Wednesday, March 23, 2011

BN makin yakin hadapi pilihan raya Sarawak

Pelepasan kitab Injil dalam bahasa Melayu yang ditahan, pergeseran melibatkan Parti Keadilan Rakyat dan Parti Nasional Sarawak (SNAP), dan curahan bantuan dan projek ke Sarawak menjadikan Barisan Nasional semakin yakin hadapi pilihan raya negeri itu.

Walaupun menjejaskan pemerintah sejak awal, tindakan melepaskan Injil yang ditahan ketika pilihan raya semakin dekat dilihat mampu meredakan kemarahan penganut Kristian terbabit di Sarawak.

Perselisihan merebut kerusi melibatkan PKR dan SNAP yang tidak selesai lagi juga mampu menjejaskan peluang Pakatan Rakyat menunjukkan prestasi yang baik dalam pilihan raya ini nanti, walaupun DAP dijangka tidak terjejas.

Sejak awal Mac lalu, gandingan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan perhatian terhadap Sarawak.

Media melaporkan hari ini Ketua Menteri Sarwak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata Sarawak diperuntukkan RM5.7 bilion untuk melaksanakan pelbagai projek infrastruktur untuk meningkatkan mutu kehidupan rakyat di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Semasa melawat Serian Sabtu lepas, Najib juga mengumumkan peruntukan RM252.35 juta untuk bekalan air dan elektrik yang akan memanfaatkan beribu-ribu penduduk Sarawak termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

Taib sebelum itu menyatakan BN Sarawak yakin mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya negeri kali ini.

Tuesday, March 22, 2011

Najib sokong tindakan Saudi, kait pembangkang Bahrain pengganas

Selepas mengaitkan Ikhwan al-Muslimin di Mesir dengan terorisme, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak mencetuskan kejutan terbaharu dengan menyokong tindakan Arab Saudi dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) melibatkan Bahrain, negara jiran Saudi.

Najib dilapor Bernama menegaskan sokongan penuh kepada keputusan Saudi dan GCC di Bahrain.

Saudi dan GCC menghantar pasukan tentera seramai kira-kira 2,000 orang bersama kereta kebal dan peralatan senjata lain ke Bahrain ekoran peningkatan protes pembangkang di negara kecil Teluk Parsi itu 14 Mac lalu.

Keganasan terhadap peserta protes tercetus dua hari selepas itu, apabila pihak berkuasa bertindak keras terhadap rakyat menyertai protes di Bulatan Mutiara.

"Kami menyokong penuh semua keputusan yang diambil oleh GCC yang bertujuan menjaga kestabilan dan keselamatan di rantau itu bagi memastikan keamanan dan keharmonian rakyat mereka.


"Malaysia mengutuk sebarang kumpulan berkaitan pengganas yang merosakkan kestabilan dan keselamatan negara,” Najib dilapor berkata.


Najib walau bagaimanapun tidak menjelaskan dengan lebih terperinci kumpulan mana yang boleh dikaitkan dengan pengganas itu, tetapi pemerintah Bahrain mendakwa pembangkang Syiah sebagai alat kuasa asing Iran yang mempunyai rancangan yang bertentangan dengan kepentingan negara Bahrain.


Kenyataan ini merupakan kali kedua Najib membuat kenyataan jelas menyokong kerajaan Arab Saudi dalam hal melibatkan konflik serantau.


Pada 2009, dalam satu kenyataan yang jarang dibuat oleh perdana menteri, Najib menyatakan sokongan penuh kepada Arab Saudi yang terlibat menyerang kumpulan Houthi di utara Yaman yang berkonflik dengan kerajaan negara itu.


"Kami mengecam dengan tegas pelakuan keganasan oleh pemberontak Houthi di sepanjang sempadan Arab Saudi. Tindakan ganas ini, yang menyebabkan kecederaan dan kematian orang awam, tidak boleh diwajarkan.


"Malaysia mengiktiraf hak sah Arab Saudi untuk mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayahnya dan melindungi keselamatan serantau Majlis Kerjasama Teluk," tegas Najib.


Video seks, penentang Anwar mula berhati-hati

Sebahagian besar ahli politik dan media propemerintah mengambil kesempatan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam keadaan defensif ekoran pendedahan video seks semalam.

Walau bagaimanapun, beberapa pihak sudah mula menampakkan sikap berhati-hati dengan kemungkinan-kemungkinan lain yang sukar dijangka.

Bekas ahli kanan Parti Keadilan Rakyat, Zulkifli Noordin dalam tulisan di blognya mengemukakan kemungkinan pendedahan itu sebagai rancangan untuk kepentingan Anwar sendiri.

"Dan cuba bayangkan kalau akhir nanti terbukti video klip ini palsu dan direka. Apatah lagi diletopkan betul-betul sebelum pemilihan di Sarawak. Boleh bayang apa nak jadi? Rakyat akan kata ini fitnah besar, sekaligus isu DNA juga akan dikatakan fitnah besar; dan pasti rakyat akan terpengaruh untuk menolak kerajaan dan menyokong pembangkang," tulis Zulkifli di blognya.

Pandangan yang selari dikemukakan oleh blog Gerakan Anti PKR yang mendakwa bekas ahli parti itu.

Menurut blog ini, tidak mustahil pihak Anwar sendiri melakukan taktik ini untuk digunakan bagi kepentingannya nanti, memandangkan tekanan isu DNA dan perkembangan semasa parti.

Sebuah lagi blog pro-Umno, The Unspinners mengemukakan teori pergolakan dalaman yang turut terkait dengan kemelut DNA sebagai satu kemungkinan punca pendedahan semalam berlaku.

"Jika wang bukan punca pembelotan ini berkemungkinan besar adalah rancangan dalaman PKR untuk menyingkirkan kepimpinan Anwar Ibrahim yang kini terperangkap dengan isu DNA," tulis blog itu.

Pandangan-pandangan berbeza dalam kalangan Umno dan penentang Anwar ini menunjukkan sikap yang semakin berhati-hati dalam menangani pendedahan yang pada mulanya dilihat sebagai pasti memberi kelebihan kepada pemerintah.

Monday, March 21, 2011

Video seks: PR nafi Anwar, Ummi Hafilda tidak terkejut

Satu rakaman video aksi seks yang didakwa dilakukan oleh seorang pemimpin tinggi pembangkang menggegarkan politk negara hari ini.

Spekulasi bahawa lelaki terbabit ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim segera tersebar ekoran pendedahan itu.

Rakaman yang dipertontonkan kepada wartawan di sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur itu terus meletakkan Pakatan Rakyat terutama Parti Keadilan Rakyat dalam keadaan defensif.

Pemimpin-pemimpin PKR dalam kenyataan masing-masing di media sosial segera menolak keaslian video itu, mendakwa rakaman itu palsu dan diubah suai.

Pengarah komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata video itu diubah suai, menimbulkan persoalan sama ada beliau sudah menonton video itu sebelum mengeluarkan kenyataan tegas itu.

Pemimpin-pemimpin lain PR termasuk Ahli Parlimen PAS Khalid Samad turut membuat kenyataan menafikan lelaki dalam video tersebut ialah Anwar, walaupun tidak jelas sama ada mereka sudah menonton rakaman video itu.

Media yang melaporkan tentang rakaman itu juga tidak menyebut Anwar sebagai individu yang terlibat dalam aksi seks yang dirakam itu.

Walau bagaimanapun, seorang penulis blog, Kickdefella mendakwa Anwar ialah individu dalam video itu, dan mendesak PAS menimbangkan semula hubungan dengan tokoh pembangkang itu.

Pihak terbabit mendedahkan rakaman itu mendakwa hanya sekumpulan wartawan dijemput khas yang dipertontonkan video itu.

Ummi Hafilda, yang dihubungi portal berita mynewshub.my mengaitkan pendedahan itu sebagai menyokong apa yang dibawa selama ini terhadap Anwar.

"Saya tak tahu video klip apa yang dimaksudkan tetapi jika benar, saya harap masyarakat akan sedar apa yang saya katakan selama ini bukannya fitnah, tetapi kenyataan," katanya seperti dilapor laman itu.

Kemunculan rakaman video itu menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak dan Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi mengaitkannya dengan motif dan perancangan politik.

Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan hari ini untuk membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Saturday, March 19, 2011

Pilihan raya Sarawak: BN berdepan pelbagai isu kritikal

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud mengumumkan Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubarkan Isnin, 21 Mac ini, menamatkan spekulasi tarikh pilihan raya negeri itu.

Pembubaran itu membolehkan pilihan raya negeri kali ke-10 diadakan, ketika Taib dan Barisan Nasional negeri berdepan pelbagai isu yang kritikal.

Tarikh penamaan calon dan pengundian walau bagaimanapun belum diumumkan. Pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.

Pilihan raya ini menggambarkan keyakinan BN pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 dijangka menyusul tidak lama selepas pilihan raya Sarawak.

BN mencapai kemenangan cemerlang di Dun Merlimau di Melaka dan Kerdau di Pahang dalam pilihan raya kecil 6 Mac lalu.

Taib yang memimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bersama parti komponen BN di Sarawak memenangi 61 daripada 69 kerusi dalam pilihan raya terakhir pada 2006.

BN Sarawak di bawah Taib walau bagaimanapun berdepan isu-isu sukar pemerintahan berdekad ketua menteri itu dan rampasan kitab Injil berbahasa Melayu oleh kerajaan.

Kedua-dua isu meletakkan Taib dan BN dalam keadaan defensif, terutama isu Injil yang ditujukan untuk menjejaskan sokongan masyarakat Kristian Katolik yang besar di negeri itu.

Isu pemerintahan Taib dan kemelut Injil bahasa Melayu yang ditahan pihak berkuasa mula panas dan menjadi perhatian menjelang pilihan raya Sarawak yang dijangka banyak pihak.

Tekanan yang meningkat terhadap BN Sarawak ini dijangka akan memberi kesan kepada persembahan Taib dan BN negeri itu nanti.

Selain itu, era selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008 yang menyaksikan pengaruh dan sokongan parti-parti pembangkang meningkat dan penubuhan parti baharu Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) dijangka turut memberi kesan kepada pilihan raya ini nanti.

Parti-parti Pakatan Rakyat selain DAP walau bagaimanapun dijangka berdepan laluan sukar di Sarawak kerana masih dilihat parti Semenanjung di sebahagian besar negeri itu, dan bagi PKR, kesan negatif dijangka tercetus akibat krisis dalaman parti itu kebelakangan ini.

Populariti PKR terjejas di Sarawak dan Sabah ekoran ketidakpuasan hati ahli-ahli di kedua-dua negeri.

Selepas 16 pilihan raya kecil Dun dan Parlimen pasca-Pilihan Raya Umum ke-12, BN dan PR memiliki kekuatan yang setara dengan kedua-dua pihak memenangi 8 kerusi.

Malah BN mungkin mempunyai beberapa kelebihan ekoran persaingan dalaman parti-parti PR, termasuk PAS yang akan melalui pemilihan kepimpinan awal Jun nanti.

Thursday, March 10, 2011

Buku Mahathir tingkat tekanan ke atas Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan tekanan yang semakin meningkat ke atas beliau dengan penerbitan buku Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Buku beliau, A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad dilancarkan ketika Pilihan Raya Umum ke-13 dirasakan semakin hampir dan Anwar sedang berdepan perbicaraan.

Portal-portal berita melaporkan berita-berita sensasi daripada pendedahan Mahathir dalam bukunya pada hari dilancarkan, meningkatkan perhatian terhadap buku bekas perdana menteri yang bertanggungjawab memecat Anwar itu pada penghujung 1998.

Antara didedahkan oleh Mahathir termasuk dakwaan hubungan seks Anwar dengan wanita yang dibawa oleh seorang dikenali sebagai Nalla.

Kesan daripada pendedahan Mahathir ini dilihat mengganggu tumpuan Anwar dan Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya akan datang, kerana melibatkan kredibiliti Anwar sebagai pemimpin de facto dan calon perdana menteri daripada PR.

Penegasan tuduhan melibatkan moral Anwar oleh Mahathir yang konsisten sejak 1998 membawa sekali lagi tumpuan terhadap bekas timbalan perdana menteri itu.

Dakwaan Mahathir melalui memoirnya merupakan berita besar kedua melibatkan isu moral Anwar selepas laporan akhbar Australia berhubung hal sama tahun lalu.

Tuduhan-tuduhan Mahathir mungkin dilihat sebagai benar sekiranya tiada tindakan daripada Anwar.

Anwar diharap mengambil tindakan tegas menangani tuduhan Mahathir itu atau akan dilihat menyembunyikan sesuatu, seperti tanggapan banyak pihak apabila beliau enggan bersumpah menafikan tuduhan liwat Saiful Bukhari Azlan.

Thursday, March 3, 2011

Anwar, Zaid rebut pengaruh di Sabah

Menyedari pengaruh Datuk Zaid Ibrahim dan partinya, Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air, Kita, di Sabah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor memulakan usaha menarik kembali Jeffrey Kitingan menyertai PKR.

Perkembangan ini memberi gambaran tentang pengaruh kedua-dua Zaid dan Anwar di Sabah, yang semakin kritikal menjelang pilihan raya umum akan datang.

Anwar dipercayai mengalami kemerosotan pengaruh di Sabah dan juga Sarawak kerana dilihat hanya mempergunakan sokongan dari Malaysia Timur untuk kepentingan politik pilihan raya.

Tindakan keluar PKR oleh Jeffrey mengurangkan lagi pengaruh Anwar di Sabah, ekoran pengaruh dan ikutan yang dimiliki Jeffrey.

Hubungan baik Jeffrey dengan Zaid dan pakatan liberal yang tidak bersama Pakatan Rakyat mampu menjejaskan peluang gabungan tiga parti itu dalam pilihan raya akan datang.

Sabah menjadi medan penting bagi Zaid - seorang bekas pemimpin PKR - membina sokongan bagi Kita, selepas terhakis sokongan terhadap PKR.

Menurut pihak yang rapat dengan beliau, isu Sabah menjadi satu perkara yang menjejaskan hubungan Zaid dengan Anwar dan Azmin Ali sejak awal penyertaan Zaid ke dalam PKR.

Sikap Zaid dalam menangani isu Sabah telah membantu beliau membina sokongan dari negeri itu hingga kini.

Kelulusan diperolehi untuk parti Kita beberapa minggu lalu mengukuhkan lagi kedudukan Zaid dalam politik negara, terutama melibatkan persaingannya dengan Anwar dan PR.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...