Oleh MOHAMED NAWAB MOHAMED OSMAN
Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei, 2013 nanti dijangka
menyaksikan saingan paling sengit sejak merdeka antara Barisan Nasional yang
memerintah dengan gabungan pembangkang. Satu kumpulan penting yang akan
mempunyai pengaruh signifikan terhadap keputusan pilihan raya nanti ialah
pengundi muda yang merupakan 30 peratus daripada keseluruhan pengundi.
Gabungan yang dapat menarik sokongan pengundi muda bakal
menawan beberapa buah negeri dan menubuhkan kerajaan di Putrajaya. Pengundi
muda dalam hal ini mungkin akan menjadi penentu masa depan politik Malaysia.
Persaingan untuk undi orang muda boleh difahami dengan lebih jelas lagi melalui
analisis pecahan pengundi berdasarkan umur. Angka Suruhanjaya Pilihan Raya
menunjukkan 70 peratus daripada 4.2 juta pengundi tidak berdaftar ialah mereka
yang berumur antara 21 hingga 40. Sekitar 450,000 orang mencapai umur 21 tahun
setiap tahun, usia layak mengundi. Pada 2008, pengundi muda berperanan penting
dalam mengalihkan undi kepada parti-parti pembangkang. SPR telah mendaftarkan
2.4 juta pengundi baharu sejak setahun lalu, atau 30 peratus daripada jumlah
yang layak mengundi.
Satu tinjauan oleh Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya
Universiti Malaya (Umcedel) mendapati 48 peratus pengundi kali pertama belum
memutuskan untuk mengundi mana-mana parti. Tinjauan ini juga menunjukkan
perbezaan tipis sokongan kepada kedua-dua gabungan (BN pada 42 peratus dan Pakatan
Rakyat pada 37 peratus), corak pengundian pengundi atas pagar ini bakal menjadi
penentu keputusan pilihan raya. Ini menjadikan undi orang muda semakin penting.
Perkembangan ini dilatari peningkatan usaha kedua-dua gabungan BN dan PR untuk
memenangi pengundi muda.
Kerajaan BN telah melaksanakan beberapa siri langkah populis
bermatlamat menarik sokongan pengundi belia. Contohnya pada Disember 2012,
kerajaan menyediakan rebat RM200 untuk telefon pintar. Kemudian, kerajaan telah
mendapatkan artis popular Korea Selatan, Psy untuk membuat persembahan di
majlis Tahun Baharu Cina BN di Pulau Pinang
yang ditadbir DAP. Pemimpin BN berharap kegilaan terhadap penyanyi pop Korea
itu boleh menarik undi untuk BN.
PR juga secara aktif mensasarkan pengundi muda melalui
beberapa dasar populis. Antaranya ialah tawaran pendidikan percuma,
mengurangkan harga kereta, pelaksanaan gaji minimum lebih tinggi dan
mengurangkan harga rumah. Hakikat bahawa kedua-dua BN dan PR mula meletakkan
lebih ramai calon muda juga menunjukkan peningkatan kepentingan undi orang
muda.
Satu tinjauan oleh Yayasan Asia bertajuk Tinjauan Belia
Nasional 2012 menyediakan beberapa gambaran menarik pemikiran politik belia Malaysia.
Ramai orang muda cenderung untuk tidak melihat politik melalui kaca mata agama
dan kaum. Lebih daripada 71 peratus pengundi muda menunjukkan kecenderungan
kepada parti politik yang berbilang kaum dan oleh itu mewakili kepentingan
semua rakyat Malaysia
tanpa mengira etnik dan agama.
Orang muda juga mungkin lebih prihatin terhadap keadaan
ekonomi secara umum seperti pekerjaan, inflasi dan keselamatan. Kebanyakan
belia (sekitar 60 peratus) berpendapat kerajaan sekarang agak berjaya menangani
soal ini. Walau bagaimanapun, semakin ramai yang bimbang dengan isu korupsi dan
kronisme.
Berdasarkan sikap politik dan pemikiran ramai belia Malaysia,
beberapa kesimpulan boleh berhubung corak pengundian mereka. Pertama,
pendekatan PR yang lebih berbentuk pelbagai kaum boleh menarik orang muda.
Strategi Umno berkempen dengan mengutarakan amaran tentang “ancaman” daripada
etnik minoriti negara sekiranya PR membentuk kerajaan akan datang mungkin akan
mencetus tindak balas negatif kepada parti pemerintah itu. Ini mungkin akan
menyebabkan pengundi muda menjauhkan diri daripada pemerintah dan menyebabkan
kehilangan undi mereka di kerusi negeri dan parlimen yang penting.
Kedua, kelemahan kerajaan Malaysia menunjukkan keberhasilan
dalam menghapuskan korupsi dan kronisme dalam sistem politik bakal menyebabkan
pakatan pemerintah kehilangan undi orang muda. Ketiga, sejumlah pengundi muda
mungkin akan terus menyokong BN walaupun mereka tidak berpuas hati dengan
beberapa aspek urus tadbirnya, kerana percaya yang kerajaan sedia ada masih
pilihan terbaik dalam memastikan kemakmuran ekonomi dan keharmonian masyarakat
yang telah dinikmati selama ini.
Undi orang muda mungkin menjadi lebih penting di beberapa
kawasan yang sengit. Di negeri barisan hadapan seperti Selangor, Kedah, Negeri
Sembilan dan Perak yang menyaksikan persaingan sengit, undi orang muda penting
dalam menentukan pemenang. Di Selangor, negeri yang BN berusaha keras untuk
menjatuhkan kerajaan pimpinan PR, lebih 600,000 pengundi baharu telah
didaftarkan. Corak pengundian pengundi-pengundi ini (yang sebahagian besarnya
kemungkinan masih muda) boleh menjadi penentu pemenang. Hal yang sama juga
disaksikan di Negeri Sembilan, negeri yang PR memerlukan pertambahan hanya empat
lagi kerusi negeri untuk memperolehi majoriti mudah.
Hujah bahawa undi orang muda sahaja mampu menentukan
keputusan pilihan raya umum mungkin sesuatu yang berlebihan, tetapi BN
berpotensi kehilangan kuasa buat kali pertama sekiranya majority besar pengundi
muda dan pengundi Cina sama-sama mengundi pembangkang. Maka, pengundi muda Malaysia menjadi
semakin penting dan mampu untuk menjadi factor penentu keputusan pilihan raya. Berdasarkan
perkembangan ini, dijangka kedua-dua gabungan parti akan bekerja keras
mendapatkan undi penting daripada orang muda dalam peringkat terakhir kempen pilihan
raya kali ini.
Mohamed Nawab
Mohamed Osman ialah felo penyelidik di Program Malaysia dan Program Islam
Kontemporari, di Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Universiti
Teknologi Nanyang, Singapura. Artikel ini ialah terjemahan komentar bertajuk The Youth Vote in GE 2013: Kingmakers in the Making? terbitan
RSIS Commentaries.
1 comment:
pandangan ini amat menarik. saya juga mengulas isu yang sama. moga bermanfaat
Post a Comment