Monday, February 28, 2011

Isu Ikhwan, Najib cuba kukuhkan imej moderat


Oleh HARIS ZALKAPLI

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak menerima kecaman ramai apabila didakwa mengaitkan gerakan Islam Ikhwan al-Muslimin dengan terorisme dalam satu wawancara di Turki.

Walaupun tidak secara eksplisit menyebut Ikwan dan Yusuf al-Qaradawi ialah teroris, sudut beliau memberikan pandangan itu jelas sekali meletakkan Ikhwan dan al-Qaradawi dalam kedudukan sangat negatif.

Walau bagaimanapun, implikasi kata-kata Najib itu memberi maksud Ikhwan ialah teroris, kerana kumpulan itu, menurut Najib sendiri, boleh terlibat dalam politik Mesir dengan syarat menolak keganasan.

“Saya tidak kata Ikhwan al-Muslimin ini kumpulan pengganas. Saya kata mereka boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya dengan syarat mereka menolak keganasan dan fahaman ekstremisme,” kata Najib dilapor akhbar kerajaan.

Najib melalui kenyataan ini menuduh Ikhwan menyokong keganasan, dan perlu menolak keganasan sekiranya mahu terlibat dalam proses politik.

Realiti kaitan Ikhwan dengan pelbagai kumpulan jauh lebih kompleks daripada yang dilihat di permukaan.

Ikhwan mempunyai hubungan dengan Hamas di Palestin, yang dilabel pengganas oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Tetapi Ikhwan juga dikecam hebat oleh al-Qaeda, melalui seorang pemimpinnya Ayman al-Zawahiri, kerana terlibat dalam pilihan raya di Mesir.

Pandangan Najib seperti dilapor media berhaluan kanan AS, National Review itu kelihatan tidak berdasarkan pengetahuan yang lebih mendalam tentang Ikhwan dalam politik Mesir.

Sebagai media konservatif di AS, mudah untuk difahami pemilihan sudut itu oleh National Review.

Pandangan menyeleweng dan laporan media berhaluan kanan yang dikenali sangat kritikal terhadap Islam itu sememangnya mudah untuk menghasilkan akibat seperti disaksikan ini.

Kenyataan Najib itu sangat mudah dibaca sebagai satu usaha berlebihan untuk membina imej “moderat,” dengan terlalu menerima satu wacana dominan Barat yang sangat kritikal terhadap Ikhwan dan Islamis.

Islamis dikait sebagai secara alami sebagai tidak selari dengan demokrasi dan perlu membuktikan kelayakan mereka untuk menyertai proses demokrasi.

Kenyataan itu, ketika media memunculkan gambar berharga beliau bersama Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan boleh membawa satu mesej positif pada mata Barat.

Pertemuan dengan pemimpin popular Turki itu mampu meningkatkan imej Muslim moderat Najib dan Malaysia melalui kaitan dengan Turki (dan pada masa sama menyaingi pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin negara itu).

Tetapi, dalam politik domestik dan sebahagian dunia Islam, mesej yang dimunculkan melalui ucapan Najib itu memberi implikasi negatif.

Walau bagaimanapun, kenyataan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim tidak lama dulu lebih mendedahkan tahap pemahamannya terhadap isu berkaitan Ikhwan.

Mengulas laporan mengenai dakwaan pembiayaan wang dari Arab Saudi kepada Anwar dan Ikhwan (yang disebut Muslim Brotherhood, berdasarkan laporan media dan diterjemah oleh sebuah akhbar pro-Umno sebagai Persaudaraan Islam), Zahrain menggesa siasatan dilakukan, dengan mengaitkannya dengan keselamatan negara.

Pandangan Zahrain itu, yang diterbitkan dalam blognya, turut mendedahkan pemahaman yang amat sedikit – atau hampir tiada – tentang Ikhwan al-Muslimin dalam politik Mesir.

Tanpa sebarang ulasan mendalam, Zahrain telah menyifatkan Ikhwan dengan sangat negatif, selari dengan pandangan-pandangan di Barat yang terus mengaitkan Ikhwan dengan terorisme dan kumpulan al-Qaeda.

Sekiranya kenyataan Najib boleh disifatkan sebagai usaha berlebihan untuk memenangi sokongan Barat, kenyataan Zahrain kelihatan semata-mata berdasarkan usaha untuk menyerang Anwar.

Kedua-duanya jelas sekali tidak berdasarkan pemahaman tentang kompleksiti gerakan Ikhwan al-Muslimin.

Kenyataan-kenyataan Najib dan Zahrain itu memperlihatkan sikap-sikap oportunis dalam politik yang mendedahkan kelemahan sendiri.

Bagi Najib, hal ini semakin menjelaskan kesukaran mengimbangi tuntutan antarabangsa dengan sensitiviti politik di dalam negara.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...