Wednesday, June 30, 2010

Ulama muda nafi tidak dijemput



Oleh Ismail Hashim

SHAH ALAM: Empat sahabat berpendidikan tinggi agama nafi menyertai Umno Jumaat lepas seperti dihebohkan media arus perdana sebaliknya mereka dijemput hadir kerana dikatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ingin bertemu dengan lepasan Jordan.

Seorang daripada mereka, Ustaz Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27, dari Sungai Buloh berkata demikian ketika berucap menafikan perkara itu di majlis Pentas Pemuda Pakatan Rakyat anjuran Pemuda PAS Shah Alam di TTDI, dekat sini, 27 Jun lalu.

Majlis tersebut turut disertai Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Saudara Suhaizan Kayat, Ketua DAPSY, Anthony Look dan Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari.

“Kami dibawa masuk melalui bangunan Legend Hotel sebelah Mall, naik escalator, pusing-pusing, turun tangga tiba-tiba sudah berada di dalam Bangunan Umno di PWTC, lalu diminta beratur menyambut Najib datang dan bersalaman, ketika itu gambar diambil bertalu-talu.

“Kemudian diumumkan kepada media bahawa inilah 40 ulama muda yang menyertai Umno, benar ada yang menyertai Umno tetapi ramai yang tertipu melihat kepada reaksi mereka yang asyik menunduk sahaja,” jelasnya ketika ditemui selepas berucap.

Hosni merupakan seorang Al-Hafiz menamatkan pengajiannya di Markaz Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Negeri Selangor di Jugra pada 2003 dengan mendapat diploma dalam bidang itu.

Bermula 2004, beliau belajar di Universiti Al-Albayt, Mafraq, Jordan dan 2009 mendapat Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Usul di Kuliah Syariah dan kini bersedia menyambung pengajian MAnya di sebuah universiti tempatan.

Anak ke tiga daripada empat beradik ini kesal dengan kejadian yang berlaku kerana masyarakat memandang serong dengan paparan media yang secara langsung menjatuhkan reputasinya sebagai pewaris ilmu.

“Saya dan tiga lagi sahabat lepasan Jordan, Mohd Fakhruzzaman, 37, dari Shah Alam, Mohd Akram An-Nazilin, 27, (Putrajaya) dan Mohd Jalaluddin Tahir, 26 (Sungai Petani) menafikan kami berbuat demikian sebaliknya Umno yang menipu,” tegasnya.

Mengulas kejadian itu, Ustaz Idris berkata, jika ulama pun Umno tipu, apatah lagi rakyat biasa dan berkata PAS tidak gentar dengan penyertaan seberapa ramai ulama kerana rakyat lebih tahu sama ada PAS baik atau Umno sudah gelisah.

Sementara itu, susulan respon Umno menafikan empat mereka tidak dijemput hadiri majlis 40 ulama muda menyertai parti itu sebaliknya hanya dijemput oleh orang kuat Umno disifatkan sebagai amat melucukan.

Menurut Hosni, satu malam sebelum itu, seorang orang kuat Umno telah memujuk beliau untuk menyertai Umno dan mengajak hadiri majlis tersebut dan kebetulan merupakan bapa kepada kawan rapatnya, beliau tidak dapat menolak jemputan itu.

“Logiknya bagaimana kami boleh hadir jika tidak mendapat sebarang jemputan malah cara masuk juga ditipu, dari bangunan sebelah Mall, naik escalator, turun tangga, tiba-tiba muncul di Bangunan Umno.

“Tentang hendak bersalam dengan Najib, adalah lebih munasabah saya pergi ke Kelantan bersalaman dengan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, itu lebih baik dari bersalaman dengan orang yang didakwa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hosni berkata, beliau mendapat maklumat terdapat seorang lagi lepasan Madinah yang dijemput ke majlis itu kerana dijemput majlis diskusi sebaliknya yang berlaku adalah penyerahan borang sertai Umno oleh beberapa orang yang digelar sebagai sebagai ulama muda yang ‘ori’.

Katanya, seorang lagi di Perlis, Ustaz Wahab Abdullah berkata, beliau hadir untuk bertemu dengan perdana menteri bagi membersihkan nama kumpulan mereka yang dikaitkan dengan keganasan.

“Terbukti Umno menggunakan banyak cara untuk menarik ulama muda menyertai mereka kerana jika untuk alasan biasa pasti mereka tidak didekati, lalu mereka gunakan berbagai cara,” ujarnya.

Menjawab hasrat mereka untuk membuat laporan polis terhadap penafian beliau yang disiarkan oleh portal Harakahdaily, dua hari lalu, Hosni bersetuju, artikel tersebut langsung tidak menyebut nama orang berkenaan.

Tuesday, April 20, 2010

Snap secara rasmi sertai Pakatan Rakyat

5 Jamadil Awal 1431H.

Parti Nasional Sarawak (Snap) secara rasmi menjadi anggota keempat Pakatan Rakyat, - menjelang pilihan raya kecil parlimen Sibu pada 16 April ini.

Mengumumkan kemasukan Snap hari ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tugas pertama parti itu ialah menyokong calon DAP yang akan bertanding di kerusi berkenaan.

Pengumuman calon Pakatan itu akan dibuat pada 27 April.

Snap adalah antara parti tertua di Sarawak dan pernah menjadi anggota parti pemerintah Barisan Nasional sebelum menjadi parti pembangkang.

Mereka tidak mempunyai sebarang kerusi di dewan undangan negeri Sarawak.

Ahad lalu, Anwar dan beberapa pemimpin Pakatan berjumpa di Sibu bagi memeteraikan kerjasama berkenaan.

Pada pilihan raya umum 2008, kekurangan penyelarasan menyaksikan pertandingan lebih dua penjuru di antara Snap, DAP dan PKR - satu tindakan yang memberi kelebihan kepada BN.

Letak jawatan : Penafian dari PKR Bagan Serai

Salah seorang yang mendakwa keluar dari PKR di Perak hari ini iaitu Roshanita Mohd Basir yang mendakwa dia adalah Timbalan Ketua Wanita PKR Cabang Bagan Serai sebenarnya tidak memegang apa- apa jawatan dalam organisasi Wanita PKR Cabang Bagan Serai. Demikian satu penafian yang dikeluarkan oleh Ketua PKR Cabang Bagan Serai, Sdr. Md. Nasib bin Rahim.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa pada satu masa memang betul Roshanita pernah datang dan menawarkan diri untuk memangku jawatan Timbalan Ketua Wanita PKR Cabang Bagan Serai tetapi kami sebagai Pimpinan Cabang sudah tahu bahawa perempuan ini merupakan proksi UMNO dan Pimpinan Cabang tidak pernah memberikan apa-apa jawatan dalam parti atau organisai wanita cabang.

"Hanya dia sendiri yang cakap dia ini Timbalan Ketua Wanita PKR Cabang Bagan Serai.Hairan macamana dia ini letak jawatan sedangkan tiada apa -apa jawatan yang pernah di sandang oleh perempuan ini?" Jelasnya.

Monday, March 15, 2010

“Apa salahnya dedahkan sikap polis jahat itu?” - Jehan Miskin


Ada polis baik dan ada polis yang jahat, kami hanya karyawan yang mendedahkan hakikat yang wujud dalam masyarakat, demikian luahan kata pelakon Jehan Miskin menerusi sebuah klip video ringkas ketika membangkitkan isu rasuah polis.

"Contoh mudah, polis tidak mahu menunjukkan bahawa mereka adalah perasuah. Untuk melakonkan babak, adegan seperti itu pun, polis akan bertanya, kenapa anda mahu tonjolkan perkara buruk mengenai negara anda?

"Saya kata tidak (bukan niat memburukkan), kita bukannya ingin menunjukkan perkara buruk mengenai negara kita. Kita tunjukkan hal buruk itu kerana ia adalah perkara yang benar-benar berlaku," kata pelakon filem Qaisy dan Laila itu.

Di sana, tambah pelakon yang berdarah keturunan Afghanistan itu, ada polis yang baik dan ada polis yang jahat, dan bukanlah menjadi suatu kesalahan untuk membuat pendedahan seperti itu.

"Jadi, apa salahnya jika kita menunjukkan sikap polis yang jahat itu? Kamilah cermin masyarakat. Daripada karya kami, masyarakat dapat lihat di mana mereka bagus atau tidak, atau kelakar," tambah beliau lagi.

Beliau berkata demikian dalam laman portal YouTube di bawah klip video pendek di bawah program 'Your Grandfather's Road' dengan judul 'Malaysian Film Industry?'.

Tayangan klip video pendek selama 2:58 minit itu turut mengutip beberapa pendapat pemikir, pelakon, pembikin filem termasuk ahli politik negara berhubung industri perfileman negara.

Untuk rekod, filem-filem negara sehingga kini ketandusan dalam menyiarkan jenayah-jenayah rasuah polis. Sebaliknya, filem dan drama Gerak Khas banyak menampilkan sikap-sikap polis yang baik sahaja, di samping pertuturan dialog yang kerap membosankan khalayak. -erapakatan

Thursday, January 14, 2010

Rakyat sembah taat setia kepada Pemangku Raja

Salmah Mat Husain

PENGKALAN CHEPA, 14 Jan:
Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra petang ini penuh sesak dengan kebanjiran orang ramai bagi menyambut keberangkatan pulang Pemangku Raja, Tengku Mohammad Faris Petra.

Turut kelihatan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, Speaker Dun, Nasuruddin Daud, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.

Pengelola Istana D’raja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad bersama pegawai kanan istana juga kelihatan.

Dianggarkan lebih 2,000 berhimpun di terminal tersebut yang terdiri pelbagai lapisan rakyat. Turut kelihatan masyarakat Cina, India dan Siam.

Alim ulama termasuk pelajar pondok yang berpakaian jubah putih juga ramai. Anggota pasukan keselamatan yang diketuai Ketua Polis Kelantan, Datuk Rahim Hanafi mengawal keadaan.

Suasana agak tenang biar pun kesesakan berlaku di luar dan dalam bangunan terminal.

Turut dilihat banyak sepanduk yang bertulis ‘Rakyat Menjunjung Kasih dan Taat Setia Kepada Pemangku Raja’.

Ada juga sepanduk ‘Daulat Tuanku’ yang bertulis lambang Umno.

Difahamkan, sebaik tiba Pemangku Raja dijangka bertitah kepada orang ramai yang hadir menyambut keberangkatan baginda.

Pentas khas disediakan di luar bangunan terminal.

Orang ramai mulai tiba di lapangan terbang tersebut kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Sehingga jam 4 petang pesawat sewa khas yang membawa baginda belum lagi mendarat.

Dan malam ini dijangka diadakan solat hajat dan bacaan Yassin bertempat di Stadium Sultan Mohammad ke-IV yang akan turut dihadiri baginda.

Kenyataan Media : Keputusan Mahkamah Rayuan, Nizar MB Perak yang sah??


Merujuk kepada isu yang disebarkan melalui sms mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada MB Pakatan Rakyat Perak, Ds. Hj. Muhammad Nizar Jamaluddin, maka saya suka untuk memberi beberapa kenyataan media seperti dibawah ;-  
1. Saya menafikan bahawa pihak Mahkamah Rayuan telah mengumumkan bahawa siapakah MB Perak yang sah.  
2. Namun begitu, pendengaran kes dihadapan 5 hakim pada 5hb November, 2009 telah pun telahpun lengkap dan habis bagi peguam dipihak MB Pakatan Rakyat dan MB Kudeta Perak, namun sehingga kenyataan ini dikeluarkan saya mengesahkan bahawa Ds. Nizar masih belum dipanggil ke mahkamah yang sama bagi mendengar keputusan yang telah ditentukan. Oleh itu isu dan berita angin siapakah pemenangnya tidak berbangkit.  
3. Namun begitu, Pakatan Rakyat Perak mengambil sikap dan suka menghebahkan kepada umum dimana kami berpendirian bahawa besar kemungkinan keputusan adalah memihak kepada Ds. Nizar sebagai MB Perak yang sah, sehingga telah melebihi dua bulan masih tidak diumumkan oleh hakim mahkamah rayuan. Satu tempoh yang begitu lama dan tidak munasabah yang diambil oleh hakim mahkamah rayuan bagi menentukan siapakah MB yang sah menguatkan lagi jangkaan itu.  
4. Selain itu sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada Zambry, kenapakah ianya tidak diumumkan dan mengambil masa yang begitu lama untuk disahkan. Satu persoalan yang pada pandangan kami menyebabkan wajar timbul isu dan cakap-cakap yang mengatakan keputusan memihak kepada Ds. Nizar.  
5. Kerana itu saya menyeru kepada seluruh penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat di Perak supaya terus mempertingkatkan usaha untuk menyusun seluruh kekuatan melalui semua jentera di semua Parti PAS, DAP dan PKR serta pada gabungan sekretariat Pakatan Rakyat di peringkat Parlimen bagi menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran DUN Perak.  
6. Segala langkah yang perlu bagi memastikan semua calon Pakatan Rakyat yang bertanding menang adalah keutamaan yang mesti didahulukan. Seterusnya merialisasikan hasrat Parti dan rakyat untuk melihat Pakatan Rakyat kembali memegang tampuk pemerintahan di Negeri Perak yang kita cintai.  Kenyataan Media 14hb Januari, 2010 

YB.Drs. Khalil Idham Lim 
Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Polis mudah kena tipu dan diperalatkan: Mahfuz


Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar hairan dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kononnya telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadia pengeboman dan pembakaran gereja.


Namun apabila beliau mempersoalkan mengapa polis lambat bertindak, pihak polis telah menyatakan bahawa mereka perlu mendapat maklumat tepat dan terperinci sebelum membuat sebarang tangkapan. Ini adalah kerana untuk mengelakkan ada pihak yang mempersoalkan tindakan polis.


Pada 13 Januari (semalam) polis telah menahan seorang pelajar kolej swasta yang mengaku dalam facebooknya, dia terlibat dalam melakukan pembakaran gereja.


Pelajar kolej swasta itu akhirnya telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas menyatakan bahawa dia membuat pengakuan main-main dalam facebooknya itu.


Adalah sesuatu yang menghairankan apabila polis telah menahan tanpa membuat penilitian yang rapi dan masih gagal menangkap suspek yang telah dikenal pasti.


"Mana ada orang bakar lepas itu dia bagitahu kepada polis, saya yang bakar. Tak masuk akal langsung," katanya.


Beliau berkata ini menunjukkan polis terlalu lemah dan begitu senang untuk ditipu dan dipermainkan.


"Kalau budak kolej swasta boleh menipu dan mempermainkan polis sudah tentu Umno lebih dahsyat lagi menipu dan memperalatkan polis untuk kepentingan politik Umno yang tersepit," katanya lagi.


Beliau juga kecewa selepas setahun empat bulan kejadian kes enjin jet hilang barulah ada tangkapan dibuat , itupun hanya menahan dua suspek berpangkat sarjan dan prebet tetapi yang berjawatan lebih tinggi terlepas .





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...