hiburan beroperasi dalam negara walau apa alasan sekalipun dan konsert hiburan yang lagha dan melalaikan tidak wajar diadakan sama sekali walau di mana pun.


Kerajaan juga perlu melakukan sesuatu dalam menyekat penyebaran maksiat melalui internet dan telefon bimbit. Penekan tarbiyah dan pendidikan agama sangat penting bagi memastikan pelajar tahu hukum halal dan haram serta segala aspek yang berkaitan dengan ruhiyyah.


Ibu bapa pula perlu berperanan dalam memastikan pendidikan dan pergaulan anak-anak terjaga dan tidak membiarkan anak mereka bergaul bebas tanpa kawalan serta memastikan anak mereka menurup aurat.


DPPWP juga beerharap masyarakat turut bersama memainkan peranan dalam memastikan gejala zina dapat dihentikan.


Institusi masjid, pusat komuniti, kempen kesedaran, kumpulan pencegah maksiat, kem-kem motivasi adalah usaha yang baik bagi membantu membendung budaya zina dan kelahiran anak luar nikah dari berleluasa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...