Friday, July 8, 2011

Kurang 24 jam perhimpunan Bersih, suasana semakin tegang

Suasana hari terakhir sebelum perhimpunan Bersih kedua dijadualkan 9 Julai semakin tegang apabila kedua-dua pihak pemerintah dan gabungan Bersih 2.0 mula tegas mempertahankan pendirian masing-masing.

Pihak polis menafikan permit untuk Bersih 2.0 berhimpun di Stadium Merdeka, dan sekatan jalan menuju Dataran Merdeka dan jalan-jalan masuk ke Kuala Lumpur memperlihatkan kesungguhan pemerintah menghalang perhimpunan esok.

Di Kuala Lumpur, sekatan-sekatan jalan yang meningkatkan lagi kesesakan dan menyukarkan orang ramai dilihat sebagai usaha untuk mencetuskan kemarahan terhadap Bersih 2.0.

Pada masa sama, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kerajaan Barisan Nasional mungkin menerima akibatnya dalam pilihan raya umum akan datang kerana tindakan keras terhadap penggerak perhimpunan Bersih kedua ini.

Bersih 2.0 walau bagaimanapun menegaskan akan berhimpun di Stadium Merdeka walaupun tanpa permit. Gabungan ini bersetuju mengadakan perhimpunan di stadium selepas pertemuan dengan Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang disenarai tidak dibenarkan memasuki Kuala Lumpur bertegas untuk tidak menghiraukan larangan itu.

Pemuda Umno turut akan merebut lokasi Stadium Merdeka dan merancang perarakan ke sana esok, pada masa sama perhimpunan Bersih kedua dijadualkan. Pertembungan dua kumpulan ini dijangka meningkatkan lagi ketegangan esok, mencetuskan pelbagai kemungkinan.

Walaupun ditegur supaya tidak mengadakan perhimpunan oleh menteri dalam negeri dan disenarai tidak dibenarkan memasuki Kuala Lumpur pada 9 Julai, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang memimpin pemuda Umno bertegas akan berhimpun.

Pada masa sama, kerajaan juga dilihat berlembut apabila membenarkan perhimpunan di stadium, kerana kesannya yang juga dijangka akan memberi impak besar.

Halangan dan tindakan terhadap peserta Bersih esok berpotensi untuk menjejaskan imej pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Perbezaan pendapat bukan sahaja berlaku dalam kalangan pemerintah tetapi turut dirasakan oleh ahli gabungan Bersih 2.0, yang kesal kerana perhimpunan dipindah ke stadium.

Pertemuan ketua Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi juga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong Bersih.

Kepimpinan Bersih 2.0 dilihat tunduk kepada tekanan kerana bersetuju tidak mengadakan perhimpunan di lokasi-lokasi asal.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...