Monday, July 30, 2012

NGO, protes dan perubahan rejim

Pada 23 April lalu, Akta Perhimpunan Aman 2012 mula berkuatkuasa, lima hari sebelum protes besar-besaran Bersih kali ketiga di ibu negara.

Di Rusia, Presiden Valdimir Putin menandatangani undang-undang antiprotes pada 8 Jun, beberapa hari sebelum protes antirejim besar-besaran di Moskow pada 12 Jun.

Persamaan Malaysia dengan Rusia melibatkan langkah rejim menangani protes tidak berakhir dengan langkah itu - pemerintah kedua-dua juga bimbang dengan kumpulan bukan kerajaan yang aktif dalam usaha menjejaskan rejim memerintah.

Pemerintah di kedua-dua negara kini sedang giat melaksanakan langkah untuk mengekang dan mengawal penentangan terhadap rejim melalui undang-undang, walaupun pada tahap yang berbeza.

Di Malaysia, bermula Jun lalu, Akta Keterangan (Pindaan) 2012 mula berkuatkuasa, mencetuskan reaksi negatif daripada banyak pihak yang melihatnya sebagai satu usaha mengekang kebebasan bersuara.

Rusia di bawah Putin turut melaksanakan undang-undang yang hampir serupa, melalui satu undang-undang fitnah yang baru ditandatangani oleh presiden itu pada 30 Julai.

Dua negara yang nilai-nilai konservatif masih dominan ini mula menghadapi gelombang protes dan tentangan liberal yang semakin agresif kebelakangan ini.

Di kedua-dua negara, institusi agama dan nilai konservatif berdepan serangan agresif liberal termasuk kelompok gay.

Rusia turut menyaksikan penghinaan oleh sebuah kumpulan punk rock dikenali Pussy Riot terhadap gereja Ortodoks. Kumpulan ini kini salah satu pemain utama dalam penentangan terhadap Putin.

Dalam usaha mengekang dan melawan protes antirejim, satu perkembangan yang tidak menyebelahi pemerintah BN berlaku minggu lalu.

Pada 24 Julai lalu, pertubuhan gabungan masyarakat sivil dan aktivis politik Bersih kini dianggap sebuah entiti yang sah di sisi undang-undang ekoran satu keputusan mahkamah.

Keputusan ini menjejaskan usaha pemerintah Barisan Nasional dalam menangani gabungan dikuasai parti-parti Pakatan Rakyat itu, yang kini mendepani usaha penentangan terhadap BN dan berpotensi menumbangkan parti pemerintah itu.

Terbaharu, dalam satu kenyataan yang memberi gambaran pelan tindakan Bersih menggugat pemerintah BN, pengerusi bersama A Samad Said memberi amaran protes besar-besaran yang jauh lebih besar selepas pilihan raya umum akan datang sekiranya BN didapati menang melalui penipuan.

Protes besar-besaran sejurus selepas pilihan raya seperti itu merupakan satu cara berkesan yang telah dilakukan di beberapa negara dalam usaha menjatuhkan rejim memerintah, melalui dakwaan penyelewengan pilihan raya.

Saterawan yang kini aktif bersama Bersih ini merupakan aktivis yang paling lantang dan konsisten menyeru "perubahan rejim." 

Di Rusia, pemerintah di bawah Presiden Vladimir Putin dan sebelum itu Dmitri Medvedev semakin merasakan tekanan daripada kumpulan masyarakat sivil dan pembangkang yang semakin berjaya menyusun gerakan secara bersama dan sistematik.

Tekanan ini mendorong rejim melaksanakan pelbagai langkah mengekang dan mengawal aktiviti protes dan NGO, terbaharu melalui undang-undang kontroversi antiprotes dan melabel NGO yang menerima dana dari negara luar sebagai agen asing.

Di Malaysia, di sebelah pihak pemerintah, NGO asing (seperti Institut Demokratik Nasional, NDI, dan Institut Republikan Antarabangsa, IRI) dan yang menerima bantuan asing dilihat dengan kritikal, walaupun pemerintah secara rasmi tidak dapat melakukan sebarang tindakan seperti dilakukan negara seperti Rusia dan Mesir di bawah kawalan tentera.

Banyak pihak, termasuk akademik Universiti Teknologi Malaysia, Dr Azmi Hassan yang mempunyai hubungan baik dengan pemerintah telah menyuarakan pandangan kritikal terhadap NGO terbabit, dipercayai sebagai usaha menggesa langkah lebih ketat terhadap pertubuhan tersebut dilaksanakan oleh kerajaan.

Bersih, gabungan NGO dan parti politik yang menjadikan kempen reformasi pilihan raya sebagai platform menentang rejim BN merupakan puncak kerjasama pelbagai NGO yang sebahagiannya menerima banyak bantuan asing. 

Pada masa sama, Suara Rakyat Malaysia, Suaram, - yang berperanan dalam banyak isu termasuk memperjuangkan LGBT dan melibatkan kontroversi sekitar kapal selam Scorpene - mendapat perhatian hasil peranannya dalam kempen yang menjejaskan rejim BN itu. 

Walau bagaimanapun, sebagai sebuah negara kecil yang mempunyai pelbagai bentuk hubungan dengan Amerika Syarikat, pemerintah Malaysia tidak berupaya untuk bertindak terhadap pertubuhan bukan kerajaan yang menerima bantuan asing seperti dilakukan di Rusia dan Mesir.

Keputusan mahkamah yang baru lepas itu, sekurang-kurangnya pada peringkat ini memberi satu kemenangan moral kepada gabungan NGO antirejim terbabit, dan meningkatkan lagi cabaran BN berdepan dengan agen-agen perubahan rejim.

Dikemaskini pada 31 Julai, 2012.

Kenyataan diskriminasi gay tidak jejas undi liberal?

Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong diskriminasi terhadap golongan gay berhubung perkahwinan 18 Julai lalu telah mencetuskan kekecohan dalam kalangan komuniti gay dan liberal negara ini.

Kumpulan pemerhati hak asasi yang kuat membela Anwar selama ini telah mengeluarkan kenyatan mengecam kenyataan beliau itu.

Debat yang tercetus menjelaskan lagi tentang peningkatan suara dan pengaruh kelompok liberal di Malaysia, yang mendapat sokongan kuat antarabangsa.

Peningkatan aktivisme kelompok LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) merupakan isu paling panas dan mendapat perhatian dalam persaingan konservatif-liberal di negara ini, yang turut mengambil sikap secara kolektif dalam membuat pilihan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Kumpulan liberal Suara Rakyat Malaysia, Suaram, yang ramai ahlinya juga merupakan ahli berkedudukan dalam PKR, turut mengeluarkan kenyataan menggesa kedua-dua pakatan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat mengeluarkan kenyataan berhubung hak asasi golongan LGBT.

Kenyataan Anwar menyokong diskriminasi terhadap gay dilakukan dalam mahkamah, dalam situasi yang tidak membenarkan ucapan kabur dan berhati-hati seperti yang biasa diamalkan beliau dalam usaha mengimbangi isu-isu sensitif.

Walaupun menjejaskan kredibiliti liberal dan dikecam ekoran kenyataan itu, Anwar dan parti liberal PKR mungkin tidak terjejas teruk dari segi sokongan kelompok LGBT dan liberal, dalam keadaan kekurangan pilihan melibatkan parti politik dan wakil liberal dalam pilihan raya.

Malah, ada kemungkinan kenyataan itu boleh meredakan kritikan penyokong dan kelompok lain yang mengharapkan Anwar menegaskan sikap menentang golongan LGBT.

Dari segi politik, kenyataan Anwar  membenarkan diskriminasi terhadap gay kelihatan lebih kepada melibatkan isu perkahwinan yang didefinisikan sebagai ikatan antara lelaki dengan wanita dan pendirian tidak mempromosi homoseksualiti, dan tidak lebih daripada itu.

Pendirian ini tidak melibatkan isu halal atau haram perlakuan terbabit, dan tidak sama sekali sealiran dengan kempen antihomoseksual yang giat dilakukan kumpulan bukan kerajaan Muslim yang bergiat aktif pada masa ini.

Dalam politik pilihan raya yang tidak memberi banyak pilihan kepada golongan LGBT, berbanding barisan konservatif Umno yang menguasai BN dan juga PAS yang kekal dengan pendirian menolak LGBT, undi kelompok LGBT kepada parti liberal PKR mungkin tidak akan terjejas.


Thursday, July 19, 2012

Krisis air boleh tumbangkan kerajaan PR Selangor

Gambaran yang diberikan oleh media propemerintah kebelakangan ini memberi tanda-tanda potensi berlaku krisis air di Lembah Kelang.

Pertengkaran terbuka melibatkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, Syabas, dengan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendapat liputan media setiap hari.

Isu ini kelihatan telah mencetuskan kekeliruan disebabkan sisi politiknya yang jelas dan penglibatan banyak pihak yang berkepentingan. 

Satu gambaran yang paling jelas diberikan oleh Syabas yang dilihat masih dikuasai Barisan Nasional ialah kemungkinan berlaku kekurangan air di Selangor dan juga Lembah Kelang yang mendapat bekalan air daripada Syabas, didakwa akibat sikap tidak bekerjasama menteri besar.

Sekiranya krisis ini berlaku, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor boleh dijangka akan menanggung kos politik yang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, yang negeri Selangor menjadi medan persaingan utama antara BN dengan PR.

Walaupun penyokong PR mungkin boleh melihat kemungkinan permainan politik pihak Umno dan sekutu, satu jumlah besar rakyat dan pengundi mungkin tidak akan melihat dari sudut yang sama, dan mempersalahkan kerajaan pimpinan Abdul Khalid.

Pemerintah negeri Selangor dipersalahkan - sama ada betul atau tidak kerajaan PR boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya - boleh dijangka berlaku ekoran permainan media pemerintah dan kaitan lebih mudah kerajaan negeri dengan krisis di negeri terbabit.

Sekiranya krisis berlaku tidak lama atau sekitar masa pilihan raya, kempen negatif terhadap kerajaan negeri akan dapat dijalankan dengan lebih mudah, dengan manfaat segera, termasuk dalam bentuk undi kepada Umno dan BN, lawan kepada PR.

Satu kes yang hampir sama dari segi kesan politiknya pernah berlaku di California, Amerika Syarikat pada awal dekad lalu, bermula tahun 2000, apabila krisis elektrik di negeri berpenduduk terbesar di negara itu tercetus.

Walaupun perinciannya jauh lebih kompleks, kerajaan negeri Demokrat pimpinan Gabenor Gray Davis akhirnya menanggung kos politik kesan langsung daripada krisis itu, yang akhirnya menjatuhkan beliau dan menaikkan gabenor baharu yang popular, Arnold Schwarzenegger.

Syarikat yang bertanggungjawab dalam kes tenaga elektrik di California, Enron, lebih mudah dikaitkan dengan kerajaan persekutuan Republikan di bawah Presiden George W Bush disebabkan individu-individu yang mempunyai hubungan rapat dengan syarikat itu.

Walau bagaimanapun, kerajaan negeri lebih mudah dipersalahkan dan pengundi yang dilakukan selepas itu membuktikan kesan politik utama akhirnya ditanggung oleh pihak Parti Demokratik.

Berdasarkan kempen negatif terhadap kerajaan PR Selangor sejak merampas negeri ini pada Mac 2008, sentimen negatif terhadap kerajaan PR sehingga menjejaskan undi mempunyai potensi untuk berlaku, tambahan pula isu-isu lain yang digunakan untuk menarik pengundi pertengahan terus dijalankan oleh pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Wednesday, July 18, 2012

Kementerian Dalam Negeri rampas buku Sinema Spiritual

Kementarian Dalam Negeri semalam merampas satu naskhah buku Sinema Spiritual: Dramatrugi dan Kritikan tulisan aktivis seni dan akademik Faisal Tehrani.

Rampasan dilakukan di sebuah kedai buku di Presint 16, Putrajaya, didakw untuk tujuan kajian, dipercayai berkaitan aliran pemikiran penulis buku ini.

Rampasan dilakukan oleh Unit Penguatkuasa, Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Penerbit dalam satu kenyataan kepada SiasahDaily melahirkan rasa terkejut dan kesal terhadap tindakan merampas dari sebuah kedai itu, yang dibimbangi boleh mencetuskan sentimen negatif terhadap karya itu.

Menurut pihak penerbit, pihaknya boleh menyerahkan beberapa naskhah kepada pihak berkuasa sekiranya diminta dengan tujuan untuk menilai karya tersebut, yang merupakan koleksi tulisan yang pernah tersiar dalam akhbar politik mingguan Siasah.

Sinema Spiritual terbitan Unit Buku Harakah ialah antara karya terbaharu Faisal Tehrani, atau nama sebenarnya Mohd Faizal Musa yang kini bertugas sebagai akademik di Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM.

Sebuah lagi buku beliau, Perempuan Nan Bercinta diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, ITBM, menerima pelbagai reaksi daripada pembaca dan pengkritik.

Konservatif lebih gembira berbanding liberal

Satu debat yang sedang berlangsung di Amerika Syarikat pada masa ini ialah sama ada konservatif benar-benar lebih gembira berbanding golongan liberal.

Debat terbaharu dalam debat panjang kaitan pandangan politik dengan kebahagiaan ini bermula ekoran satu tulisan Arthur C Brooks, presiden badan pemikir konservatif, Institut Usaha Amerika, di akhbar New York Times pada 7 Julai lalu.

Menurutnya, sarjana di kedua-dua kelompok kiri dan kanan telah lama mendapati golongan konservatif lebih bahagia dalam hidup.

Menurutnya satu kajian Pusat Kajian Pew pada 2006 mendapati bahawa Republikan konservatif berkecenderungan lebih 68 peratus untuk berpendapat mereka "sangat bahagia" berbanding Demokrat liberal.

Banyak faktor dikemukakan, termasuk kaitan antara agama dan perkahwinan. Menurutnya, "52 peratus orang konservatif dari segi politik yang telah berkahwin (dan mempunyai anak) dan beragama merasa sangat bahagia - berbanding hanya 14 peratus mereka yang belum berkahwin, sekular, liberal dan tidak mempunyai anak."

Pandangan dikemukakan ini ialah yang terbaharu menegaskan kelebihan kehidupan konservatif di AS yang menyaksikan pertembungan sengit golongan konservatif dan liberal di segenap lapangan.

Tidak lama dulu, seorang pengkaji dari sebuah badan pemikir, Institusi Brookings mengemukakan kelebihan anak yang dibesarkan oleh pasangan ibu bapa yang berkahwin berbanding ibu tunggal.

Menurutnya, "banyak kajian telah menggambarkan yang perkahwinan baik untuk anak-anak. Mereka yang tinggal bersama ibu bapa biologi lebih cemerlang di sekolah dan sedikit kemungkinan bagi mereka untuk hamil atau ditahan polis. Mereka mempunyai kadar bunuh diri yang rendah, mencapai tahap pendidikan yang lebih tinggi dan memperolehi pendapatan lebih tinggi apabila dewasa. Pada masa sama, anak-anak yang dibesarkan oleh ibu atau bapa tunggal lebih cenderung berkelakuan tidak baik, mendapat penyakit dan tidak menghabiskan sekolah tinggi dan tidak bekerja."  

Kajian-kajian tersebut dilakukan di AS. Kajian yang sama, sekiranya dilakukan di Malaysia, mungkin akan mencetus debat yang tidak kurang hangat berbanding yang disaksikan di negara Barat itu.

Tuesday, July 17, 2012

Memorandum Pena kepada menteri pelajaran menuntut usaha tegas memartabatkan bahasa Melayu

Memorandum kepada Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia

Daripada 

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena)

Tarikh: 28 Jun 2012
Tempat: Dewan Bahasa dan Pustaka

Pendahuluan

Pembentukan sebuah negara bangsa tidak hanya memerlukan pembangunan ekonomi dan kemajuan fizikal, tetapi yang lebih penting ialah pembangunan jati diri, semangat patriotisme dan nasionalisme. Tumpuan kepada kebudayaan untuk dijadikan alat pembinaan negara bangsa sejajar dengan saranan Malek Bennnabi: budaya merupakan belajar untuk hidup secara bertamadun; ertinya kita menggunakan semua kekuatan kejiwaan dan pemikiran serta kebolehan dalam unsur diri manusia mengikut suara hati kita. Daripada kebudayaan manusia membina jaringan sosialnya, dan dalam masa yang sama, jaringan sosial membina kebudayaan. Hasil daripada itulah terbinanya peradaban apabila hubungan atau jaringan sosial yang diikat oleh kebudayaan bersama menghasilkan produk peradaban demi memenuhi tuntutan kehidupan.

Dalam konteks Malaysia, perpaduan kaum perlu digembleng dengan cara merumuskan satu wadah bernilai sepunya. Tanpa kefahaman dan rasa kekitaan antara kaum yang masing-masing telah memiliki rasa bangga terhadap kebudayaannya sendiri, perpecahan dan pergeseran sangat mudah berlaku disebabkan perspektif dan kepentingan kaum yang berbeza. Sekiranya perpecahan berlaku, binaan satu peradaban yang khusus bagi negara ini akan runtuh. Malek Bennabi menegaskan bahawa hubungan sosial merupakan aset penting untuk memastikan kelangsungan dan kesinambungan masyarakat serta menjaga sifatnya di samping berfungsi untuk menyusun tadbir tenaga hayat masyarakat bagi membolehkan mereka menjalankan tindakan bersama dalam sejarah. 

Satu alat kebudayaan yang dapat merapatkan pelbagai kaum ialah bahasa. Sudah termeterai dalam Perlembagaan Persekutuan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, dan dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan kedudukan bahasa Melayu tertegak kukuh. Oleh itu, sebarang tuntutan untuk mengubah persefahaman yang bersifat undang-undang ini perlu ditanggapi sebagai usaha untuk memecahkan perpaduan yang sedang dibina, atau sebagai kaedah halus untuk menakluki seluruh sendi kehidupan di negara ini. Dengan leburnya bahasa Melayu atau terpinggirnya dalam sistem pendidikan akibat daripada tuntutan untuk melaksanakan sistem sekolah dua aliran akan mengakibatkan kemusnahan bangsa Melayu sebagai pemegang hak ke atas negara ini.

Menyedari bahaya itu, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) meminta jaminan dan ketegasan kerajaan untuk memelihara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Penegasan ini perlu dilaksanakan dengan beberapa kaedah:

1. Menyegerakan pemansuhan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tanpa tunduk kepada desakan pihak yang mahukan PPSMI dikekalkan. Di samping itu, tanpa mengetepikan kepentingan bahasa Inggeris, kami menyokong usaha YAB Tan Sri selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran memperkemas MBMMBI [Memartabatkan bahasa Melayu dan memperkuhkan penguasaan bahasa Inggeris. Tindakan serampang dua mata inilah yang dapat menyelesaikan pertikaian PPSMI dan mengembalikan kepercayaan kaum penulis, ilmuwan, dan budayawan terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan Barisan Nasional, terutama untuk mengikis anggapan bahawa pemimpin negara telah bertindak sangat autoritarian walaupun dalam hal yang menyangkut kehidupan berjuta-juta pelajar dan ibu bapa, dan maruah bahasa serta tamadun Melayu itu sendiri.

2. Mengekalkan sistem persekolahan satu aliran, iaitu beraliran bahasa Melayu dan menolak tuntutan mengadakan sekolah dua aliran. Kewujudan sekolah dua aliran akan menyebabkan bahasa Melayu terpinggir kerana masyarakat yang berkemampuan dan memegang tampuk ekonomi akan menggunakan sekolah beraliran Inggeris manakala masyarakat tidak berkemampuan kekal dengan keterpinggirannya di sekolah aliran Melayu. Akhirnya, bukan sahaja bahasa, malahan bangsa Melayu pun akan tenggelam dalam arus besar bahasa Inggeris yang mempunyai nilai ekonomi.

3. Memandangkan bahasa mempunyai kaitan yang rapat dengan kesusasteraan, dan perkembangan bahasa dapat dijanakan melalui karya kesusasteraan, subjek kesusasteraan Melayu perlu diperluas penawarannya di sekolah, sama ada di sekolah rendah mahupun menengah dan IPTA. Pada tempat yang munasabah, penggunaan karya sastera Melayu perlu diwajibkan. Jika sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil dan Cina telah menggunakan karya sastera mereka dalam kurikulumnya kenapa sastera Melayu dinafikan haknya?

4. Kerajaan juga perlu menolak tuntutan pihak tertentu supaya hanya guru Cina boleh mengajarkan bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan Cina. Tuntutan tersebut cenderung bersifat perkauman dan bertujuan menghilangkan peranan guru Melayu di sekolah jenis itu.

5. Di samping itu, dalam jangka panjang, strategi memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu perlu disegandingkan kerana kedua-dua berhubungan secara simbiotik. Oleh itu, perhatian wajar diberikan kepada penyuburan dan pemuliharaan korpus tentang bahasa dan persuratan Melayu. Bagi tujuan tersebut, kerajaan perlu meningkatkan taraf Pusat Dokumentasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi pusat dokumentasi rujukan terbesar di dunia untuk merumahkan:
i) Semua terbitan/karya lisan atau tulisan berbahasa Melayu yang terbit di Malaysia dan di dunia;
ii) Semua tulisan dalam bahasa asing yang membicarakan tentang bahasa dan persuratan Melayu;
iii) Semua terjemahan terhadap tulisan dalam bahasa Melayu yang diterjemah dlm bahasa-bahasa asing. [BM termasuk bahasa Melayu Brunei dan bahasa Indonesia; Perpustakaan Nasional Jerman di Frankfurt dan Munich mengumpulkan semua khazanah dalam bahasa Jerman atau tentang Jerman.]

6. Kerajaan menubuhkan suatu Majlis Bahasa dan Persuratan Nasional yang menjadi badan kehormat tertinggi yang memberi pandangan serta nasihat tentang arah perkembangan bahasa kebangsaan dan persuratannya. Mereka bertanggungjawab memastikan kedudukan bahasa dan kesusasteraan kebangsaan sentiasa terpelihara dan tersebar dalam kalangan masyarakat berbilang kaum bagi tujuan meneguhkan ideologi perpaduan kebangsaan. Dalam majlis itu juga wajar ditubuhkan sebuah tribunal khas yang menjaga kebajikan sasterawan atau penulis memandangkan nasib mereka selama ini sering diperkotak-katikkan oleh penerbit kapitalis, terutama dalam soal hak cipta. 

7. Kerajaan memperuntukkan dana awal sekurang-kurangnya RM10 juta sebagai bantuan permulaan bagi menerbitkan jurnal ilmiah/saintiifik dalam bahasa Melayu tentang sastera/kemanusiaan dan sains kemasyarakatan; terbit dua kali setahun yang anggota editorialnya terdiri daripada ilmuwan/akademik berwibawa dari dalam dan luar negara.

Semoga pandangan yang menyebelahi bahasa Melayu diterima dengan tidak berbelah bahagi. Pandangan ini selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tonggak pentadbiran, perundangan, dan pendidikan di negara ini. Insya Allah, Allah memberkati usaha kita untuk mewujudkan perpaduan dan mengekalkan bangsa Melayu sebagai pemegang hak di negara ini.

Wassalam.

Dr Mohamad Saleeh Rahamad,
Presiden,
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

Monday, July 16, 2012

PAS, kebangkitan Arab dan pasca-Islamisme

Oleh HARIS ZALKAPLI

Tariq Ramadan, profesor pengajian Islam di Universiti Oxford semalam berucap dalam satu majlis di Institut Antarabangsa Kajian Pemikiran dan Tamadun Islam, ISTAC, dekat Jalan Duta.

Majlis anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) diberi tajuk Post-Islamist Revolutions (tanpa sebarang sub-tajuk) ini pada mulanya tidak diberikan gambaran jelas perbincanganya, kerana tajuknya yang kemudian didapati memberi gambaran yang berbeza dengan apa yang disyarahkan oleh penceramah.

Permulaan majlis menimbulkan satu gambaran yang saya anggap agak mengganggu dan menampakkan sentimen politik IRF sebagai pihak penganjur.

Intipati ucapan pengerusi majlis ialah disebabkan agenda hendak menubuhkan "negara Islam," amalan seperti "moral policing" berleluasa, dan wanita dipaksa mengikut perlakuan yang ditentukan oleh lelaki konservatif. Hudud pula menjadi matlamat utama (be-all, end-all) gerakan Islam, seperti PAS. Kemudian, berlaku "Arab spring" yang menjadikan negara Islam tidak lagi relevan.

Pengerusi IRF, Dr Farouk Musa pula memberi gambaran bahawa kumpulan Islam (Islamis) seperti PAS meraikan kebangkitan Arab, dan melihatnya sebagai satu perkembangan yang akan dapat membuka jalan kepada pelaksanaan "khalifah Islam."

Beliau juga mengemukakan pentadbiran dan politik "model Turki" sebagai sesuatu yang wajar menjadi pilihan, ekoran kebangkitan di dunia Arab yang menjatuhkan diktator-diktator dan membuka lembaran baharu politik. Katanya, kebangkitan ini, "tanpa syak lagi ialah satu revolusi pasca-Islamis," mengambil sepenuhnya takrif pasca-Islamisme seperti dikemukakan Asef Bayat.

Ucapan-ucapan awal itu jelas kelihatan dihalakan untuk membenarkan tajuk revolusi pasca-Islamis dan menegaskan bahawa projek pasca-Islamisme sebagai haluan yang wajar dituruti oleh gerakan Islam politik masa kini, selain PAS yang kelihatan dijadikan satu sasaran kritikan utama.

Walau bagaimanapun, Tariq Ramadan sejurus memulakan syarahan terus memberi satu gambaran yang berbeza berbanding apa yang dikemukakan oleh pihak penganjur. Kedua-dua istilah, pasca-Islamisme dan revolusi dipersoalkan beliau, dan menyatakan pembingkaian peristiwa kebangkitan di Afrika Utara dan Asia Barat sebagai satu revolusi pasca-Islamis oleh Olivier Roy dan Asef Bayat sebagai gambaran yang tidak tepat.

Beliau melihat apa yang berlaku di wilayah itu sebagai satu proses yang masih berjalan dan sesuatu yang kompleks, melibatkan banyak pemain termasuk kuasa besar dan kuasa serantau seperti Arab Saudi dan Qatar.

Menurut Tariq, Roy kelihatan mahu menyelaraskan perkembangan terkini dengan hasil kerjanya yang mengangkat tajuk kegagalan Islam politik dalam wacana berhubung gerakan Islam politik. Beliau turut masih melihat Islamis sebagai akan terus bergiat dan berperanan besar, menolak pandangan bahawa kumpulan-kumpulan Islam kini berubah menjadi pasca-Islamis.

Dalam satu tulisan (yang dimuatkan dalam buku Revolusi Global: Dunia Dalam Era Kebangkitan Rakyat), saya melihat pusingan baharu penegasan ide pasca-Islamisme oleh pendukungnya; Olivier Roy, Gilles Kepel dan Asef Bayat kelihatan berdasarkan bacaan sejarah yang agak selektif dan mengabaikan peranan gerakan-gerakan Islam itu dalam proses panjang menggerakkan penentangan terhadap rejim.

Tariq ada menyebut nama seorang intelektual Perancis, Francois Burgat yang merupakan pengkritik utama ide kegagalan Islam politik dan pasca-Islamisme Roy dan Kepel. Dua buku Burgat yang penting dalam menyampaikan kritikan beliau terhadap penggunaan istilah Islamis yang memberi implikasi menyeleweng ekoran wacana terpilih akademik Barat, dan juga kritikan terhadap wacana pasca-Islamisme ialah Face to Face With Political Islam dan Islamism in the Shadow of al-Qaeda.

Secara keseluruhan, tulisan Burgat memperlihatkan perbezaan besar dengan ramai pengulas dan akademik pengkaji gerakan Islam dari Barat, tetapi jauh kurang mendapat perhatian media.

Dalam syarahannya, Tariq mengemukakan beberapa pandangan yang berbeza daripada konsensus berhubung kebangkitan di dunia Arab yang dikongsi ramai pemerhati.

Beliau menolak tanggapan ramai bahawa kebangkitan Arab tidak dijangka sama sekali dan berlaku secara tiba-tiba, dan menyatakan kuasa Barat seperti Amerika Syarikat berperanan dalam membantu penentang rejim.

Pandangannya ini, yang dikemukakan dengan panjang dalam buku The Arab Awakening: Islam and the New Middle East.

Beliau mengaitkan perkembangan semasa ini dengan agenda George W Bush yang dinyatakan selepas berjaya menakluk Iraq (Doktrin Bush), agenda yang kini terlaksana ekoran kebangkitan yang disaksikan.

Tariq turut mengkritik Ikhwan al-Muslimin yang disifatkan telah banyak melakukan kesilapan dan dilihat tidak memperlihatkan kesatuan dalam menangani kebangkitan di Mesir dan dalam memutuskan peranan dalam politik baharu negara itu.

Keseluruhannya, Tariq dalam syarahannya menegaskan pembacaan sejarah semasa melibatkan kebangkitan di Afrika Utara dan Asia Barat secara lebih kritikal dan tidak naif, penegasan pada penggunaan istilah secara tepat, sambil mengemukakan beberapa pandangan yang bertentangan dengan konsensus, pandangan yang boleh mendorong pembacaan yang lebih kritikal dan cermat dalam menanggapi isu politik global semasa.

Walaupun keseluruhannya memberi fokus pada wilayah dunia Arab, Tariq memberi satu peringatan kepada Malaysia yang tidak terkecuali daripada permainan politik global; beliau menyarankan agar berwaspada terhadap percaturan politik golongan yang kini dikenali sebagai Salafi, yang disokong kuasa-kuasa tertentu yang mempunyai kepentingan berbeza dengan kepentingan umat dan rakyat terbanyak.

Thursday, July 12, 2012

Resolusi bersama sidang meja bulat isu-isu antarabangsa parti Islam dan NGO Islam Nusantara

Kami, mewakili suara umat Islam Nusantara yang diwakili oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Perwakilan Malaysia - Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Thai Muslim Students Society - Young Muslim Association of Thailand (YMAT), Keluarga Besar Pelajar Islam Indonesia (KBPII) Malaysia, telah bersidang dan membuat resolusi berikut;

1. Kami bersama-sama umat Islam seluruh dunia dan umat Islam di Syria mengutuk sekeras- kerasnya kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan Syria pimpinan Bashar al-Assad.

2. Justeru, kami menggesa kerajaan Syria menghentikan serta-merta kezaliman tersebut jika tidak al-Assad akan menerima nasib yang sama sebagaimana Hosni Mubarak, Zine el-Abidine Ben Ali dan Muammar Ghaddafi.

3. Dalam masa sama, umat Islam mengharapkan agar Pertubuhan Negara-Negara Islam atau Organization of the Islamic Cooperation (OIC) yang dianggotai oleh negara-negara umat Islam seluruh dunia segera memanggil anggotanya untuk mengadakan persidangan tergempar untuk membincangkan isu ini sekaligus menghentikan kezaliman yang berlaku.

4. Selain itu, kami menolak sebarang campur tangan luar terutama Amerika Syarikat, Barat dan konco-konconya daripada terlibat dalam isu ini yang dilihat cuba mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh dalam persitiwa yang berlaku di Syria.

5. Tidak lupa juga kepada krisis keganasan yang berlaku di Myanmar [Burma] yang melibatkan pembunuhan berama-ramai umat Islam Rohingya, kami turut mengecam kejadian ganas ini dan mendesak kerajaan Myanmar mengambil tindakan segera untuk menghentikannya dan menggesa OIC turut membincangkan isu ini untuk mencari titik penyelesaian.

6. Akhir sekali, kami berharap agar umat Islam seluruh dunia dan di Nusantara khususnya untuk tidak putus-putus berdoa kepada Allah terutama dalam bulan Ramadhan kelak agar Allah memberi kemenangan kepada umat Islam di Syria, Myanmar dan di seluruh dunia umumnya.

Sekian, terima kasih.

Ustaz Nasrudin Hassan - Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merangkap Pengerusi Bertindak,

Dr Raja Ahmad al-Hiss - Lajnah Antarabangsa DPPM merangkap Koordinator,

Dr Mohd Fauzi Zakaria - Persatuan Ulama Malaysia (PUM),

Sdra Mohamad Raimi Ab Rahim - Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim),

Sdra Eikhwan Ali - Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis),

Sdra Teddy S Gunawan - Perwakilan Malaysia - Partai Keadilan Sejahtera (PKS),

Sdra Abdulhalim Naha - Thai Muslim Students Society - Young Muslim Association of Thailand (YMAT),

Sdra Mu’min Effendi - Keluarga Besar Pelajar Islam Indonesia (KBPII) Malaysia.

12 Julai 2012
Kuala Lumpur, Malaysia.

Wednesday, July 11, 2012

Guardian lanjut spekulasi Nurul Izzah bakal PM

Akhbar Inggeris Guardian menerbitkan satu rencana mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, menganalisis perjalanan mencabar barisan pembangkang menghadapi pemerintah Barisan Nasional dan apa yang dilihat sebagai peluang terakhir Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Menurut akhbar itu, pertempuran dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti bakal menjadi yang terakhir untuk merealisasikan hasrat Anwar menjadi perdana menteri, hal yang sama dibicarakan dalam politik negara kebelakangan ini.

Rencana tulisan Kate Hodal itu masih memberi gambaran keseluruhan yang positif buat Anwar, memberi gambaran Anwar sebagai satu-satunya pemimpin pembangkang yang ditentukan untuk menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya akan datang, walaupun turut menyelitkan beberapa kritikan kecil. 

Walau bagaimanapun, isu utama yang dibawakan atau dilanjutkan oleh rencana ini - yang kelihatan dipilih untuk disiarkan pada masa menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 untuk mempengaruhi debat politik negara - ialah harapan terhadap Nurul Izzah Anwar, anak Anwar yang juga seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Peranggan terakhirnya menimbulkan isu "harapan banyak pihak di peringkat akar umbi" untuk melihat Nurul Izzah menyambung perjuangan Anwar, dan diletakkan sebagai calon utama perdana menteri gabungan parti Pakatan Rakyat sekiranya mendapat jumlah kerusi parlimen yang mencukupi.

Rencana Guardian ini melanjutkan lagi debat mengenai siapa selepas Anwar, yang semakin banyak diperkatakan pada masa ini ekoran banyak hal, termasuk imejnya yang semakin terjejas termasuk kepada pengikut dan penyokong PR sendiri.

Penulis rencana itu menyebut faktor Nurul Izzah yang bebas daripada bagasi sejarah seperti yang dimiliki bapanya, selain faktor muda dan popular, mencerminkan sentimen banyak pihak terhadap beliau.

Walau bagaimanapun, isu politik dinasti keluarga menjadi satu isu yang sentiasa membayangi PKR yang dikuasai oleh linkungan keluarga Anwar dan rakan terdekatnya.

Rencana ini bakal mencetuskan minat dan perhatian ramai dalam politik negara, terutama dalam kalangan PKR dan PR yang menaruh harapan yang sama, sama ada sebab sokongan kepada Nurul Izzah atau kerana faktor mencari calon kompromi.

Ia boleh dilihat sebagai satu bentuk endorsement dari pihak berpengaruh di peringkat antarabangsa, memberi gambaran sokongan yang diterima Nurul Izzah, dan kemungkinan juga merupakan satu rancangan transisi daripada Anwar kepada tokoh lain yang sudah digerakkan.

Pihak yang berada di kem seberang pula dijangka tidak akan berdiam diri, dan akan memberikan tindak balas sewajarnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...