Sunday, June 5, 2011

Ulama-Erdogan dan dualisme dalam PAS


Oleh HARIS ZALKAPLI

Pemilihan kepimpinan PAS yang baru berlalu tidak dapat mengelak daripada dinilai daripada sudut pemisahan golongan agama dan bukan berpendidikan agama, walaupun simplistik dan cenderung untuk menyeleweng takrifnya.

Satu pemisahan yang sering digunakan ialah "ulama dengan bukan ulama," "ulama dengan profesional," dan juga "konservatif-reformis."

Dari sudut definisi yang mudah difahami, ulama boleh diterjemah sebagai sarjana ilmu Islam, yang sepatutnya tidak disamakan dengan "ustaz" yang merupakan mereka yang memperoleh pendidikan agama, tetapi tidak pada peringkat yang lebih tinggi sehingga dinilai sebagai ulama.

Istilah yang meliputi kedua-dua ulama dan ustaz ialah agamawan, iaitu mereka yang menerima pendidikan agama Islam dalam pengkhususan.

Dalam wacana popular tentang kumpulan-kumpulan dalam PAS di media negara ini, dapat diperhatikan istilah profesional digunakan dengan mudah terhadap sesiapa sahaja yang bukan ulama, termasuk Datuk Mahfuz Omar dan Mohamad Sabu.

Istilah profesional sering digunakan pada masa awal PAS menerima kemasukan ramai pakar-pakar dalam bidang profesional seperti guaman, kejuruteraan dan sebagainya.

Ini digunakan secara mudah untuk beberapa tujuan, antaranya untuk menunjukkan PAS bukan lagi sebuah parti "lebai" atau "kampung" seperti yang dilihat dalam persepsi ramai.

Tetapi penggunaan mudah ini kemudian diterima secara rigid, dan mewujudkan dualisme ulama dan profesional, pembahagian yang mungkin paling sering digunakan dalam wacana popular mengenai PAS.

Secara umumnya, pembahagian ini dilakukan untuk membezakan mereka yang berpendidikan agama dengan yang bukan, sesuatu yang sebenarnya diterima secara agak meluas dalam parti itu sendiri, yang menilai sifatnya sebagai gerakan Islam sebagai penting dan perlu dipastikan berterusan.

Dalam kalangan tertentu PAS, kelayakan pendidikan agama dinilai dengan sangat kritikal, sehinggi menjadi kriteria untuk dipilih sebagai pemimpin, bukan sahaja di peringkat tertinggi tetapi juga peringkat lebih rendah.

Atas sebab ini, tidak boleh ditolak sepenuhnya pembahagian agamawan dengan bukan agamawan kerana sentimen ini wujud dalam PAS dan terus dijadikan kriteria pemilihan pemimpin.

Tetapi kelayakan pendidikan agama masih tidak dapat menjawab pelbagai persoalan termasuk kemampuan dan melaksanakan tugas-tugas yang diperlukan dalam parti, terutama apabila kelayakan itu dijadikan sebab mutlak pemilihan.

Isu yang lebih penting ialah penghayatan nilai-nilai agama yang lebih luas, dan kemampuan memaknakan dan menterjemahkan agama dalam kehidupan, atau amalan kepada teori agama.

Kedua-dua label "profesional" dan "ulama" tidak secara automatik menjadikan pemegangnya memenuhi tuntutan-tuntutan yang diperlukan, kerana profesionalisme tidak boleh diharapkan secara automatik daripada seseorang profesional, seperti juga penghayatan dan pelaksanaan agama tidak datang secara automatik daripada seseorang agamawan.

Berkait dengan dualisme ini ialah label progresif yang sering digunakan untuk menyifatkan pemimpin-pemimpin berkelayakan "profesional," sedangkan sifat progresif juga dapat dimiliki oleh agamawan.

Penggunaan istilah seperti di atas tidak adil kepada agamawan kerana secara automatik memaknakan golongan agamawan atau ulama sebagai tidak progresif.

Sifat progresif perlu dibuktikan dan merupakan kualiti yang boleh turun dan naik, dan tidak sewajarnya dikait terus, misalnya, dengan bidang pendidikan seseorang.

Konotasi ini dapat diperhatikan pada sesetengah komentar mengenai hasil pemilihan kepimpinan PAS dalam muktamar yang berakhir hari ini.

Satu lagi yang banyak digunakan ialah "Erdogan," yang diletakkan berseberangan dengan ulama atau agamawan.

Satu asas utama pembahagian ini ialah pendirian berkait pelbagai isu, yang salah satu paling berprofil tinggi ialah usaha melakukan perubahan kerajaan pusat melalui lompat parti wakil pemerintah ke parti-parti pembangkang.

Saya sendiri memilih untuk menggunakan istilah Erdogan (daripada nama Recep Tayyip Erdogan, perdana menteri Turki sekarang ini) kerana melihat ia mempunyai asas yang boleh diterima.

Apapun yang mendasari pemilihan dan penggunaan istilah ini oleh pencetus asalnya, ia mempunyai satu kaitan jelas dengan pasca-Islamisme.

Dalam wacana Islam politik, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) disifatkan sebagai sebuah parti pasca-Islamis atau model terbaik pasca-Islamisme, yang antara cirinya ialah wacana yang tidak lagi tertumpu pada isu ideologi dan dengan bahasa agama yang biasa dilihat pada gerakan Islam.

Pasca-Islamisme dinilai sebagai penggunaan bahasa yang kontemporari, sifat yang dilihat lebih liberal dan inklusif berbanding Islamisme, istilah untuk menyifatkan sebahagian besar gerakan dan parti Islam.

Dalam PAS, kumpulan yang disifatkan sebagai Erdogan mempunyai ciri-ciri pasca-Islamis, seperti bercakap dalam bahasa kontemporari dan tumpuan yang lebih kepada isu hak, pluralisme dan sebagainya yang berkaitan.

Satu lagi ciri persamaan ialah hubungan baik dengan tokoh pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menjadi isu yang agak sensitif pada sesetengah pihak.

Pelabelan Erdogan ini digunakan untuk memberi gambaran umum satu aliran pemikiran dan faksi, dan tidak semestinya seragam semuanya.

Label Erdogan dan ulama digunakan untuk menyifatkan dua kumpulan utama yang bersaing, dengan pendirian berbeza kedua-duanya dalam beberapa isu, tanpa menafikan perbezaan-perbezaan dalam setiap kumpulan atau menyatakan hanya dua kumpulan itu yang wujud dalam PAS.

Label seperti ini, tidak semestinya secara automatik terkait secara langsung dengan benar atau salah, positif atau negatif.

Dalam politik kepartian, perbezaan-perbezaan tidak dapat dielakkan daripada wujud. Perbezaan ialah realiti mana-mana kumpulan yang menghimpunkan manusia.

Pembahagian sewajarnya tidak digunakan secara simplistik, seperti ulama lawan progresif yang memberi konotasi negatif kepada satu pihak, dan definisi seharusnya dipilih dengan cermat.

Tetapi, pembahagian juga perlu untuk memberi gambaran secara umum, untuk menyifatkan ciri-ciri tertentu yang dapat diperhatikan.

1 comment:

Anonymous said...

saya seorg pelajar perubatan..alhamdulillah profesional penting..tp pas sebagai parti berlandaskan al-quran & as-sunah sememangnya harus diketuai oleh dewan ulama.para profesional harus belajar hukum hakam dan ilmu agama lebih mendalam utk menyertai dewan ulama sekiranya ingin sertai pentadbiran. sesungguhnya kita menerajui parti bukan dgn nafsu n kepentingan diri..tp dgn ilmu,terutamanya ilmu agama drpelbagai segi..insyaallah..satu aqidah, amal,satu fikrah..wala' pd pimpinan dewan ulama..smoga jemaah PAS snts diredhai,dirahmati,dgn inayahNya...aminn ya allah..insyaallah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...