Perhimpunan protes Gerakan Turun Kos Sara Hidup, Turun, yang bermula pada malam 31 Disember lalu telah 
berlangsung tanpa sebarang insiden ganas yang dibimbangi sesetengah 
pihak, walaupun pihak pemerintah memberikan gambaran menakutkan tentang 
perhimpunan itu.
Satu kejayaan besar pihak Pakatan Rakyat dan gabungan kumpulan yang 
berdemonstrasi menunjukkan protes terhadap pemerintah Barisan Nasional 
dalam perhimpunan ini ialah kemampuan memobilisasi jumlah rakyat yang 
ramai untuk menyertai perhimpunan.
Kemampuan ini ialah satu petunjuk penting kepada peninggkatan 
pengaruh PR dan sekutu berbanding pengaruh pemerintah (pentadbiran 
Najib), apabila halangan-halangan yang diwujudkan untuk mengelakkan 
orang ramai menyertai perhimpunan itu ditolak dan diabaikan begitu 
sahaja oleh peserta-peserta.
Dalam hal ini, PR dan sekutu telah berjaya membuktikan sekali 
lagi yang keengkaran sivil (civil disobedience) telah dapat dilaksanakan secara besar-besaran
 dengan usaha yang agak minima.
Sejak bermula protes Bersih - dan
 protes isu-isu seperti ISA dan sebagainya - secara besar-besaran 
kebelakangan ini, keengkaran sivil telah menjadi sesuatu yang semakin 
normal, dan semakin mudah berlaku dalam skala yang besar.
Pemerintah yang bersungguh-sungguh menghalang dengan pelbagai cara 
termasuk kempen melalui media massa telah tidak diendahkan, sehingga 
berpotensi mendedahkan lagi kelemahan dan kehilangan kawalan, sekaligus 
menjejaskan kredibiliti sebagai pemerintah.
Perkembangan ini jelas amat berbeza dengan keadaan suata masa 
dahulu, apabila pemerintah tidak perlu berusaha keras dalam memburukkan 
pihak pembangkang, dan orang ramai mudah mendengar dan patuh pada 
kehendak pemerintah.
Ini semua menyumbang kepada peningkatan populariti PR, kerana 
dilihat sebagai pihak yang berpengaruh dan dapat mengawal keadaan 
semasa, dan penghakisan pengaruh dan autoriti pihak pemerintah. 
PR
 telah berjaya menghalakan sentimen kemarahan terhadap BN, yang telah 
berbina sejak bertahun lalu ekoran pelbagai masalah yang melanda rakyat,
 terkini peningkatan kos hidup yang mendadak.
PR juga telah menunjukkan yang ia menikmati sokongan agak 
signifikan daripada golongan muda termasuk mahasiswa, yang sebahagian 
besarnya sanggup mengambil tindakan secara aktif dan berdepan risiko.
Walau
 bagaimanapun, hal ini hanyalah satu daripada bidang yang perlu dikuasai
 oleh PR dalam usaha menuju ke Putrajaya, mengambil alih 
pemerintahan negara daripada BN.
Protes besar-besaran telah banyak kali dilakukan sejak daripada 
penghujung 2007, kali pertama perhimpunan besar-besaran Bersih diadakan 
di Kuala Lumpur.
Tindakan yang telah banyak kali diadakan 
mempunyai potensi kehilangan nilai-nilai yang sepatutnya dimiliki, 
seperti kejutan dan kemampuan untuk mencetuskan kekaguman pihak tidak 
terlibat yang menyaksikannya.
Protes besar juga sentiasa mempunyai potensi mencetuskan hal yang 
tidak produktif seperti kemarahan orang ramai dan kemasukan 
elemen-elemen yang boleh menjejaskan matlamat protes diadakan.
Pada
 masa sama, pihak pemerintah juga boleh menjadi lebih memahami taktik 
dan strategi yang digunakan, dan bersedia dengan langkah-langkah yang 
diperlukan untuk menanganinya.
Tetapi, apa yang pasti - selepas banyak siri perhimpunan diadakan 
oleh PR dan sekutu-sekutu - ialah PR sentiasa mempunyai jumlah
 sokongan yang besar daripada rakyat.
Dua pilihan raya umum yang 
telah dilalui sejak 2008 menunjukkan sokongan ini terus meningkat, dan 
memberi satu gambaran tentang apa yang boleh dicapai oleh PR dalam 
pilihan raya umum akan datang. - Januari 2, 2014

No comments:
Post a Comment